Artikel Popular

Monday, September 24, 2012

Krisis Orde Lama

ISNIN, 24 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam keluaran khas Mei-Jun 2012, The National Interest  muncul dengan “Krisis Orde Lama” bahawa kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan dunia sekeliling menghadapi krisis yang semakin bertambah.  Berlaku krisis Orde Lama yang status quo yang wujud sekian lama hancur musnah dan tidak ada sesiapa pun nampaknya mengetahui dengan tepat apakah yang perlu dilakukan terhadap krisis itu. 
            Kini, kemerosotan Pax Americana kian kelihatan dan semakin diperdebatkan, meskipun keterhakisan hegemoni Amerika telah mendapat perhatian seawal tahun 2000-an tatkala negara itu dan sekutunya masih meraikan keruntuhan Tembok Berlin yang menandakan kemenangan kapitalisme dan demokrasi liberal. Antara penulis atau cerdik pandai yang berani ke hadapan mengingatkan bahawa kuasa Amerika tidak sekuat yang dijangkakan, sebaliknya kian lemah, ialah Immanuel Wallerstein, Charles Kupchan, Robert Kaplan, dan George Soros.
                Pastinya, tidak mudah untuk menerima hakikat kemerosotan  Amerika Syarikat di peringkat global, bahkan ada yang menafikannya, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Robert Kagan dalam The New Republic pada awal tahun ini bahawa Amerika tidak terhakis dan segala-galanya merupakan mitos. Kemerosotan Amerika, hujah Kagan,  “jika memang benar, akan bermakna dunia yang berbeza untuk setiap orang.”  Menolak hakikat kemerosotan itu, beliau mengulas banyaknya komentar kemerosotan sekarang bergantung pada analisis yang agak longgar, tentang tanggapan bahawa Amerika Syarikat sesat dalam perjalanannya, bahawa negara ini meninggalkan kebijakan yang menjadikannya berjaya pada masa lalu, bahawa Amerika ketandusan keazaman untuk menangani masalah yang dihadapinya.  Rakyat Amerika melihat negara lain yang ekonomi yang lebih baik daripada ekonomi mereka sendiri.
            Tulisan Kagan, puak neokonservatif, banyak diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila Presiden Barack Obama, seperti yang dilaporkan dalam Foreign Policy,  “mendakap teori penasihat Mitt Romney, calon Presiden daripada Republikan tentang ‘mitos kemerosotan Amerika’.”   Obama dikatakan memetik Kagan  semasa beliau menyampaikan ucapan sempena State of the Union dengan menegaskan: “Pembaharuan kepimpinan Amerika dapat dirasai di seluruh dunia.  Daripada pakatan yang kita bina untuk memperoleh bahan nuklear, kepada misi yang kita terajui menentang kebuluran dan wabak penyakit; daripada pukulan yang kita kenakan terhadap musuh kita, kepada kuasa yang lama bertahan tentang contoh moral kita, sesungguhnya, Amerika kembali semula.”
            Kumpulan editor yang menulis keluaran khas The National Interest, memetik buku Arthur Schlesinger Jr. The Crisis of the Old Order  yang menumpukan sebahagian besar buku itu untuk menjelaskan Orde Lama dalam krisis.  Orde Lama yang dimaksudkan itu berasaskan kecemerlangan global Eropah, kekuatan tentera laut British dan penguasaan kewangan negara itu, dan keseimbangan angkatan tentera di benua Eropah, dimusnahkan dengan Perang Dunia Pertama, dan tidak ada struktur baru kestabilan yang muncul untuk menggantikan Orde Lama itu hingga Perang Dunia Kedua, yang menyaksikan kemunculan orde baru, iaitu Amerika Syarikat dengan ketenteraannya, kekuatan mata wangnya, dolar, dan keseimbangan kuasa antara Barat yang diterajui oleh Amerika dengan Kesatuan Soviet.  Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Franklin Roosevelt yang berjaya membentuk semula struktur politik Amerika, kemudian membentuk semula dunia.  Hasilnya, orde baru kestabilan relatif, kemakmuran Barat,  dan pembangunan global, yang disebut Pax Americana, dan bertahan hampir 70 tahun.
