Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Hari Pilihan Raya yang tinggal lebih kurang 40 hari lagi, akan menyaksikan dua laporan pekerjaan, satu laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan tiga perdebatan antara calon Presiden, manakala "perang video" menjadi-jadi.
Sementara serangan terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah dan Benghazi, disusuli dengan tunjuk perasaan di seluruh dunia Islam dan beberapa negara lain, dasar luar diperhatikan yang seakan-akan dilupakan, bahkan daripada calon Republikan sendiri - sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bergerak ke tengah pentas dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 yang dibayangi oleh ekonomi. Obama yang kelihatan terhegeh-hegeh untuk melakarn "garisan merah," kelihatan semakin bersifat menyerang terhadap Iran, hujah Peter Beinart.
Presiden Barack Obama, yang mendahului Mitt Romney sejak awal lagi, mula memperkukuh kedudukannya selepas Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte. Berbanding dengan lawannya, Obama secara berterusan, memperoleh lantunan yang tinggi pascapersidangan dan ini melebarkan jarak perlumbaan. Tidak adatanda bahawa Romney dapat merapatkan jarak, bahas Nate Cohn, meskipun perlumbaan kemungkinan sengit.
Selepas mendahului Romney di Virginia, dua buah negeri berayun, iaitu Ohio dan Florida, menurut tinjauan pendapat The Washington Post, Obama mendahului lawannya, menyukarkan laluan Romney. Di Ohio, peluang Romney untuk kembali tipis. Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan jarak antara Obama dengan Romney semakin jauh, seperti yang diisytiharkan oleh James Hohmann, "Presiden Obama semakin meninggalkan Romney."
Selepas tenggelam seketika, kini Obama, tegas Howard Kurtz, "menemui suaranya dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012." Sebaliknya, Romney masih tercari-cari medan pertarungan yang memihak kepada dirinya, dan masih bergelut dengan pelaburan luar pesisir, walaupun beliau baru sahaja mengeluarkan cukai pendapatannya untuk tahun 2011. Walau bagaimanapun, ada tinjauan pendapat, menurut David Wiegel, menunjukkan Romney mendahului Obama. Pilihan raya belum berakhir, tegas Gerald F. Seib, dan Romney masih boleh menang.
Para pengundi, menurut tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada hari Isnin oleh Pew Research Center, yang membuat keputusan pada kertas undi semakin terikat dengan pandangan keseluruhan mereka tentang peranan kerajaan, dengan mereka mahu kerajaan diperkembang, berkemungkinan besar mengundi Presiden Obama. Bagi mereka, masih ekonomi, sebaliknya tenaga, keganasan, dan imigresen kurang penting jika dibandingkan dengan tahun 2008.
Memetik Nate Silver, Josh Voorhees yang menulis dalam Slate, menegaskan bahawa tinjauan pendapat semasa memberitahu, secara ringkas, perkara terus kelihatan baik untuk Pasukan Obama. Daripada 19 orang calon yang mendahului lawan dalam tinjauan pendapat pada tahap perlumbaan ini, kesemuanya kecuali Thomas Dewey dan Al Gore, menang dalam badan perwakilan pemilih. Dalam analisis 24 September, Silver menjangkakan Obama memperoleh 309.3 badan perwakilan pemilih berbanding 228.7 untuk Romney. Peluang Obama menang ialah 77.7 peratus berbanding Romney 22.3 peratus.
Kevin Drum yang menulis dalam Mother Jones, majalah yang berusia 175 tahun, dengan berani menegaskan bahawa "kemaraan Obama nampaknya tidak dapat disekat." Drum yang juga memetik Nate Silver bahawa: Obama kini mendahului lawannya 3.7 peratus, tidak calon dalam masa 50 tahun lalu yang mendahului sebesar itu kalah; dan tidak ada calon dengan 47 peratus pengundi yang kalah - Obama kini memperoleh 48.3 peratus. Drum juga memetik Sam Wang yang meramalkan Obama menang 347 - 191 badan perwakilan pemilih.
No comments:
Post a Comment