Artikel Popular

Tuesday, June 19, 2012

Lembu dan Kaum Lelaki

SELASA, 19 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ada beberapa makalah yang cukup menarik tentang calon Presiden, Mitt Romney khususnya dan Presiden Barack Obama amnya. Pertarungan di medan ekonomi antara kedua-duanya terus hangat. Pemulihan ekonomi era Obama terus diperdebatkan, sama ada gagal ataupun berjaya

Obama yang dalam seminggu dua yang lalu, serba tidak kena, mula memperlihatkan kekuatannya dengan mengeluarkan perintah eksekutif menyekat penghantaran pulang anak-anak pendatang asing ke negara masing-masing. Dengan keputusan mengejut ini berkemungkinan  beliau akan memperoleh sokongan pengundi Hispanic. Obama  yang masih mendahului Romney (212 undi berbanding 191 undi), didakwa Romney  banyak bercakap, tetapi kurang bertindak.  Namun, Bain Capital terus menghantui Romney, meskipun Obama kelihatan terpaksa bertungkus-lumus untuk mengaitkan lawannya itu sebagai "kucing gemuk Wall Street." 

Obama yang dianggap  gagal memikul tanggungjawabnya sebagai Presiden menyampaikan ucapan yang menarik tentang perkara ini semasa berucap di Clevaland yang memberikan pilihan kepada para pengundi, sama ada memilih ataupun Romney.  Ucapan ini mendapat analisis   antaranya oleh W.W. yang menulis dalam The Economist dan Clive Crook dalam The Atlantic

Kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney mempunyai masalah dalaman masing-masing.  Bagi Obama, beberapa anggota Demokrat menganggap kempen beliau tidak teratur dan selaras, manakala bagi Romney, pendirian beberapa orang  gabenor Republikan tentang kadar pengangguran dan kejayaan ekonomi di negeri masing-masing,  seolah-olahnya memihak kepada Obama.  

Kedua-duanya juga mempunyai persamaan, iaitu tersasul ketika membuat kenyataan.  Obama dalam sidang akhbar 8 Jun menyebut enam patah perkataan yang begitu pantas menggigit beliau:  "The private sector is doing fine." Romney dalam respons "dua kali lima."  Menegaskan bahawa Presiden berkata Amerika Syarikat memerlukan lebih banyak pasukan bomba, polis, dan guru, Romney berkata orang rama fikir, "sudah sampai masa untuk kita memotong semula kerajaan dan menolong rakyat Amerika."

Namun, Romney, seperti yang dibahaskan oleh Michael Tomasky dalam The Daily Beast, "daripada keluarga dan kepercayaannya kepada kerjayanya dalam perniagaan dan politik, kisah kehidupannya ialah liabiliti.  Adakah Amerika akan memilih orang seperti ini?"

Tulisan yang kritis dan sinis datangnya daripada John Cassidy yang menulis dalam blog The New Yorker, "tentang lembu dan kaum lelaki: Romney menghadapi negara" apabila beliau mengatur wawancara di ladang yang indah dengan beberapa ekor lembu mundar-mandir di sekitarnya. Sebagaimana yang beliau lakukan pada hari Jumaat, dalam wawancara itu, Romney enggan berterus terang, sama ada beliau akan menarik balik perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Obama berhubung dengan penghantaran balik kira-kira 800,000 anak pendatang asing, jika terpilih menjadi Presiden. 

Dalam wawancara yang disentuh oleh Cassidy, Romney yang mengakui dirinya tidak mempunyai kerjaya politik, sekadar berkhidmat sebagai gabenor selama empat tahun, tetapi berbangga dengan kejayaannya dalam sektor swasta,  membuat tuduhan tidak berasa terhadap Obama: antiperniagaan dan antiperusahaan bebas.

Apabila Romney bercakap tentang ayahnya, George yang memulakan perniagaan dengan rendah diri, kemudian menjadi ahli perniagaan dan ahli politik yang berjaya, Cassidy, menyudahkan tulisannya dengan  sinis, "Like father like son, obviously!"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...