            “Kini, orde baru yang Roosevelt ciptakan itu merupakan Orde Lama, dan orde itu dalam krisis, sebagaimana Orde Lama ketika kemunculan beliau dalam krisis itu. Status quo,  seperti yang wujud pada masa Roosevelt tidak dapat dipertahankan. Kita hidup pada zaman peralihan.”  Tulis kumpulan editor itu lagi, “Amerika masih kuasa cemerlang dunia dan akan kekal sedemikian untuk suatu tempoh yang lama.  Akan tetapi, era apabila dunia secara amnya menerima ketuanan Amerika sampai ke penghujungnya.  Cabaran terhadap ketuanan Amerika Syarikat muncul dari segenap penjuru: kebangkitan China dan kemunculan Turki, Brazil, Rusia, dan India.  Sementara Timur Tengah memilih arah tuju  baru yang berani yang pastinya tidak akan mengalu-alukan pujuk rayu an pengaruh Amerika.  Dan Eropah berhadapan dengan cabaran yang amat mengganggu perasaan pada era pascaperang  Dengan zon euro diancam oleh masalah hutang dan ketegangan memuncak antara negara di utara Eropah dengan di selatan, membangkitkan persoalan tentang kelangsungan Kesatuan Eropah itu sendiri.
            Makalah lain yang terkandung dalam majalah itu ialah dunia dalam transformasi yangditulis oleh Brent Scowcroft; beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara untuk Presiden Gerald Ford dan Presiden H. W. Bush.  Scowcroft antaranya berhujah bahawa “kita hidup di dunia yang kita ketahui dan dunia yang membentuk pemikiran kita, tetapi bahawa dunia dalam proses transformasi.  Kita bergelut dengan institusi dan amalan Dunia lama apabila bahawa Dunia Lama yang longlai.”  Jelas beliau sambil mengakui,  “apabila Kesatuan Soviet dan empayarnya runtuh, kami  dalam Pentadbiran Bush mungkin menyedari berakhirnya Perang Dingin menandakan berakhirnya tempoh sejarah, tetapi kami tidak membayangkan sepenuhnya apakah sebenarnya era baru yang akan muncul.”  Beliau menyatakan globalisasi yang menjejaskan seluruh sistem secara mendalam, iaitu pertumpuan yang tidak dapat disekat  dari segi  pasaran, negara bangsa, orang ramai, teknologi, dan bentuk komunikasi merentas sempadan negara.  Proses ini sebenar mula berlaku ketika Perang Dunia, tetapi diperlahankan oleh dunia yang berpecah belah.
            Krisis Orde Lama ini, seperti yang dibahaskan oleh Christopher Layne yang makalahnya turut  dimuatkan dalam keluaran khas The National Interest itu, menyaksikan anjakan kuasa global dari Barat ke Timur.  Beliau mengkritik para pemimpin Amerika Syarikat  yang menafikan keterhakisan kuasa besar Amerika Syarikat dari segi kedudukan globalnya, daripada Presiden Barack Obama dan  Setiausaha Negara, Hillary Clinton kepada calon Presiden Republikan, Mitt Romney dan Jon Huntsman.  Bagi Layne, “era Amerika” hampir berakhir.  Tanpa menghiraukan, kuasa dan pengaruh Amerika terhadap sistem politik antarabangsa akan berakhir dengan ketara daripada apa yang pernah dialami   pada mercu Pax Americana.  “Bahawa Orde Lama,” beliau mengingatkan, “mara menerusi peristiwa penting Perang Dunia Pertama, Kemelesetan Besar, dan Perang Dunia Kedua. Kini, Orde Lama yang wujud hampir tujuh dekad,  beransur-ansur pudar dari latar.” 
Pastinya, apa yang dibahaskan oleh oleh Layne tidak memeranjatkan kerana seperti yang dikatakan pada permulaan makalah ini, kemerosotan Barat, khususnya Amerika Syarikat sering diperkatakan.   Dalam keluaran 22 Ogos tahun lalu misalnya,  Time muncul dengan “kemerosotan dan kejatuhan Eropah (dan mungkin Barat).  Seterusnya, pada Mac tahun ini, Charles A. Kupchan menulis dalam The Atlantic tentang kemerosotan Barat dan mengapa Amerika mesti bersiap sedia untuk berakhirnya ketuanan.   Amerika Syarikat akan kekal sebagai negara paling berkuasa, tetapi dunia berubah.  Dalam keluaran November 2002 majalah yang sama, Kupchan menulis berakhirnya Barat,  tetapi membayangkan cabaran terhadap Amerika Syarikat bukannya daripada China dan  dunia Islam, tetapi daripada Kesatuan Eropah.  Di sini beliau tersilap kerana  realiti masa kini, China dan pada takat tertentu dunia Islam,  yang mencabar Amerika Syarikat, manakala Eropah, akibat krisis hutang yang berpanjangan hanya menunggu detik dan ketika untuk berkecai.  
