Artikel Popular

Saturday, September 29, 2012

Berita Baik Melimpahi Obama

SABTU, 29 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala Hari Pilihan Raya hanya tinggal kurang  40 hari lagi, dan beberapa buah negeri, seperti Iowa  mula mengundi lebih awal,   setiap calon yang bertanding dan kempen masing-masing seboleh-bolehnya mengelakkan daripada kesilapan.  Kedua-dua calon, iaitu Presiden Barack Obama dan Mitt Romney juga bersiap sedia untuk debat Presiden pertama mereka pada 3 Oktober ini.

Dalam pada itu, wujud faktor yang mungkin di luar kawalan, yang boleh menjejaskan calon, sama ada  Obama, ataupun Romney untuk memenangi Pilihan Raya Presiden kali ini.  Bagi Obama,  data pekerjaan yang dilaporkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan  dengan kadar pengangguran yang tinggi benar-benar meresahkan dirinya. Sebelum pilihan raya, beliau terpaksa menghadapi dua lagi laporan tersebut, yang mungkin menyebabkan Romney melompat keriangan.  Laporan lain yang terbaharu ialah  pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat  suku tahun kedua yang hanya 1.3 peratus, merupakan berita buruk untuk Obama.

Namun, bagi Obama yang kadar sokongan meningkat selepas Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, menurut tinjauan pendapat pengesanan harian Gallup, boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini, berita baik mencurah-curah.  Di tiga buah negeri, iaitu Ohio, Pennsylvania, dan Florida, menurut Nate Cohn, yang memetik tinjauan pendapat CBS News/New York Times/Quinnipiac University,  Obama mendahului Romney dengan digit berganda, iaitu 53 peratus. Tinjauan pendapat  terbaharu menunjukkan Obama mendahului Romney di tiga buah lagi negeri berayun, iaitu New Hampshire,  North Carolina, dan Nevada.

Selain tinjauan pendapat yang banyak memihak kepada beliau, penjagaan kesihatan  di negeri berayun juga memihak kepadanya.  Penjagaan kesihatan,  Obamacare yang menjadi sasaran  serangan Republikan dalam Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, turut digunakan oleh kempen Romney, terutamanya oleh calon Naib Presiden, Paul Ryan untuk menggasak Obama.  

Yang tidak kurang menarik, ialah sokongan penganut Katolik yang pada mulanya di belakang Romney, kini berubah ke arah Obama.  Sementara hartawan George Soros dilaporkan menyumbang AS$1 juta untuk super PAC pro-Obama dan AS$500,000 untuk PAC Majoriti Dewan dan PAC dan Majoriti Senat pada bulan September.  Soros yang selama ini, terutamanya pada tahun 2004, merupakan penyumbang utama  Demokrat, tetapi pada tahun ini  kurang menonjol.  Sementara kedudukan kewangan Obama, menurut USA Today, lebih baik sedikit daripada Romney, meskipun beliau tanpa penyumbang besar, seperti Sheldon Adelson, dan super PAC yang sumbangan kewangan mencurah-curah.

Dari segi dasar luar,  dua pertiga Amerika yakin kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk menangani masalah di luar negara, tertinggi dalam masa sembilan tahun sejak Perang Iraq.  Keyakinan ini merupakan berita baik untuk Obama, menurut tinjauan pendapat Gallup itu diadakan sempena hampir  setahun kematian   Muammar Gaddafi, tetapi sebelum serangan pada 11 September terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi, yang kesannya kini mula dirasai oleh Obama.   "Timur Tengah,"  seperti tegas Ronald Brownstein, "mengecewakan, sama ada Presiden Barack Obama ataupun Mitt Romney, dalam masa empat tahun akan datang."  

Program nuklear Iran yang menyebabkan Obama serba tidak kena dan pendiirian beliau dianggap lemah oleh kempen Romney, menjadi semakin rumit kerana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sentiasa mendesak Washington menyerang Iran, bahkan beliau dijadikan modal kempen untuk menggasak Obama.  Kedua-duanya, iaitu Obama dan Netanyahu tidak sehaluan dan Netanyahu dikatakan mengharapkan Obama kalah dalam pilihan raya ini.  Walau bagaimanapun, ketika berucap sempena Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Netanyahu memuji pendirian Obama terhadap Iran, dan kesannya,  mungkin tidak meminggirkan Obama dalam kalangan pengundi Yahudi di Amerika Syarikat.

Tatkala belanjawan  Romney jika dilaksanakan, menurut laporan, memusnahkan  pekerjaan,  penyemakan semula pekerjaan oleh Bureau of Labor Statistics, menunjukkan dari April 2011 hingga Mac 2012, 386,000 lebih orang mendapat pekerjaan bukan ladang berbanding dengan laporan asal.  Dengan data terbaharu ini menunjukkan bahawa Obama mewujudkan pekerjaan secara keseluruhan, atau dengan kata lain, wujud "pertumbuhan pekerjaan bersih" dalam penggal pertama beliau menjadi Presiden. Sementara sentimen pengguna meningkat pada paras tertinggi sejak Mei, iaitu kepada 78.3  daripada 74.3 bulan Ogos, manakala tinjuan pendapat Bloomberg menunjukkan bahawa rakyat Amerika merasakan keadaan lebih baik jika dibandingkan dengan tahun 2009.  Keyakinan awam terhadap ekonomi Amerika ini merangsang peluang Obama untuk dipilih semula.

