Artikel Popular

Saturday, September 15, 2012

Kebebasan Bersuara yang Membawa Padah

SABTU, 15 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Untuk membolehkan orang ramai menjejaki protes umat Islam  di seluruh dunia terhadap video YouTube anti-Islam yang masa tayangannya hanya 14 minit, The Atlantic Wire menyediakan peta Google saling aktif.    Sejak pembunuhan duta Amerika Syarikat dan tiga orang lain di Benghazi, Libya baru-baru ini,   tunjuk perasaan umat Islam di serata tempat, terutamanya di Timur Tengah dan filem yang mencetuskan kontroversi, iaitu Innocence of Muslims, terus  menjadi tumpuan.  Kedutaan Amerika, British, dan Jerman dilaporkan menjadi sasaran penunjuk perasaan.

Meskipun apakah faktor sebenar di sebalik serangan itu belum dapat dipastikan, pada tanggapan umum, mempunyai kaitan yang kukuh dengan pembikinan filem tersebut.  Dalam pada itu, selepas pembunuhan tersebut, sebilangan rakyat Libya muncul untuk menunjukkan bahawa mereka bukan anti-Amerika, atau memetik Mona Eltahawy, penunjuk perasaan di Timur Tengah sepatutnya keluar daripada pasungan, "mengapa mereka membenci kita?"

Beberapa individu, menurut Time, terlibat dalam pembikinan filem  tersebut.   Nakoula Basseley Nakoula yang mempunyai rekod jenayah penipuan bank pada tahun 2009, kini menjadi perhatian.  Promoter filem tersebut, Steve Klein, yang terkenal dengan sikap anti-Islam, kini berada di tengah pentas.  Selain itu, paderi Terry Jones, yang memang anti-Islam pernah berura-ura untuk membakar Qur'an,  turut  terlibat dalam mempromosikan filem ini, tetapi hal ini dinafikan oleh Klein yang juga memberitahu bahawa "Sam Bacile" bukan rakyat Israel dan bukan orang Yahudi, tulis Jeffrey Goldberg dalam The Atlantic.

Hujah yang diberikan oleh pihak yang terlibat dalam pembikinan filem ini ialah kebebasan bersuara, dan hasrat mereka kini lebih mudah dicapai kerana menurut Michael Hogan, penurunan kos membolehkan sesiapa sahaja membikin filem.  Justeru, William Saletan mengingatkan bahawa video Internet akan mengaibkan agama, dan "apa yang berlaku minggu ini, akan berlaku lagi."  

Pada zaman Internet ini akan sentiasa muncul orang yang bermotivasi atau individu yang diperkasa untuk melakukan apa-apa sahaja, termasuk mencetuskan pergolakan sosial dan menggugat negara bangsa. "Video virus menjadi silap" bukan sahaja boleh mencetuskan pertembungan peradaban, tetapi juga mencorakkan pilihan raya di Amerika Syarikat

Jika pada suatu ketika dahulu, pertikaian melibatkan sebuah negara bangsa dengan negara bangsa yang lain, tetapi kini, pelaku tanpa negara muncul untuk menggoncangkan masyarakat dan memporakperandakan dunia. Seperti dalam filem anti-Islam yang diusahakan oleh Kristian Coptic Mesir, tetapi orang Yahudi dipersalahkan, dan Amerika Syarikat pula terjebak dalam krisis yang dalam ini.

Memang silap kerana membunuh diplomat Amerika dan sesungguhnya suatu tragedi semata-mata dicetuskan oleh filem tersebut, namun inilah harga yang perlu dibayar atau pengorbanan yang perlu ditanggung akibat kebebasan bersuara.  Hak kebebasan bersuara lawan hak kebebasan bertindak!

Melampaui persoalan kebebasan bersuara yang akhirnya membawa padah, Bobby Ghosh yang menulis "The Agents of Outrage" dalam Time, bahawa serangan maut terhadap kotakara diplomatik Amerika Syarikat di Mesir dan Libya, membangkitkan persoalan adakah Pemberontakan Arab menyebabkan Timur Tengah semakin bahaya?  

Sementara Michael Koplow yang menulis dalam Foreign Policy mengingatkan bahawa rusuhan terhadap kedutaan tidak akan berakhir dan protes ganas terhadap Amerika Syarikat di negara Arab akan menjadi lebih lazim.


Berikutan tragedi di Libya itu, Google membuat keputusan menyekat filem Innocence of Muslims mungkin kerana desakan Pentadbiran Obama. Tindakan  Google itu, seperti yang dibahaskan oleh Rebecca J. Rosen,  tidak lagi dapat mempertahankan prinsip kebebasan bersuara yang merupakan anutannya selama ini.

Sesungguhnya, tidak sukar untuk memahami mengapa dunia Arab mudah tersinggung, seperti yang dibahaskan oleh Fouad Ajami, juga di dunia Islam. Selagi wujudnya orang, seperti  Pat  Robertson yang tidak henti-henti menghina Islam, maka selagi itulah orang Islam akan menunjukkan keberangan mereka.

Jangan salahkan mangsa semata-mata! 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...