Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bekas Presiden, Bill Clinton, yang dianggap penyampai ucapan terbaik dalam Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik yang berlangsung di Charlotte, dan menduduki tempat keempat dari segi bilangan penonton yang mengikuti siaran langsung televisyen sempena persidangan berasingan Parti Republikan dan Demokratik, muncul dengan tulisannya dalam Time, membahaskan lima idea yang mengubah dunia.
Dunia kita, hujah Clinton, lebih saling bergantung jika dibandingkan dengan sebelum ini. Sempadan menjadi lebih seakan-akan jaring berbanding tembok, dan bermakna bahawa kekayaan, idea, maklumat, dan bakat dapat bergerak bebas di seluruh dunia, demikian juga kuasa negatif membentuk nasib kita yang dikongsi. Krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat dan merebak ke seluruh dunia merupakan bukti seterusnya bahawa biar apa pun yang terjadi, kita tidak dapat lari daripada satu sama lain.
Jelas beliau lagi, tiga cabaran besar dengan dunia kita yang saling bergantung: ketidaksamaan, ketidakstabilan, dan ketidakmapanan. Hakikat bahawa separuh penduduk dunia terpaksa hidup dengan pendapatan kurang AS$2 sehari dan sebilion orang dengan pendapatan kurang AS$1 sehari merupakan bukti yang jelas tentang ketidaksamaan, yang semakin meningkat di banyak tempat. Kita merasakan kesan ketidakstabilan bukan hanya dari segi kelembapan ekonomi global, tetapi juga dari segi keganasan, gangguan popular, dan konflik politik di Timur Tengah dan tempat lain. Dan, cara kita menghasilkan dan menggunakan tenaga adalah tidak mapan, mengubah cuaca kita dengan cara yang membayangi masa depan anak-anak kita.
Lima idea yang dibahaskan oleh Clinton itu ialah teknologi: telefon bermakna kebebasan, kesihatan: komuniti yang sihat berkembang maju, ekonomi: tenaga hijau sama dengan perniagaan yang baik, kesamaan: wanita memerintah, dan keadilan: perjuangan untuk masa depan mulai sekarang.
No comments:
Post a Comment