Artikel Popular

Friday, June 22, 2012

Demokrasi untuk Dijual

JUMAAT, 22 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kalau tidak silap saya, debat "Demonstrasi Jalanan:  Mengukuh atau Meruntuhkan Demokrasi?" telah pun berlangsung baru-baru ini.  Saya sebenarnya tidak mengikuti debat tersebut, hanya melihat berita  melalui Awani dan malam tadi saluran televisyen itu menyiarkan ulang tayang debat itu.    Oleh saya tidak mengikuti langsung debat tersebut, saya tidak berani mengatakan bahawa tajuk debat itu ialah "jawapan yang salah untuk soalan yang salah." 

Di banyak negara, bahkan di negara kelahirannya atau di negara yang begitu bangga mengamalkannya, demokrasi kelihatan koyak-rabak, kalaupun tidak runtuh.  Jauh sekali untuk mengatakan demokrasi diperkukuhkan.  Bahkan, Francis Fukuyama sendiri, akibat kemerosotan  kelas menengah   mula meragui kelangsungan demokrasi  liberal yang pernah beliau gagaskan sebagai meraikan kemenangan dalam Perang Dingin.  


Melalui tulisannya dalam The Daily Beast, Fukuyama menghargai Facebook kerana membantu membina demokrasi di peringkat antarabangsa, tetapi beliau membangkitkan kegagalan generasi Facebook dalam Pemberontakan Arab.  Bagi beliau, revolusi Dataran Tahrir yang masih menyaksikan kumpulan aktivis belia yang masih digembleng untuk protes jalanan, gagal  mengubah diri  mereka menjadi pemain yang lebih bermakna dalam politik pilihan raya pasca-Mubarak. Kegagalan yang berlaku ketika peralihan kepada demokrasi di Rusia pada tahun 1990-an dan Revolusi Jingga di Ukraine pada tahun 2004, dan kini di Mesir, tegas Fukuyama adalah "berpunca daripada kegagalan puak liberal untuk mengatur atau menyusun parti politik yang koheran."  Di Mesir, perkembangan terbaharu menyaksikan perebutan kuasa antara tentera dengan  Ikhwanul Muslimin.


Kemekaran demokrasi di peringkat antarabangsa sejak kira-kira setahun lalu dikaitkan dengan Pemberontakan Arab kedua yang menyaksikan tumbangnya beberapa rejim autokrat, meskipun sesetengah pengulas, seperti Robert D. Kaplan yang pernah dipetik dalam blog ini, untuk Timur Tengah, beliau lebih meyakini autokrasi berbanding dengan demokrasi.


Tatkala harapan diberikan terhadap kemekaran demokrasi di Timur Tengah, di dunia yang demokrasi bertapak lama, iaitu Eropah, sistem itu mula terumbang-ambing.  Di Greece dan Italy, dua pemimpin demokrat dipaksakan berundur demi memberikan laluan kepada teknorat. Sementara di Eropah Timur yang berikutan keruntuhan komunisme, mendakap demokrasi, tiba-tiba  melepaskan dakapan itu, seperti yang berlaku di Hungary


Lebih daripada itu, di Eropah, seperti yang dibayangkan oleh Fareed Zakaria, demokrasi ialah sebahagian masalah ekonomi. Namun, Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, yang menulis dalam The New York Times dengan berani menegaskan: krisis demokrasi Eropah.  Tulisan  terbaharu tentang demokrasi di benua itu datangnya daripada Sahra Wagenknecht dalam The Guardian yang membahaskan bahawa perjanjian fiskal Eropah merupakan musuh kepada demokrasi. Hal ini demikian, menurut beliau, perjanjian fiskal dan mekanisme kestabilan Eropah (ESM) cubat mengimlakkan dasar ini untuk tempoh yang tidak terbatas terhadap negara di Eropah, dan tidak ada kerajaan yang dipilih berpeluang untuk membatalkan dasar ini. 


Dan tatkala kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat memperlihatkan kerancakannya, John Cassidy menulis dalam blog The New Yorker tentang demokrasi untuk dijual memandangkan banyaknya usaha dicurahkan kempen kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney untuk mengumpulkan dana. Pada bulan Mei, Romney dan Republikan berjaya  mengumpulkan kira-kira AS$86 juta, manakala pihak Obama mengumpulkan kira-kira AS$65 juta. 


"Dengan mengumpulkan lebih AS$150 juta sebulan," tulis Cassidy, "kedua-dua belah pihak memecah semua rekod sebelum in, dan mereka baru sahaja bermula.  Kempen Obama dengan yakin menjangkakan Romney dan konco-konco mengumpulkan lebih AS$100 juta pada bulan Jun.  Mereka menjangkakan bahawa Obama ialah "penjawat kini pertama yang terpaksa belanja kurang berbanding dengan lawannya."

Cassidy menyalahkan Citizen United yang membolehkan kedua-dua belah pihak mengumpulkan dana sebanyak-banyaknya tanpa sekatan  melalui Super PAC yang kini menguasai politik negara itu.  Atau memetik E.J. Dionne Jr. yang menulis dalam The Washington Post, "membeli Rumah Putih."


Boleh dikatakan liputan kempen pilihan raya setakat ini, banyak tertumpu pada usaha mengumpulkan dana oleh kedua-dua belah pihak; masing-masing  memperlihatkan kehebatan dari segi berapa banyak wang yang mampu dikumpulkan. Pada pihak Obama misalnya, Priorities USA Action dilaporkan mengumpulkan AS$4 juta pada bulan Mei dan mempunyai baki AS$4.5 juta lagi dalam tangan.  Kempen Obama menjangkakan Romney dan sekutunya akan mengumpulkan AS$1 bilion dalam usaha untuk menumpaskan Barack Obama. 


Romney yang merupakan kesayangan Wall Street mendahului Obama dari segi pengumpulan dana.  Bagi Obama nampaknya beliau kehilangan penderma beliau semasa Pilihan Raya Presiden tahun 2008 dahulu. Pengurus kempen Obama, iaitu Jim Messina nampaknya menyedari kelemahan pada pihak mereka untuk mengumpulkan dana berbanding dengan pihak Romney. Namun, menurut William Baldwin yang menulis dalam Forbes, Obama mempunyai "bandar jutawan."


Sememangnya, wang benar-benar menguasai politik Amerika Syarikat; sekurang-kurangnya sejak Pilihan Raya Presiden tahun 2008 dan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010. Justeru, John Cassidy sebenarnya betul dan tepat apabila beliau mengatakan bahawa demokrasi untuk dijual. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...