Artikel Popular

Tuesday, September 18, 2012

Video yang Memusnahkan Romney

SELASA, 18 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jika sejak minggu lalu, kita menyaksikan YouTube  Innocence of Muslims yang mencetuskan tunjuk perasaan orang Islam di serata tempat, hari ini, kempen pilihan raya Amerika Syarikat dikejutkan oleh pita video yang merakamkan ucapan Mitt Romney semasa majlis pengumpulan dana pada 17 Mei lalu.  Video itu dikatakan bocor melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Jimmy Carter IV, cucu bekas Presiden Jimmy Carter, yang berkhidmat di Mother Jones.

Dalam  video itu didedahkan oleh David Corn dalam Mother Jones, Romney yang ditanya bagaimana beliau dapat memenangi pilihan raya, menjawab:  "Wujud 47 peratus orang yang akan mengundi untuk Presiden Obama tidak kira apa-apa sekalipun.  Baiklah, 47 peratus orang yang bersama-sama beliau, yang bergantung pada kerajaan, yang percaya bahawa mereka ialah mangsa, yang percaya kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga mereka, yang percaya mereka mempunyai hak kelayakan untuk penjagaan kesihatan, makanan, perumahan, dan apa-apa sahaja yang anda sebut.  Itulah adalah hak kelayakan.  Dan kerajaan sepatutnya memberikannya kepada mereka.  Dan mereka akan mengundi untuk Presiden tidak kira apa-apa.... Mereka ialah golongan yang tidak membayar cukai pendapatan... tugas saya tidak perlu bimbang akan orang ini.  Saya tidak akan meyakinkan mereka bahawa mereka sepatutnya mengambil tanggungjawab peribadi dan menjaga diri mereka."

Tulisan tentang kebocoran itu  dipetik dan/diulas secara meluas, antaranya oleh The Huffington Post, The Washington Post, New York Magazine,  Slate, dan bahkan oleh The Guardian - sekali lagi menujukkan kebodohan diri Romney, yang pastinya mengundang padah ketika pilihan raya hanya tinggal kira-kira 50 hari lagi.

Meskipun Romney mempertahankan apa-apa yang dikatakannya, beliau dianggap menggali lubang yang semakin dalam tatkala kempennya semakin goyang dan bercakaran sesama sendiri, seperti yang didedahkan oleh Politico. Michael Tomasky yang sentiasa mengkritik Romney, sekali lagi tidak melepaskan peluang untuk melakukan tugasnya.

Namun, tulisan yang keras datangnya daripada Josh Barro yang menulis dalam Bloomberg, bahawa hari ini, Romney kalah dalam pilihan raya.  "Anda boleh catat ramalan saya sekarang: Rakaman sulit daripada pengumpulan Mitt Romney yang berlangsung secara tertutup, dikeluarkan hari ini oleh David Corn di Mother Jones, membunuh kempen Mitt Romney sebagai Presiden."

Romney jelas Barro, telah pun menghadapi masalah untuk berhubung dengan orang awam dan meyakinkan orang ramai bahawa beliau mengambil berat tentang mereka.  Kini, beliau ditangkap  pada video mengatakan hampir separuh penduduk negara ini terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai harapan.

Pada zaman Internet ini, orang politik terutamanya, perlu berhati-hati dengan kelakuan dan tutur kata mereka.  Segala-gala dapat dirakamkan dan disebarkan  dengan mudah. Bagi Romney, beliau sendiri memusnahkan dirinya sendiri dan bukannya oleh musuhnya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...