Artikel Popular

Sunday, June 24, 2012

Imigran: Obama Memperkukuh Kekuatan

AHAD, 24 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Presiden Barack Obama yang baru-baru ini menempuh minggu yang serba tidak kena, menghadapi realiti yang muram, akhir-akhir ini mula memperkukuh kedudukannya.  Beliau mula memperlihatkan kelebihan atau keistimewaannya: apabila dalam kesusahan, beliau menyampaikan ucapan yang besar dan beliau kelihatan serius, seperti ketika beliau berucap di Cleveland baru-baru ini.  

Dalam ucapan itu, Obama memilih topik ekonomi yang dikatakan beliau mempunyai kekurangan berbanding dengan Romney, menurut tinjauan pendapat.  Obama memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan, sama pendekatan ekonomi beliau atau pendekatan ekonomi pencabarnya, Mitt Romney.

Tidak cukup dengan cabaran itu, Obama mengasak Romney dengan membuat keputusan menyekat penghantaran anak-anak imigran ke negara masing-masing, yang meletakkan lawannya dalam keadaan sukar dan  terutamanya,   Senator Marco Rubio (Florida), yang pernah mencadangkan Akta Impian, dalam keadaan serba salah. Di negeri itu - Florida juga baru-baru ini,  Obama berjanji dengan penduduk  Latino untuk melakukan pembaharuan

Berbanding dengan pendirian Obama yang menyokong perkahwinan sejenis yang didapati tidak banyak beliau meraih sokongan, tindakan beliau menggunakan perintah eksekutif untuk anak-anak pendatang itu, menyebabkan beliau mendapat sokongan padu dalam kalangan penduduk Latino di Amerika Syarikat. Dalam kalangan penduduk ini,  mesej imigran Obama mengatasi Romney.  Tinjauan pendapat  Bloomberg, seperti yang dipetik oleh National Journal, menunjukkan dua berbanding dengan satu orang pengundi  Amerika bersetuju dengan dasar imigresen Obama itu.

Walaupun Romney juga mengambil pendirian lembut terhadap pembaharuan imigresen, Obama mengingatkan para pengundi Latino jangan sekal-kali percayakan lawan beliau itu. "Penceramah anda sejak semalam mempunyai pandangan yang berbeza.  Dalam ucapannya, beliau berkata apabila beliau berjanji kepada anda, beliau akan menunaikannya.  Baiklah, beliau berjanji untuk memvetokan Akta Impian," ujar Obama pada Jumaat lalu ketika berucap dalam persidangan Persatuan Kebangsaan untuk Pegawai yang Dipilih dan Dilantik. 


Tatkala Romney masih terpinga-pinga, beliau terus diasak.  Yang terbaharu, beliau diasak oleh Datuk Bandar Los Angeles, Antonio Villaraigosa, menuduh beliau "amnesia" terhadap imigresen

Obama mengakali Romney, tulis Jacob Weisberg dalam The Slate, "ketangkasan Presiden dari segi perkahwinan sejenis dan imigresen menyebabkan lawannya kelihatan membosankan dan tidak berprinsip."  Obama, hujah Weisberg, menggunakan unsur memeranjatkan, mengambil risiko yang kelihatan menghasilkan pulangan, dan beliau meletakkan lawannya dalam keadaan bertahan atau defensif.

"Presiden jarang-jarang mengambil risiko," tulis Weisberg, "beliau beroperasi dalam sempadan kemungkinan, mengelakkan postur yang tidak membuahkan hasil.  Akan tetapi, beliau dan kempen beliau cara bijak mengenal pasti bahawa Romney lambat bertapak dan kurang imaginasi membuka peluang kepada mereka untuk memperlihatkan perbezaan."

Meskipun, Obama  seperti yang digembar-gemburkan oleh kempen Romney dan Republikan, dengan pelbagai kelemahan dan kegagalan, Michael Bloomberg memberikan penilaian yang seimbang terhadap beliau. Dari segi pendanaan dijangkakan Obama tidak dapat menandingi Romney, tetapi beliau dijangkakan mendapat sumber dari luar negara

Namun, yang tidak kurang pentingnya ialah debat The Economist yang menunjukkan 69 peratus peserta bersetuju Obama diberikan peluang kedua. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...