Artikel Popular

Monday, June 4, 2012

Armada Amerika Mara ke Asia

ISNIN, 4 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Semasa menghadiri persidangan keselamatan  di Singapura,  Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta memaklumkan bahawa tumpuan baru tentera negaranya terhadap Asia-Pasifik tidak bertujuan untuk mencetuskan ketegangan di wilayah ini atau mengancam China.  Beliau menjelaskan  kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan China perbezaan yang mereka ada, kedua-dua negara itu memahami konflik yang mereka hadapi, tetapi kedua-dua negara memahami bahawa tidak wujud alternatif lain, kecuali Amerika Syarikat dan China terbabit dan meningkatkan komunikasi mereka dan  meningkatkan hubungan ketenteraan mereka. 

Pada masa yang sama, Panetta berkata negara Asia mesti mencari jalan untuk menyelesaikan konflik mereka sendiri kerana Amerika Syarikat tidak boleh selalu memikul tanggungjawab untuk membantu. 

Ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China bergaung di seluruh rantau ini, dan sentiasa menumpukan perhatian pada sokongan Amerika terhadap Taiwan, yang China anggap sebagai wilayah yang berpisah dan mengancam untuk menggunakan kekuatan untuk menghalang  mana-mana percubaan Taiwan untuk mencapai kemerdekaan.  Kawasan lain yang menjadi pertikaian ialah Laut China Selatan yang Beijing tuntut hampir keseluruhannya miliknya.  Akan tetapi, Taiwan, Vietnama, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Filipina juga menuntut wilayah ini. 

Semasa di negara kota itu juga Panetta mengumumkan sebagai "mengimbangi semula" dengan Asia, Amerika Syarikat akan memperkukuh kerjasama ketenteraan dengan China, manakala juga menggalakkan keupayaan sekutunya di rantau ini.  Beliau memperincikan strategi pertahanan dengan memaklumkan bahawa kebanyakan kapal perang Amerika Syarikat akan mara ke Asia.  "Pada tahun 2020, Tentara Laut Amerika akan diatur semula daripada pecahan  kira-kira 50-50 sekarang  dari Pasifik dan Atlantik kepada pecahan 60-40 untuk kedua-dua lautan itu."  Walau bagaimanapun, beliau menafikan anggapan bahawa anjakan itu dirancang untuk mengekang kemunculan China sebagai kuasa global - penafian, menurut Austin Ramzy yang menulis dalam Time, "tidak ada seorang pun di dunia ini percaya."

Selepas Singapura, Panetta ke Vietnam untuk menemui para pemimpin kanan di sana.  Semasa di negara itu, beliau melawat bekas pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Teluk Cam Rahn, menandakan lawatan pertama oleh Setiausaha Pertahanan Amerika sejak berakhirnya perang.   Lawatan ini menimbulkan syak wasangka Beijing kerana Vietnam pernah terlibat dengan perang sempadan dengan China pada tahun 1979, jelas Ramzy, dan kini kedua-dua negara berseteru berhubung dengan Laut China Selatan.

Walau apa-apa pun motif sebenar lawatan Panetta itu, mungkin secara kebetulan dengan apa yang ditulis oleh Robert D. Kaplan dalam The Atlantic pada bulan ini, iaitu "penyelesaian Vietnam."  Maksudnya, bagaimana bekas musuh Amerika itu menjadi sekutu penting untuk mengimbangi China. Sebelum ini, Kaplan menulis dalam Foreign Policy bahawa "Laut China Selatan merupakan masa depan konflik," memperlihatkan bahawa beliau cukup mengetahui apa yang berlaku di rantau ini, lalu tidak memeranjatkan beliau mencadangkan Amerika Syarikat berbaik-baik dengan Vietnam.

Selain mengambil kesempatan daripada pergolakan di Laut China Selatan akibat kemaraan China, tindakan Amerika Syarikat menumpukan angkatan tentera di rantau ini secocok dengan gagasan "Abad Pasifik Amerika " yang dikemukakan  oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dalam Foreign Policy

Dalam konteks yang lebih luas, kemaraan armada Amerika Syarikat ke rantau Asia, sedikit sebanyak untuk menangani "krisis Orde Lama" - memetik laporan khas The National Interest bahawa hakikatnya, berlaku kemerosotan Pax Americana yang disaingi dan dicabar oleh China. Kemerosotan Amerika itu sering diperdebatkan, antaranya oleh Charles Kupchan dalam tulisan dan buku terbaharu beliau, yang turut mendapat ulasan yang meluas.  


Meskipun diakui bahawa kuasa Amerika merosot di peringkat global, hakikatnya, wujud juga penafiannya, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Robert Kagan dalam The New Republic, Daniel Gross dalam Newsweek, dan Ezra Klein dalam blog The Washington Post.


Kedua-duanya, iaitu kemaraan China di Laut China Selatan dan  kemaraan  armada Amerika Syarikat di rantau Asia, boleh mencetuskan konflik dan ketegangan.  Walaupun Washington menjelaskan bahawa   kehadiran mereka bukan bertujuan mengekang kebangkitan China sebagai kuasa global, dalam keadaan Pax Americana yang akan berakhir, tidak memeranjatkan jika rantau Asia dijadikan medan untuk menyelamatkan kemerosotan itu. Lagipun, beberapa buah negara di rantau ini mengalu-alukan kehadiran kuasa besar ini kerana kebimbangan mereka terhadap sifat agresif China.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...