Artikel Popular

Friday, June 8, 2012

Eropah Bergelut Krisis, Bergelumang Rasuah

JUMAAT, 8 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Eropah terus dilanda krisis tanpa kesudahan.  Ekonomi beku, politik buntu, demikian gambaran sesuai dapat diberikan. Tatkala Athens lumpuh, Sepanyol diturunkan gred dan memerlukan bantuan, tetapi terlalu besar untuk dana penyelamat Eropah,   Cyprus pula masuk dalam senarai negara yang memerlukan pelan penyelamat.  Kemungkinan zon euro berkecai semakin hari semakin jelas. Bahkan jika euro dapat diselamatkan sekalipun, tidak ada jaminan bahawa Kesatuan Eropah kekal seadanya, seperti yang dibahaskan oleh Charles Kupchan dalam The Washington Post baru-baru ini.

Tatkala  Jerman masih terhegeh-hegeh untuk menyelamatkan zon euro, meskipun gesaan demi gesaan dilakukan, termasuk daripada George Soros, Perdana Menteri David Cameron mengugut untuk menggunakan kuasa veto  demi kepentingan negaranya. Cameron dilaporkan nekad melindungi negaranya daripada rancangan superstate Eropah yang dicadangkan oleh Jerman. Sementara Canselor George Osborne pergi lebih jauh lagi, dengan mengugut untuk mengadakan  pungutan suara atau referendum untuk menentukan kedudukan Britain dalam Kesatuan Eropah. 

Sementara Greece sering diperlekeh atau dipersendakan oleh negara-negara lain di benua itu, krisis hutang Eropah dijadikan "modal" pertikaman lidah antara Presiden Barack Obama dengan Mitt Romney dalam kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012.  Selain itu,   Eropah yang kesusahan itu dilaporkan menjejaskan  firma-firma di Amerika Syarikat. Krisis euro itu, bahas Mark McKinnon dalam The Daily Beast.  Sementara Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke mengingatkan, menurut Bloomberg, mengingatkan risiko ekonomi dari Eropah terhadap belanjawan Amerika Syarikat. 

Tatkala krisis yang berpanjangan begitu degil untuk reda, Eropah, menurut The Financial Time,  menghadapi masalah rasuah. Memetik laporan terbaharu  daripada Transparency International  bahawa masalah rasuah yang teruk di Kesatuan Eropah didapati di Greece, Italy, Portugal, dan Sepanyol (dalam zon euro), dan di luar zon itu ialah Bulgaria dan Romania. Walau bagaimanapun, Denmark, Norway (bukan anggota Kesatuan Eropah), dan Sweden, rasuah kurang berleluasa.

Kini, betul-betul "orang sakit Eropah."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...