Meskipun Christopher Layne menyedari bahawa era Amerika hampir berakhir, beliau tidak pasti:  Apakah yang akan menggantikan Orde Lama?  Bagaimana Washington dapat melindungi kepentingannya pada era global baru? Dan berapa banyak gangguan antarabangsa akan melayani peralihan daripada yang lama kepada yang baru?  Namun, sebagaimana beberapa orang penulis lain, Layne juga dapat mengesan banyaknya tanda kemunculan orde dunia; pertama ialah yang menghairankan kebangkitan pesat China kepada status kuasa besar, kedua-duanya, iaitu dari segi ketenteraan dan ekonomi.  Dalam bidang ekonomi, memetik unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa bahagian China dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia sebanyak 15 peratus hampir menyamai bahagian Amerika  Syarikat yang menguasai bahagian KDNK dunia sebanyak 18 peratus pada tahuna 2014.  Dari segi ketenteraan, Layne menegaskan bahawa oleh sebab China menjadi kaya-raya, perbelanjaan ketenteraannya akan berkembang.  Memetik The Economist, yang mengunjurkan bahawa perbelanjaaan ketenteraan China akan menyamai Amerika Syarikat pada tahun 2025.   Cabaran yang semakin meningkat terhadap Orde Lama, jelas Layne lagi, datangnya kuasa serantau yang bercita-cita tinggi, seperti China, Brazil, Rusia, Turki, dan Indonesia.  Memandangkan  Amerika secara relatifnya hilang kedudukan, kuasa yang sedang muncul  semakin berani untuk menguji dan membuktikan orde semasa dengan memerhatikan ke arah membentuk semula sistem antarabangsa dengan cara yang mencerminkan kepentingan, norma, dan nilai mereka.
Antara makalah lain yang dimuatkan dalam The National Interest ialah dilema hasil tambah sifat Eropah oleh Gideon Rachman, dan pertambahan mendadak “dunia kedua” oleh Parag Khanna.  Rachman  membahaskan bahwa krisis hutang  Eropah mengancam orde politik yang dibina lebih setengah abad.  Kemungkinannya, hujah beliau, mata wang tunggal Eropah tidak dapat mengharungi krisis.  Dijangkakan bahawa jika mata wang euro runtuh, Kesatuan Eropah akan turut runtuh bersama-sama.  Seterusnya, pemusnahan Kesatuan Eropah akan menyingkirkan organisasi yang dibina sekitar politik pascaperang.
Sementara Parag Khanna membahaskan bahawa Orde Lama tidak lagi layak sebagai orde sambil menjelaskan istilah “Orde Dunia” yang melambangkan agihan stabil kuasa di seluruh dunia.  Akan tetapi, penumpuan kuasa hari ini, hujah beliau, dalam keadaan berubah-ubah yang amat sangat, dicirikan oleh difusi dan entropi yang pesat ke arah set luas kuasa yang sedang muncul yang kini berkongsi pentas serantau dan global.   Faham berbilang hala atau multilateralisme berpusatkan Barat yang mewakili komponen politik terbaik sistem dunia yang kian berkecai.  
Sebagaimana para penulis lain, termasuk dalam keluaran khas ini, Khanna juga mengakui bahawa satu penyumbang utama berkuburnya Orde Lama ialah apa yang dikenali sebagai kuasa yang sedang bangkit, seperti China, India, Rusia, dan Brazil.  “Negara ini,” hujah beliau, “semakin berfungsi sebagai tonggak orde serantau dan juga menggunakan kuasa melampau jiran terdekat mereka.  Menurut kebanyakan ukuran, China telah pun menjadi kuasa besar; negara ini menunjukkan pengaruhnya dalam keputusan diplomatik, ekonomi, dan strategik hampir seluruh negara di dunia.  India, Brazil, dan Rusia jauh di belakang China, tetapi realitinya dari  segi  politik, negara itu tidak  perlu membentuk sistem baru untuk melemahkan sistem yang wujud sekarang.”
Hakikatnya, kemerosotan Pax Americana sering dikaitkan dengan kebangkitan China terutamanya.   Tanpa menafikan bahawa dari  segi ekonomi dan ketenteraan, China dalam pembikinan sebagai kuasa besar.  Bagi rakyat Amerika, wujud hanya satu kuasa besar, dengan itu, kebangkitan China akan secara automatik mengorbankan Amerika Syarikat. Sesungguhnya, bagi banyak orang di Amerika Syarikat, China menunjukkan pelbagai cabaran.  Namun, China diragui bukan sahaja sebagai kuasa besar, tetapi juga sebagai kuasa dunia.  Dari segi ekonomi  misalnya, dianggap sekadar cantik di luar, tetapi buruk di dalam, dan mata wangnya masih tidak digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa. 
Kalaupun Amerika Syarikat benar-benar merosot dan eranya akan berakhir, penggantinya sukar dipastikan.  Setakat ini, China dikatakan pencabarnya yang terdekat, tetapi negara itu diperhatikan tidak layak untuk menggantikan kuasa besar yang pernah bertapak kukuh itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...