Artikel Popular

Saturday, September 8, 2012

Siapakah Penyelamat Eropah?

SABTU, 8 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Melalui tulisan dalam The Daily Beast, Zachary Karabell mengiystiharkan Mario Draghi, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), mungkin penyelamat Eropah dan dunia. Keputusan beliau untuk menyediakan dana yang hampir tidak terhad untuk kerajaan yang kesusahan boleh membawa kepada berakhirnya krisis zon euro, menghentikan kejatuhan domino kewangan, dan membawa kepada kestabilan ekonomi global.

Sejak Draghi mengumumkan pelan penyelamat zon mata wang bersama itu, merancakkan pasaran saham global dan meningkatkan euro.  "Nasib 17 buah negara zon euro," tegas editorial The Guardian, "terletak pada bahu satu orang, iaitu Mario Draghi."

Sejak Eropah dilanda krisis ekonomi, seorang demi seorang pemimpin diketengahkan sebagai penyelamat benua itu.  Pada mulannya harapan diletakkan pada Canselor Angela Merkel kerana Jerman bukan sahaja merupakan ekonomi terbesar dalam Kesatuan Eropah dan zon euro, tetapi negara itu mempunyai saku yang dalam yang mampu membantu negara zon euro yang bermasalah, seperti Greece, Ireland, dan Portugal.  Namun, Angela tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bertindak, beliau sering kelihatan terhegeh-hegeh, dan tekanan politik dalam negaranya menyebabkan beliau sukar bertindak.

Apabila Morio Monti menggantikan Silvio "Bunga Bunga" Berlusconi sebagai Perdana Menteri Italy, menurut Michael Schuman yang menulis dalam Time, merupakan orang yang paling  penting di Eropah dan nasib ekonomi dunia terletak dalam tangan beliau.  Namun, terbukti bahawa Monti gagal, malahan negaranya sendiri terjebak dalam krisis hutang.  Dalam kalangan G-7, menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Italy dijangkakan  mencatatkan kemelesetan paling teruk, iaitu 2.4 peratus pada tahun ini. Terbukti bahawa Monti bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi politik: Berlusconi berura-ura untuk kembali aktif dan mula memberikan kata dua kepada Jerman.

Tentang rancangan Draghi untuk menyelamatkan Eropah, sebagaimana Larry Elliott dalam The Guardian, Derek Thompson yang menulis dalam The Atlantic, meraguinya, dan dengan itu, terlalu awal untuk menyatakan bahawa Draghi penyelamat Eropah, apatah lagi dunia. Memang diakui bahawa Draghi lebih berkuasa jika dibandingkan dengan para pemimpin Eropah, seperti yang dibahaskan A.L.G. dalam The Economist, apabila Presiden ECB memaklumkan bahawa beliau akan menyelamatkan zon euro, semua perhatian tertumpu pada beliau.

Tatkala seorang demi seorang pemimpin diketengahkan dengan harapan menyelamatkan Eropah (juga dunia), tetapi semuanya tidak menjadi, nama Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, turut tersenarai.  "Nasib Eropah dan dunia kini," tulis Matthew Yglesias, "dalam tangan Rajoy."

Pernah dikatakan bahawa pemimpin lahir semasa krisis, tetapi dalam kes Eropah yang mengalami krisis yang berpanjangan, "yang indah itu belum lahir lagi."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...