Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Gerakan Menduduki Wall Street bukan sahaja mendapat perhatian intelektual Marxis, seperti Immanuel Wallerstein, sebagai perjuangan kelas dunia, tetapi juga Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, seperti Joseph Stiglitz dan Paul Krugman, dan ahli ekonomi Jeffrey Sachs. Sama ada suka ataupun benci, Menduduki Wall Street mentenagakan semula perbincangan tentang ketidaksamaan ekonomi di Amerika Syarikat. Ketidaksamaan yang meluas ini, dikatakan bukan hanya merupakan masalah ekonomi, bahkan juga masalah kesihatan awam.
Melalui tulisannya yang terkandung dalam From Cairo to Wall Street: Voices from the Global Spring, Stiglitz menegaskan bahawa dunia akhirnya bangkit dan menuntut demokrasi yang orang ramai, bukannya dolar, adalah penting. Kerajaan terbaik yang wang dapat beli, sekadar tidak cukup.
Wujud masa dalam sejarah apabila orang ramai di seluruh dunia kelihatan bangkit, untuk mengatakan sesuatu yang silap dan menuntut perubahan. Hal ini benar pada tahun gamat 1848 dan 1968. Memang benar pada tahun 2011. Di banyak negara, tercetus kemarahan dan tidak gembira tentang pengangguran, agihan pendapatan dan ketidaksamaan, dan merasakan sistem tidak adil dan bahkan rosak.
Kedua-duanya, iaitu tahun 1848 dan 1968 datang untuk menandakan bermulanya era baru. Tahun 2011 mungkin juga. Era moden globalisasi juga memainkan peranan, iaitu membantu menapai dan menyebarkan idea merentas sempadan.
Hujah Stiglitz, di seluruh dunia, krisis kewangan melepaskan maksud baru ketidakadilan, atau lebih tepat, realisasi baru bahawa sistem ekonomi kita tidak adil, perasaan yang samar-samar pada masa lalu, tetapi kini tidak boleh dinafikan lagi. Sistem ganjaran, mereka yang terima pendapatan yang tinggi dan mereka yang terima pendapatan yang rendah, dan golongan apologis untuk ketidaksamaan mengemukakan hujah mengapa ketidaksamaan tidak dapat dielakkan, bahkan mungkin diingini.
Membangkitkan kegagalan pasaran, bahkan tegas Stiglitz, sebelum krisis, ekonomi pasaran tidak membawa faedah untuk kebanyakan rakyat Amerika. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, tetapi kebanyakan warganegara sengsara.
Dalam tulisan itu, beliau juga menegaskan bahawa sebagaimana sistem ekonomi, sistem politik juga gagal, dan dalam keadaan tertentu, kedua-dua saling berkait. Sistem politik gagal mencegah krisis, gagal menyelesaikan krisis, gagal memeriksa ketidaksamaan yang semakin membesar, gagal melindungi golongan bawahan, dan gagal mencegah penyalahgunaan korporat.
Dalam Vanity Fair, Stiglitz muncul dengan masalah satu peratus, iaitu makalah yang diubah suai daripada bukunya, The Price of Inequality yang akan diterbitkan pada bulan ini. Ketidaksamaan di Amerika semakin melebar sejak berdekad-dekad. Kita semua sedar akan hal ini. Jurang antara golongan satu peratus dengan golongan 99 peratus melebar jika diperhatikan dari segi pendapatan tahunan, dan bahkan melebar apabila diperhatikan dari segi kekayaan, iaitu dari segi modal dikumpulkan dan aset lain.
Dalam tulisan itu, Stiglitz menyentuh masalah penggunaan, masalah "mencari sewa," masalah keadilan atau kesamaan, masalah tidak percaya, dan masalah "mementingkan diri sendiri."
Kepada golongan satu peratus, nasihat Stiglitz: Keraskan hati anda. Jangan menerima cadanan untuk mengurangkan ketidaksamaan kerana ini membantu orang lain. Hanya lakukan untuk diri anda.
No comments:
Post a Comment