Artikel Popular

Saturday, September 1, 2012

Eropah Gagal?

SABTU, 1 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis zon euro tidak menunjukkan tanda akan reda dan kesan jangkitan sukar dikawal. Pengangguran di 17 buah negara mata wang bersama itu dilaporkan mencecah 18 juta orang pada bulan Julai atau 11.3 peratus.  Sementara kemelesetan Sepanyol semakin teruk apabila  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  suku  kedua tahun 2012,  jatuh 0.4 peratus dari suku pertama akibat pelaksanaan jimat-cermat.  Canselor Jerman, Angela Merkel yang selama ini diharapkan menyelamat zon euro, terpaksa memohon pertolongan China.  

Pendek kata, memetik Martin Cohen, "kegilaan ekonomi di zon euro."  Eropah pernah dikatakan sedang menghadapi kejatuhan dan impian benua itu malap.   Zon euro berkemungkinan berkecai; demikian juga Kesatuan Eropah.   Demikian juga dengan kapitalisme dan demokrasi yang berkecamuk dan saling menggagalkan antara satu sama lain.

Adakah Eropah gagal? tanya Nicholas Sambanis dalam The New York Times dengan membangkitkan banyak faktor di sebalik krisis yang berlaku: daripada rasuah dan tidak bertanggungjawab secara kolektif di Greece kepada ketegaran institusi Eropah dan konsep yang cacat tentang kesatuan monetari tanpa kesatuan fiskal.  

"Krisis hutang Eropah, tegas Sambanis, "bukan hanya kisah tentang perbelanjaan membazir dan dasar monetari yang tegar.  Krisis hutang Eropah bukan sekadar krisis ekonomi, tetapi juga mencetuskan krisis jati diri, iaitu konflik etnik."

Terjebak ke dalam konflik etnik di Eropah tidak melibatkan keganasan, bahas beliau, tetapi dapat membawa kemusnahan  kedua-duanya, iaitu dari segi ekonomi dan politik, misalnya ketegangan yang semakin memuncak antara Greece dengan Jerman.  Kajian terbaharu mendapati kebanyakan orang Jerman mahu Greece kelaur dari zon euro jika negara itu tidak melakukan pembaharuan dengan segera.

Eropah, menurut Robert D. Kaplan, bergelut dengan dendam geografi yang menyaksikan kedatangan konflik.

1 comment:

  1. Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya........

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...