Artikel Popular

Tuesday, September 11, 2012

Impak Ucapan Clinton

SELASA, 11 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte pada minggu lalu seakan-akan menyaksikan Bill Clinton dan bukannya Barack Obama,  yang akan bertanding atau penjawat kini Presiden Amerika Syarikat.  Dalam ucapan pencalonan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokratik, sememangnya, menyuntik semangat para perwakilan dan anggota Demokrat dan menyerang pihak lawan, iaitu Mitt Romney dan Republikan.  Obama yang berucap pada malam berikutnya, iaitu sebagai penerimaan pencalonan, nyata tidak dapat menandingi Clinton: ucapannya mengecewakan. Dari segi ucapan, Obama bukan sahaja dibayangi oleh Clinton, tetapi juga oleh isterinya, Michelle.

Komen atau ulasan yang memberangsangkan tentang ucapan bekas Presiden itu dapat dilihat di sebelah menyebelah Atlantik, misalnya oleh Jonathan Freedland yang menulis dalam The Guardian,  yang mencadangkan supaya pemimpin Parti Buruh, Ed Miliband belajar daripada masterclass  Bill Clinton. Penyokong terbaik untuk kepresidenan Obama, hujah Freedland, nyata bukannya Obama sendiri, tetapi oleh Bill Clinton. 

Meskipun kedua-duanya, iaitu Obama dan Clinton pernah tidak sehaluan berikutan persaingan antara Obama dengan Hillary dalam pemilihan awal Demokratik pada tahun 2008, dalam ucapan di Charlotte itu, bekas Presiden itu mempertahankan rekod Obama, seperti penjagaan kesihatan, kebajikan, dan pekerjaan, dan dengan itu, beliau wajar dipilih untuk penggal kedua. Seperti yang dibahaskan oleh Timothy Noah dalam The New Republic, "Clinton adalah lebih baik daripada Obama untuk menjelaskan mengapa Obama lebih baik daripada Clinton.  Atau seperti yang ditegaskan oleh John Nicols dalam The Nation, "Bill Clinton membentuk penyatuan yang lebih sempurna Barack Obama."  

Sememangnya, Clinton menyampaikan ucapan yang Obama sangat-sangat perlukan, dan pada masa yang sama, menyangkal dakwaan pekerjaan oleh Romney. Beliau membangkitkan bahawa sejak tahun 1960, Republikan menguasai Rumah Putih selama 28 tahun mewujudkan 24 juta pekerjaan, manakala Demokratik menguasainya selama 24 tahun mewujudkan 42 juta pekerjaan.  Dalam mewujudkan pekerjaan, tegas beliau, Demokrat adalah lebih baik daripada Republikan, dan ini penegasan yang memeranjatkan.

Pastinya, ucapan Clinton diibaratkan serampang dua mata, iaitu untuk Obama pada tahun 2012 dan untuk isterinya, Hillary pada tahun 2016.  Namun, itu bukan isu penting pada masa sekarang, kerana yang lebih penting ialah memastikan kemenangan Barack Obama.  Dan, Clinton telah pun membantu beliau sebaik mungkin, yang turut dikagumi oleh bekas pembantu Presiden George W. Bush.

Clinton dalam ucapannya itu, diperhatikan bukan sahaja memahami sesuatu  isu dan menunjukkan kemampuannya yang unik untuk menjelaskannya, tetapi juga cuba memujuk pengundi, terutamanya pengundi kelas pekerja kulit putih yang terasing bahawa Obama sewajarnya dipilih untuk penggal kedua.

Ucapan Clinton yang hampir 50 minit itu, yang mengandungi 3279 perkataan,  menurut Molly Ball, adalah padat, didaktik, dan sarat dengan statistik dan perincian. Mengapa ucapan Clinton berjaya, jelas James Fallows ialah beliau menganggap para pendengar  adalah pintar. Beliau menunjukkan bahawa beliau faham banyak lapis logik dan keterangan dan perletakan dan emosi yang memasuki perbincangan politik, dan lebih penting, beliau mengambil mudah bahawa para pendengara juga dapat melakukannya juga.

John F. Harris dan Jonathan Martin yang meneliti ucapan Clinton merumuskan bahawa dasar lebih penting daripada geografi, kepartian paling berkesan melihat bukan kepartian, terus mengedit, tanpa henti-henti memberikan tumpuan kepada pengundi yang boleh dipujuk, miliki sendiri ucapan anda, jangan menyumberluarkan.

Penelitian yang mendalam terhadap ucapan itu dilakukan oleh Dashiell Bennett yang menulis dalam The Atlantic Wire,  membezakan apa yang Bill Clinton tulis dan apa yang beliau tuturkan.  Walaupun teks ucapan tersebut disediakan, jelas bahawa beliau tidak membacanya sepenuhnya, sebaliknya beliau mengubahnya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...