Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Di Eropah, akibat pelaksanaan langkah jimat-cermat dan pemotongan belanjawan, maka aspek kebajikan rakyat jelata boleh dikatakan terjejas. Dengan kata lain, negara kebajikan mula diketepikan, meskipun belum lagi lenyap.
Sebaliknya, di Asia, menurut The Economist, negara kebajikan segar-bugar, misalnya dari segi penjagaan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan, dari Indonesia ke Filipina. Dan, minat Asia baru terhadap kebajikan masyarakat, jauh melampaui kesihatan. Thailand yang mencapai penjagaan kesihatan universal pada tahun 2001, memperkenalkan skim persaraan untuk sektor tak formal pada tahun 2011. Pejabat Audit Negara China, menurut majalah itu, pada bulan lalu mengisytiharkan bahawa sistem keselamatan sosial negara "yang asas" dilaksanakan. India memperluas program jaminan pekerjaan untuk setiap daerah desa pada tahun 2008, menjanjikan 100 hari bekerja upah minimum setahun untuk mana-mana isi rumah desa yang memohon kemudahan itu.
Negara kaya, seperti Korea Selatan dan Taiwan pergi lebih jauh. Pada tahun 2008, Korea memperkenalkan kredit cukit pendapatan yang diperoleh, persaraan asas universal, dan skim insurans, yang menyediakan penjagaan jangka panjang untuk golongan tua.
Walau bagaimanapun, menurut The Economist lagi, kebajikan Asia masih dilihat rendah mengikut piawai Barat. Perbelanjaan kesihatan awam masih hanya 2.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding dengan tujuh peratus dalam kumpulan negara kaya Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Majalah tersebut juga memetik Indeks Perlindungan Sosial Bank Pembangunan Asia, yang membahagikan perbelanjaan sosial negara mengikut bilangan benefisiari yang berpotensi dan menyatakan hasilnya sebagai peratusan KDNK setiap orang negara berkenaan (carta di bawah). JIka perbelanjaan keselamatan sosial Jepun dibahagikan mengikut cara ini, maka setiap benefisiari akan menerima kira-kira 13 peratus KDNK setiap orang. Bagi Korea Selatan, bahkan selepas dua dekad demokrasi, angkanya hanya 7.1 peratus. Diikuti oleh Malaysia, yang angkanya kira-kira 3.9 peratus, mengatasi China dan India.
No comments:
Post a Comment