Artikel Popular

Friday, September 7, 2012

Kesan Eropah

JUMAAT, 7 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam unjuran terbaharunya memaklumkan bahawa United Kingdom adalah negara yang paling teruk dilanda kemelesetan dalam kalangan G-7.  Ekonomi negara itu dijangkakan menguncup 0.7 peratus pada tahun ini berbanding dengan 0.5 peratus dalam unjuran sebelum ini.  Hanya negara G-7 yang lebih teruk daripada United Kingdom ialah Italy yang dijangkakan merosot sebanyak 2.4 peratus, sedangkan Jerman dijangkakan tumbuh 0.8 peratus pada tahun ini.

Carta harian The Economist memetik laporan  OECD itu bahawa pertumbuhan ekonomi terjejas akibat krisis zon euro yang berpanjangan. Ekonomi global menjadi lemah sejak musim bunga dan OECD meramalkan bahawa dalam suku tahun yang akan datang, Keluaran Dalam Negara Kasar kumpulan negara kaya, iaitu G-7 akan tumbuh hanya 0.3 peratus (pada kadar tahunan), jatuh daripada 0.9 peratus dalam suku tahun kedua.

Carta harian itu juga memetik  angka yang dikeluarkan oleh Eurostat bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di 17 buah negara zon euro jatuh daripada sifar pada suku pertama tahun ini kepada -0.2 peratus dalam suku tahun kedua, dan daripada -0.1 peratus di 27 buah negara Kesatuan Eropah.  Permintaan yang perlahan di Eropah, menurut carta harian itu, membantu menjelaskan kejatuhan pesanan eksport pembuatan global yang baru sepanjang tiga bulan lalu, tetapi tinjauan mungkin sekadar cerah. 


Sementara itu, Mario Draghi, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) baru-baru ini memaklumkan pelan untuk menyelamatkan euro dengan membeli bon negara zon euro yang bermasalah, seperti Sepanyol dan Italy dalam kuantiti yang tidak terhad. Pengumuman ini, dilaporkan  merancakkan pasaran saham di sebelah menyebelah Atlantik;  beliau pula dianggap orang yang menyelamatkan Eropah dan dunia.

Pengumuman tersebut, pastinya membawa berita gembira, namun seperti yang dibahaskan oleh Larry Elliott, ada berita buruknya kerana pelan induk Draghi tidak akan cukup untuk menyelamatkan euro.  Rancangan pembelian bon oleh ECB, hujah G.I. yang menulis dalam The Economist, bukan terlalu kecil, tetapi mungkin terlalu lewat. 

Dari segi ekonomi sebenar pula, akibat pelaksanaan jimat-cermat,  zon euro terpaksa bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu secara purata, 11.3 peratus, manakala negara, seperti Sepanyol dan Greece mengalami pengangguran yang tinggi, iaitu masing-masingnya 25 peratus dan 23 peratus.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...