Artikel Popular

Tuesday, September 25, 2012

Obama: Reagan Demokrat

SELASA, 25 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika Hari Pilihan Raya hanya tinggal kira-kira 40 hari lagi, daripada pelbagai tinjauan pendapat menunjukkan bahawa calon Presiden daripada Republikan, iaitu  Mitt Romney semakin hilang kekuatan.  Presiden Barack Obama, diperhatikan mendahului lawannya, termasuk di negeri berayun; manakala di Colorado, beliau mendahului Romney dengan enam titik peratusan, iaitu 51 peratus berbanding 46 peratus.  

Ramalan terkini The Economist menunjukkan Obama meraih 334 badan perwakilan pemilih  berbanding 204 untuk Romney. Nate Cohn yang menganalisis beberapa tinjauan pendapat, merumuskan bahawa peluang Romney terjejas, meskipun beliau mendapati tinjauan pendapat oleh Gallup agak bercelaru. 

"Mitt Romney menjalankan kempen yang teruk," tulis William Galston.  "Jika pilihan raya diadakan esok, beliau akan kalah, suatu situasi yang mengejutkan kerana ekonomi kita terus muram.  Sememangnya, ini bukan kali pertama, ulasan bahawa Romney tewas dan Obama menang, bahkan John Cassidy mengemukakan tujuh teori mengapa Romney kalah.  Meskipun kadar pengangguran masih tinggi dan ditambah pula krisis Timur Tengah yang tercetus baru-baru ini, pada tanggapan pengundi, Romney, tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden, demikian tegas Dan Balz.

"Suria terbenam jua," isytihar Maureen Dowd dalam The New York Times, menandakan kekalahan Romney tidak dapat dielakkan lagi, meskipun beliau mempunyai  kewangan yang kukuh kerana adanya penyumbang besar, seperti Sheldon Adelson.  Romney, menurut Chris Cilliza, boleh mengikuti laluan George W. Bush pada tahun 2004 untuk menuju ke arah kemenangan, tetapi tidak boleh melakukan kesilapan yang berulang-ulang kali.

Malang bagi Romney, tatkala kapalnya terumbang-ambing, orang kuatnya, bekas Gabenor Minnesota, Tim Pawlenty, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersama Kempen Presdien Mitt Romney.  Sokongan kewangan yang kuat daripada super PAC yang diterajui oleh Karl Rove, diperhatikan mulai kendur, antaranya kerana calon harapan, iaitu Romney semakin hari, semakin tidak menjanjikan kemenangan.  Kempen Romney dipersalahkan, yang menurut Peggy Noonan, pengulas konservatif, "memerlukan ketua pegawai eksekutif yang baru."  Namun, Michael Tomasky menegaskan, jangan salahkan Romney dan kempennya, kerana masalah Republikan.

Tatkala masa kian suntuk untuk kempen Romney membetulkan kesilapan dan mengatur serangan, dan kemungkinan Republikan tewas dalam Dewan Perwakilan, kempen Obama pula dilaporkan melipatgandakan usaha mereka demi mengelakkan sikap puas hati dalam kalangan pengundi, manakala Obama pula terbang macam rama-rama.   Di ibu pejabat kempen Obama di Chicago, menurut Richard McGregor, teknologi digunakan dengan amat berkesan.

Dalam pada itu,  Andres Sullivan muncul dengan rencana utama dalam Newsweek, yang secara tersurat, bahawa Obama akan menang dalam pilihan raya kali dengan menyamakan beliau sama seperti bekas Presiden Ronald Reagan.  Sebagaimana Reagan, Obama juga terpaksa menghadapi pelbagai masalah, tetapi beliau dapat mengharungi segala-galanya dalam penggal kedua kelak.  

Walau bagaimanapun, ini bukannya kali pertama muncul tulisan tentang penggal kedua Obama. Lebih tiga bulan lalu, Ryan Lizza menulis dalam The New Yorker, apakah yang perlu lakukan jika beliau dipilih semula juga membayangkan supaya beliau mengikut jejak Reagan.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...