Artikel Popular

Wednesday, September 5, 2012

Cukai Terus Menghantui Romney

RABU, 5 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ucapan penerimaan pencalonan Presiden yang disampaikan oleh Mitt Romney sempena Persidangan Kebangsaan Republikan baru-baru ini, menurut tafsiran Paul Begala, "kegagalan yang cukup besar."  Laporan Gallup menunjukkan bahawa ketika persidangan itu, Romney hanya menghasilkan lantunan yang rendah.  

Sementara Bain Capital yang menjadi kebanggaan Romney untuk ke Rumah Putih,  dan firma ekuiti itu  menduduki tengah pentas semasa persidangan, menurut The New York Times, sedang disiasat kerana disyaki gagal membayar cukai.

Harry Reid, Pemimpin Majoriti Senat yang pernah mendakwa Romney tidak membayar cukai pendapatan selama 10 tahun, menggunakan kesempatan berucap dalam Persidangan Kebangsaan Demokratik di Charlotte, North Carolina, menggasak calon Republikan kerana keengganannya mengeluarkan penyata cukai pendapatannya.  

Tegas Reid, tidak pernah berlaku dalam sejarah Amerika moden mempunyai calon Presiden yang bersusah payah menyembunyikan dirinya daripada rakyat yang beliau harap untuk berkhidmat.  "Jika anda melihat satu penyata cukai yang beliau keluarkan, memang jelas mengapa.  Memang jelas mengapa hanya satu penyata cukai.  Kita dengar bahawa beliau membayar kadar cukai yang lebih rendah daripada keluarga kelas menengah."

Boleh dikatakan bahawa pelbagai pihak mengkritik Romney kerana keengganannya mengeluarkan penyata cukai pendapatannya kepada orang ramai, termasuk daripada beberapa orang daripada Republikan sendiri.  Pengurus kempen Obama, Jim Messina pernah mencadangkan Romney  memaklumkan penyata cukai pendapatan untuk lima tahun sahaja sudah memadai.  Beliau berjanji jika Romney memenuhi tuntutan itu, kempen Obama tidak akan lagi mengungkitkan perkara itu.  Namun, pihak kempen  Romney masih berdolak-dalik dengan alasan bahawa cukai bukannya suatu isu.

Kritikan terhadap tindak-tanduk Romney itu juga datang daripada Joseph Stiglitz,  yang menulis dalam The Guardian.  Bagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu, pengelakan cukai Mitt Romney itu melemahkan ikatan masyarakat Amerika.  Jika ahli politik dan orang di sekelilingnya tidak membayar cukai secara adil, hujah beliau, bagaimana kita mengharapkan  orang lain melakukannya.  

"Tema utama yang mendasari debat politik di Amerika Syarikat," hujah Stiglitz "ialah peranan negara dan perlunya tindakan kolektif.  Sektor swasta, meskipun penting dalam ekonomi moden, tidak dapat memastikan kejayaannya semata-mata.  Misalnya, krisis kewangan yang bermula pada tahun 2008 menunjukkan perlunya kawal selia yang cukup."



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...