Artikel Popular

Thursday, September 27, 2012

Jimat-cermat: Tentangan Rakyat Tanpa Kesudahan

KHAMIS, 27 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Potong.  Potong.  Demikian arahan yang diberikan oleh troika, iaitu Kesatuan Eropah, Bank Pusat Eropah (ECB),  dan Kesatuan Eropah.  Kalau tidak, pelan penyelamat yang dijanjikan tidak akan diserahkan.   

"Oleh sebab potongan jimat-cermat menjadi-jadi, maka orang Greece mogok, tetapi lebih banyak potongan yang didesak," lapor Barbie Latza Nadeau.  Politik jimat-cermat Eropah, menurut Matthew Yglesias, dikejutkan oleh mogok umum Greece, ugutan berterusan Cataln, dan protes orang Sepanyol. 

Dalam masa beberapa hari ini di beberapa buah negara zon euro, menyaksikan tentangan keras terhadap jimat-cermat, dari Madrid ke Athens.  Di Sepanyol, persediaan untuk jimat-cermat yang lebih banyak disambut oleh protes, dan  menurut Bloomberg, bon merosot kerana penunjuk perasaan merancang protes seterusnya. Usaha Perdana Menteri, Mariano Rajol untuk memulihkan keyakinan pelabur terjejas apabila Presiden Catalan, Artur Mas mengadakan pilihan raya awal untuk mendesak "penentuan diri" untuk wilayah terbesar di negara itu.

Di ibu kota Greece, dilaporkan, berbelas-belas orang ditahan ketika mogok satu hari menentang potongan perbelanjaan yang dirancang sebanyak AS$15 bilion.  Inilah kali pertama tindakan yang diterajui oleh kesatuan sekerja sejak pakatan yang diketuai oleh puak konservatif berkuasa pada bulan Jun.  Greece memerlukan ansuran 31 bilion euro seterusnya daripada pelan penyelamat antarabangsa, tetapi dengan kadar pengangguran yang tinggi dan satu pertiga rakyat negara itu terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan, pastinya tercetus penentangan yang kuat terhadap pemotongan yang seterusnya.

Di sebalik pelbagai usaha untuk menyelesaikan krisis zon euro, seperti yang dibahaskan oleh editorial The Guardian, yang sering diabaikan ialah rakyat jelata yang menanggung akibatnya.  Dengan menegaskan bahawa protes jimat-cermat Eropah, "gila macam neraka," menurut editorial itu, "di tengah-tengah jimat-cermat adalah mustahil untuk menafikan politik: lebih 200,000 orang penunjuk perasaan turun di jalanan di Athens; beribu-ribu orang mengepung Parlimen di Madrid; dan minggu lalu, lebih setengah juta orang berarak di kota-kota seluruh Portugal untuk membantah potongan keselamatan sosial.

"Satu perlima penduduk Catalonia, iaitu 1.5 juta orang," tambah editorial itu, "berarak  minggu lalu dalam apa yang dapat ditafsirkan kebangkitan sentimen pemisahan.  Bagi mereka, bukan sekadar kontrak dengan Brusels dan Frankfurt bahawa perlu dirunding semula, tetapi kontrak dengan Madrid, dalam kata lain, perlembagaan."

Sesungguhnya, bagi para pemimpin negara yang dilanda krisis hutang, seperti Greece, Sepanol, dan Portugal, mereka bagaikan dihimpit dari pelbagai penjuru:  Troika yang mendesak pemotongan belanjawan dan pelaksanaan jimat-cermat, dan rakyat jelata yang naik berang kerana kehidupan mereka semakin sengsara akibat langkah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...