Artikel Popular

Monday, June 4, 2012

Eropah Berontak

ISNIN, 4 Jun 2012 
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Dalam beberapa tulisan sebelum ini, saya begitu berminat menggunakan perkataan "berontak" yang kadangkala saya merasakan bahawa saya berlebih-lebihan, terutamanya untuk pemberontakan Eropah. Namun, selepas Pilihan Raya Presiden Perancis dan Pilihan Raya Parlimen Greece, dan di peringkat negeri di Jerman, maka diperhatikan pemberontakan sedang berlaku di benua itu, menandakan kekalahan jimat-cermat.  Tambahan pula, sejak berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun,  warga Eropah melancarkan tunjuk perasaan membantah langkah jimat-cermat.

Selepas pilihan raya di Perancis dan Greece, yang secara terang-terang menujukkan penentangan terhadap jimat-cermat, maka pemberontakan diperhatikan sedang berlaku di benua itu.  "Eropah dalam pemberontakan," tulis Stephanie Whiteside, "dengan pilihan raya hari Ahad berkesudahan dengan kepimpinan baru untuk Greece, Jerman, dan Perancis.  Perubahan ini berlaku di tengah-tengah Eropah begitu ghairah melaksanakan langkah jimat-cermat sebagai strategi ekonomi."


Melalui  kolumnya dalam The New York Times, Paul Krugman mengisytiharkan pemberontakan Eropah terhadap strategi yang gagal.  "Orang Perancis berontak, demikian juga  orang Greece.  Dan ini mengenai masa.  Strategi yang gagal itu yang dimaksudkan oleh  beliau ialah jimat-cermat. 

Krugman, seperti yang diketahui, secara tekal menentang langkah jimat-cermat yang dilaksanakan, terutamanya di Eropah, yang menurut tidak sesuai dengan masanya apabila  pemulihan lemah.  Yang agak terbaharu beliau menyatakan pendiriannya adalah melalui wawancara dengan beliau dalam Spiegel International Online: untuk menyelamatkan euro, Bank Pusat Eropah (ECB)  sepatutnya melonggarkan dasar monetari dan kerajaan Jerman meninggalkan jimat-cermat. Krugman juga mengkritik pacuan jimat-cermat Britain sebagai "pemusnahan yang mendalam."   Kerajaan British sepatutnya meningkatkan perbelanjaan sebanyak dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya memotong perbelanjaan. Beliau  mengkritik Parti Buruh yang turut mendakap jimat-cermat.


Krugman yang menganggap dirinya Cassandra dan memerlukan kemenangan, biarpun hanya sekali,  adalah  mewakili  kumpulan suara terasing, antaranya Robert Skidelsky, mengkritik pelaksanaan jimat-cermat, tetapi kumpulan ini sering diperlekeh, meskipun terbukti bahawa sekurang-kurangnya sembilan buah negara dalam Kesatuan Eropah dalam kemelesetan dan memerlukan rangsangan.  Walaupun juga berbukti bahawa jimat-cermat gagal dan  menghumbankan Eropah ke dalam kemelesetan,  ada yang mendakwa bahawa jimat-cermat tidak gagal, tetapi belum dicuba


Dalam kes Greece, seperti yang dibahaskan oleh Larry Elliott dalam The Guardian, "domino pertama" akan runtuh kerana kegagalan jimat-cermat, meskipun Perdana Menteri British David Cameron pernah  memberikan kata dua kepada negara itu, "Laksanakan jimat-cermat atau keluar dari zon euro." 


Walau bagaimanapun,  penentangan terhadap jima-cermat semakin ketara, memetik Arianna Huffington, "jimat-cermat yang menjadi kesayangan pada tahun 2011, berubah menjadi paria."  Zon euro, seperti yang diperhatikan, memerlukan pertumbuhan dan  bukannya jimat-cermat.   Baik dari segi persekitaran ekonomi, mahupun dari sejarah, bahas Ha-Joon Chang dalam The Guardian,  "jimat-cermat tidak berkesan. Memotong belanjawan boleh membawa kepada kemelesetan."


Bahkan, menjelang sidang kemuncak G-8 di Camp David baru-baru ini, Presiden Barack Obama mengingatkan Kesatuan Eropah supaya "menggalakkan pertumbuhan sekarang atau menghadapi krisis global," manakala Jerman didesak meredakan pelaksanaan jimat-cermat.


Bulan Mei lalu benar-benar menyaksikan pemberontakan Eropah, khususnya terhadap jimat-cermat dan terhadap mana-mana pemimpin politik yang merestui pelaksanaannya. Namun, tidak dapat dipastikan berapa dalam dan berapa jauh pemberontakan.  Pungutan suara di Ireland, berkesudahan dengan memilih jimat-cermat, meskipun ini tidak memeranjatkan, tegas Roger Bootle.  Sementara rakyat Greece akan membuat pilihan sekali lagi pada 17 Jun ini, yang pastinya memberikan isyarat yang jelas: menolak atau menerima jimat-cermat.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...