Jika selama ini, ekonomi dianggap kelebihan Romney, tetapi mula disaingi oleh Obama,  bahkan beliau  berkempen di pentas ekonomi dan menyerang dasar cukai Romney. Paling tidak, kedua-dua calon  setara, seperti yang dibahaskan oleh Rich Miller, "Romney atau Obama yang menang bermakna tidak dapat mengelakkan daripada krisis fiskal hutang."

Pasaran saham yang semakin rancak seakan-akan  tahu Obama akan menang, ramal   Alex Klein dalam The Daily Beast.  Walaupun Wall Street pada tahun ini meninggalkan Obama, para pekerja penjagaan kesihatan, telekomunikasi, dan industri pertahanan, menurut Bloomberg, merancakkan kempen pemilihan semula Presiden Barack Obama.  

"Kucing gemuk" gelaran yang diberikan oleh Obama kepada Wall Street, diperhatikan mula akur bahawa beliau sedang meraih kemenangan untuk penggal kedua, berdasarkan  tinjauan pendapat di negeri berayun dan arah tuju data ekonomi dan pasaran.  Para eksekutif yang selama ini mengkritik keras terhadap beliau, mula berubah nada.

Menurut pemerhatian Robert J.  Samuelson, Obama kini mempunyai sahabat baru, iaitu ekonomi, meskipun ekonomi masih lemah menurut kebanyakan petunjuk, hanya optimisme pengguna mencatatkan perbezaan, iaitu pencapaian sederhana.  "Pasaran saham meningkat, seperti yang ditunjukkan oleh kajian keyakinan utama," tulis Samuelson, merujuk Gallup, University of Michigan, dan Lembaga Persidangan.  Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa berita baik untuk Presiden akan berubah jika angka pengangguran bulan September yang dijadualkan diumumkan pada 5 Oktober adalah teruk.

Sebaliknya, Romney  kelihatan tergopoh-gapah di Iowa, dan Ohio yang merupakan  kubu terakhir kempen  Presiden beliau, tetapi bahas Molly Ball, "Romney tergapai-gapai."  Sebagaimana beberapa pengulas yang lain, Molly juga menegaskan bahawa Mitt Romney kini kelihatan tewas dalam Pilihan Raya Presiden.  Pandangan negatif terhadap bekas Gabenor Massachusetts ini bahas Julie Hirschfeld Davis, menggerhanakan mesej tentang ekonomi.

Tatkala Romney masih bergelut dengan "47 peratus," Bain Capital terus menghantui beliau dengan pendedahan terbaharu dalam The Huffington Post, dan pendedahan video tahun 1985 oleh David Corn dalam Mother Jones, sememangnya menyempitkan lagi laluannya untuk ke Rumah Putih.  

Espeth Reeve yang menulis dalam The Atlantic Wire, mengimbas kembali  laluan 10 bulan lalu  yang agak mustahil dicapai.  Pada December 2011, pengurus kempen Presiden Obama, iaitu Jim Messina mengemukakan lima laluan untuk bosnya memperoleh 270 badan perwakilan pemilih yang diperlukan dan kesemuanya kelihatan sukar.  "Akan tetapi, 10 bulan dan banyak tinjauan pendapat kemudian," tulis Reeve, "laluan itu kelihatan banyak mudah" - merujuk Associated Press yang pergi jauh dengan melaporkan bahawa kempen Obama mungkin mara ke Arizona - negeri yang tidak dimasukkan dalam lima laluan. 

John Cassidy yang tidak menolak kemungkinan Romney boleh menang, tetapi cuba membahaskan mengapa ekonomi yang lembap tidak membantu beliau. Namun, Cassidy juga membangkitkan bahawa beberapa faktor ekonomi tidak memihak kepada Romney, sebaliknya merupakan kelebihan kepada Obama, seperti pasaran saham, jualan rumah tertangguh.  Ringkasnya, ekonomi tidak semestinya memberikan kelebihan kepada Romney, bahkan dapat menjejaskan peluangnya.

Pastinya juga, sokongan kuat  Bill Clinton memberikan kelebihan kepada Obama.  Kempen Romney bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan Obama yang terbukti sukar ditewaskan, tetapi juga dengan regu yang berpadu kuat, iaitu Obama-Clinton. Bekas Presiden itu yang berucap kira-kira 50 minit sempena Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik pada awal bulan ini  dan dalam ucapan itu beliau mencalonkan Obama untuk pertandingan Presiden ,  kelihatan turun padang dan berkempen.  Tidak pernah berlaku dalam pilihan raya bahawa bekas Presiden merupakan orang yang  begitu penting, seperti yang berlaku Clinton sekarang,  dan padanya Obama menyandarkan harapan untuk penggal kedua.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...