Artikel Popular

Monday, June 11, 2012

Minggu yang Serba Tidak Kena untuk Barack Obama

ISNIN, 11 Jun 2012
Oleh: ZULKIFLI  SALLEH




Selepas menerima laporan muram  pada hari Jumaat pertama bulan Jun bahawa kadar pengangguran di Amerika Syarikat meningkat daripada 8.1 peratus pada April kepada 8.2 peratus pada Mei, Presiden Barack Obama dan partinya, Demokratik menghabiskan minggu lalu yang teruk. 

Dalam pilihan raya recall yang berlangsung di Wisconsin menyaksikan calon Republikan, Gabenor Scott Walker berjaya mempertahankan kedudukannya dengan selesa, mengalahkan lawannya, Tomm Barrett, daripada Parti Demokratik, dengan undi 53 peratus berbanding dengan 46 peratus.  Peratusan kemenangan yang besar, yang di luar jangkaan, menurut John Cassidy, "keputusan untuk Obama."   Pada mulanya, tinjauan pendapat meramalkan pertandingan adalah sengit, tetapi keputusan adalah sebaliknya, menyebabkan tinjauan pendapat keluar dipersoalkan, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Molly Ball dalam The Atlantic.


Wisconsin sejak tahun 1984, dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tidak pernah memihak kepada Republikan, tetapi kali ini, keadaan mungkin berubah.  Kengganan Obama untuk turut berkempen dalam pilihan raya itu, sedangkan bekas Presiden Bill Clinton turut membantu, menimbulkan tanda tanya.  Beliau sekadar berciak melalui Twittter menyatakan beliau menyokong calon Demokrat itu. 


Dipersetujui bahawa kemenangan itu dibantu oleh wang korporat yang mencurah-curah untuk Walker berbanding dengan lawannya. Beliau dilaporkan berbelanja AS$45.6 juta berbanding dengan AS$17.9 juta oleh Barrett. "Pekerjaan, wang, Scott Walker,"  soal Naureen Khan dalam National Journal, adakah masa Demokrat berasa panik?"  Wang sepatutnya merungsingkan Demokrat kerana  kempen Mitt Romney dan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan mengumumkan bahawa bulan Mei mereka berjaya mengumpulkan AS$78.6 juta, jauh lebih tinggi daripada yang dikumpulkan oleh Obama dan Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat, iaitu kira-kira AS$60 juta.  


Minggu yang teruk untuk Obama dan Demokrat.  Isytihar Dan Balz dalam The Washington Post, daripada percanggahan pendapat antara Obama dengan Clinton dalam kempen yang kedua-dua muncul bersama-sama kepada pengumpulan wang yang lebih banyak pada pihak Romney dan partinya. 


Musim panas ini menyaksikan Obama terpaksa berhempas-pulas, sedangkan lawannya, Romney seakan-akan memperkukuh kedudukannya. Obama sendiri memburukkan lagi keadaan apabila mengadakan sidang akhbar pada Jumaat lalu, "berlagak pandai," menyalahkan Eropah dan Asia terhadap kadar pengangguran yang tinggi di Amerika Syarikat.  Kenyataan beliau "the private sector is doing fine" dianggap kacau-bilau retorik dan  mungkin menghantui beliau sehingga November ini, sebagaimana kenyataan John McCain dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008:  "Fundamental ekonomi kukuh."  Mendengar kenyataan yang tidak terduga sama sekali keluar dari mulut Obama, Republikan melompat keriangan.


Keterlanjuran ini menyebabkan penasihatnya, iaitu David Axelrod terpaksa meredakan keadaanMelihat Obama tidak dalam permainannya pada minggu lalu, Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast, menegaskan bahawa kempen Obama hilang alur atau kebiasannya.


Namun, keadaan sebenar tidak seburuk yang dijangkakan.  Nate Silver, penganalisis dan peramal pilihan raya yang mengeluarkan unjuran pertamanya untuk Pilihan Raya Presiden, seperti yang dipetik oleh The Atlantic, masih mendahului Romney.  Jika pilihan raya itu diadakan hari ini, Obama akan meraih 300 undi badan perwakilan pemilih berbanding dengan Romney 238 undi. Melihat lebih jauh, iaitu November ini, jurang rapat sedikit, tetapi Obama masih menang mudah, dengan 291 undi badan perwakilan pemilih berbanding Romney 246 undi.


Kedua-dua calon Presiden dilaporkan telah  membelanjakan AS$100 juta untuk iklan, dan tinjauan pendapat baru  menunjukkan bahawa serangan kempen Obama terhadap Bain Capital yang pernah diterajui oleh Mitt Romney, didapati berkesan.  Sementara di negeri berayun, Virginia, menurut tinjauan, Obama mendahului Romney dengan margin 47 peratus berbanding dengan 42 peratus.   


  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...