Artikel Popular

Sunday, September 16, 2012

Tumpang Sekaki

AHAD, 16 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam mana-mana pilihan raya, akan wujud individu atau pihak yang ingin tumpang sekaki, bukan sekadar syok sendiri, tetapi mahu mencorakkan atau menentukan rentak kempen pilihan raya. Demikian juga dengan calon Presiden daripada Republikan, Mitt Romney yang bukan sahaja terpaksa menghadapi penjawat kini, Presiden Barack Obama dan kempennya, tetapi juga perlu menghadapi golongan tertentu.

Sepanjang kempen pilihan raya Presiden ini, Romney sering diasak dengan tempoh pemegangan jawatannya di Bain Capital dan penyata cukai pendapatan beliau. Sebaik-baik sahaja Persidangan Kebangsaan Parti Republikan di Tampa berakhir, tersebar berita tentang kecurian penyata cukai pendapatan beliau, lalu timbul persoalan: Siapakah yang melakukannya?

Orang yang mendakwa diri mereka pencuri itu berkata bahawa mereka memasuki pejabat PricewaterhouseCoopers di Franklin,  pada 25 Ogos lalu dan mencuri dokumen cukai berkenaan.  Mereka menuntut daripada Romney bayaran AS$1 juta dalam akaun Bitcoin sehingga 28 September, jika tidak, mereka akan mendedahkan penyata cukai pendapatan beliau itu yang pastinya menjejaskan peluang beliau untuk mara ke Rumah Putih.  

Apabila seorang calon Presiden diperas ugut, maka pihak perkhidmatan rahsia perlu melakukan siasatan, antaranya memeriksa, sama ada dokumen tersebut benar-benar dicuri, dan sekali gus, mereka mengetahui sesuatu yang ingin disembunyikan selama ini.

Selain kecurian tersebut, penerbit Hustler, iaitu Larry Flynt, dilaporkan menyiarkan iklan penuh dalam The Washington Post dan USA Today, menjanjikan "AS$1 juta untuk maklumat tentang penyata cukai pendapatan Mitt Romney yang tidak dimaklumkan dan/atau perincian aset luar pesisir, akaun bank, dan perkongsian perniagaan beliau."  Iklan yang sama juga disiarkan dalam akhbar di Zurich, Bermuda, dan Kepulauan Cayman, tempat terkenal untuk pengelak cukai.  "Flynt,"  tulis Lauren Ashburn dalam The Daily Beast, merancang untuk mendedahkan Mitt Romney."

Romney setakat ini, memaklumkan penyata cukai pendapatannya untuk tahun 2010 yang tidak lengkap, dan berjanji untuk memaklumkan yang tahun 2011.  Beliau bermati-matian enggan memaklumkan penyata cukai pendapatannya, meskipun didesak daripada oleh pelbagai pihak, seperti yang dimaklumkan oleh tinjauan pendapat, dan  daripada Republikan sendiri. Keengganan beliau ini mendorong individu atau golongan tertentu untuk mengacah atau mengganggu beliau sepanjang kempen berlangsung.  

Anehnya, Romney sebaliknya meminta bakal calon Naib Presiden yang akan menjadi regu beliau, seperti yang didedahkan oleh Daniel Klaidman, mengemukakan penyata cukai pendapatan masing-masing selama 10 tahun untuk penelitian beliau.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...