Artikel Popular

Sunday, June 10, 2012

Dari Eropah dengan Keruntuhan dari Afrika dengan Harapan

AHAD, 10 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Eropah dan Afrika dua benua yang mengharungi perjalanan yang berbeza, sebenarnya sungguh berbeza.  Yang pertama, terkenal sebagai kuasa kolonial dan di benua itu pernah muncul kuasa besar.  Abad ke-19 pernah dianggap sebagai abad Eropah.  Dalam kalangan G-7,  bilangan keanggotaan negara Eropah melebih besar:  Jerman, Perancis, United Kingdom, dan Italy; demikian juga daripada jumlah 34 buah negara  dalam Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)

Jika dibandingkan dengan Afrika dalam banyak aspek, ibarat langit dengan bumi.  Namun, kedua-dua benua ini kini mempunyai kisah yang agak berbeza. Tatkala  Eropah dalam krisis dan mempunyai  peluang terakhir untuk menyelamatkan dirinya,  Afrika menjulang harapan. 

Tatkala Greece belum lagi kebah, meskipun dibantu dengan dua pelan penyelamat, dan krisis memasuk fasa baru,  tiba pula giliran Sepanyol memohon ihsan, menyertai Greece, Ireland, dan Portugal.    Oleh sebab krisis bank-bank semakin teruk, maka   Sepanyol terpaksa memohon pelan penyelamat bernilai RM125 bilion, selepas berbulan-bulan spekulasi, penafian, dan harapan untuk sesuatu.  


Meskipun bahasa berubah, bahas Hamish McRae dalam The Independent, "skrip tetap sama:  satu lagi keruntuhan domino."  Dua tahun setengah krisis hutang Eropah bermula, menurut The Washington Post, Sepanyol pada hari Sabtu merupakan negara keempat dan setakat ini terbesar dalam zon euro yang memohon pelan penyelamat antarabangsa.   


Krisis euro yang berpanjangan merunsingkan banyak orang.  Presiden Barack Obama dalam sidang akhbarnya di Rumah Putih menggesa para pemimpin Eropah supaya bertindak sekarang kerana krisis ini mengancam pemulihan.  Mereka perlu mengambil tindakan "muktamad" untuk merangsangkan pertumbuhan ketika menangani hutang, sambil beliau menegaskan krisis zon euro memberikan ancaman serius terhadap ekonomi Amerika Syarikat. Obama mengingatkan mereka supaya bertindak segera demi mengelakkan keruntuhan ekonomi.  Demikian juga Canselor British, George Osborne yang mendakwa bahawa pemulihan Britain "dibunuh" oleh krisis euro.  


Tatkala Eropah bergelut dengan krisis dan para menteri benua itu terpaksa bertungkus-lumus untuk bertindak bersama-sama untuk menyelamatkan ekonomi yang kian runtuh, manakala Canselor Jerman Angela Merkel terus menunggu untuk "menghidupkan enjin," kisah kejayaan secara diam-diam muncul di selatan, iaitu Afrika. Benua itu mengalami pertumbuhan pendapatan yang panjang untuk 30 tahun, dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara purata kira-kira lima peratus setahun sepanjang dekad lalu.


Malahan, tahun ini, tulis Emily Dugan dalam The Independent hari ini, ketika pasaran di mana-mana sahaja runtuh, pendapatan di Afrika diunjurkan meningkat sebanyak kira-kira 4.5 peratus. Memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Afrika akan mempunyai ekonomi yang tumbuh pesat di dunia dalam lima tahun akan datang berbanding dengan mana-mana benua.  Ramalan IMF itu juga menunjukkan bahawa tujuh daripada 10 ekonomi yang tumbuh terpantas di dunia ialah negara di benua tersebut, iaitu Ethiopia, Mozambique, Tanzania, Congo, Ghana, Zambia, dan Nigeria, yang dijangkakan berkembang lebih enam peratus setahun hingga tahun 2015.  


Pastinya, kadar yang diramalkan itu bukan sahaja  lebih baik daripada Eropah yang kebanyakan negara mewujudkan  pertumbuhan yang lemah dan mengalami kemelesetan, tetapi mampu menyaingi India yang  kadar pertumbuhannya  menurut The Economist,  jatuh kepada 5.4 peratus. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...