Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selasa, 24 Januari 2023
Carian melalui
Internet menunjukkan bahawa anatomi merupakan disiplin saintifik tertua dalam
perubatan. Pembedahan saintifik yang
pertama didokumenkan dilakukan seawal abad ketiga Sebelum Masihi di
Iskandariah. Kamus Dewan Edisi
Keempat, menyatakan bahawa anatomi, bermaksud kajian atau pengetahuan mengenai
binaan tubuh dan sebagai hidupan (manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan), kaji
bina tubuh. Britannica pula menyatakan anatomi, ialah bidang dalam sains
biologi yang berkaitan dengan identifikasi dan deskripsi struktur tubuh
makhluk. Anatomi kasar melibatkan kajian
struktur tubuh utama melalui pembedahan dan pencerapan dan dalam maksudnya yang
sempit berkait dengan tubuh manusia.
Apakah Anatomi Buku?
Buku juga mempunyai
anatominya yang sepatutnya difahami oleh
para penulis dan editor buku. Yang
dimaksudkan anatomi buku, ialah bahagian-bahagian buku. Yusuf Abdhul (2022), menjelaskan bahawa
anatomi buku merupakan bahagian-bahagian penting yang harus ada dalam sebuah
buku yang baik dan layak. Bahagian ini sangat banyak. Bagi para penulis, memahami anatomi buku
merupakan hal penting yang dapat membantu melancarkan kegiatan penulisan. Menurut beliau, banyak penulis yang
merasakan manfaat tersebut, sehingga siapa sahaja yang ingin menjadi penulis
perlu mempelajari apa itu anatomi sebuah buku. Kegiatan penulisan memang
tampak sederhana dan mudah untuk dilakukan, kerana sekilas hanya tampak, seperti menulis suatu kalimat. Namun begitu,
ketika dipraktikkan pastinya banyak orang yang bersetuju bahawa menulis bukan
hal yang mudah. Apalagi menulis buku.
Bagi Yusuf Abdhul, buku memiliki halaman yang banyak, yakni mencapai
ratusan. Proses penulisan memerlukan idea
dan kefahaman bagaimana menuangkan isi kepala menjadi
tulisan. Bukan hanya sekadar tulisan,
melainkan tulisan yang mudah difahami oleh para pembaca. Selain itu,
struktur buku harus tepat supaya apa yang ingin disampaikan penulis dapat difahami
dengan baik kerana disampaikan secara runtut. Supaya prosesnya lebih mudah, maka perlu memahami struktur anatomi sebuah
buku.
Jika anatomi ialah struktur dan organisasi dari makhluk
hidup, maka anatomi buku adalah struktur dan organisasi buku. Secara lebih
mendalam lagi, anatomi pada buku merupakan bahagian-bahagian buku. Yusuf Abdhul menegaskan
bahawa buku
sama seperti tubuh manusia, memiliki bahagian-bahagian tertentu yang memiliki
fungsi berbeza satu sama lain. Bahagian-bahagian buku ini kemudian saling
berhubungan dan membentuk buku dalam satu kesatuan. Beliau mengingatkan
bahawa sebuah buku belum boleh dikatakan sebagai buku jika tidak memiliki
bagian-bagian umum dari sebuah buku. Oleh sebab itu, para penulis sebaiknya
memahami betul apa itu anatomi pada buku agar tidak ada bahagian yang
terlewat.
Pada amnya, sesebuah buku
terdiri daripada kulit, bahagian bahan awalan, bahagian bahan teks, dan
bahagian bahan akhiran. Namun begitu,
ada yang mengatakan buku mengandungi 10 bahagian, bahkan anatomi buku ialah 25
bahagian, seperti yang dinyatakan melalui laman sesawang, Publimetry, “Anatomy of a Book — 25 Parts of a Book That
Every Writer Needs to Know.” Setiap buku adalah unik.
Pengaturan buku tidak sepatutnya begitu. Memang penting susunan ini
mengikut amalan industri penerbitan yang
standard. Bahagian buku sepatutnya
kelihatan di lokasi standard dalam setiap buku. Dengan menyusun buku anda
menggunakan peraturan ini akan membolehkan para pembaca mencari dengan mudah. Misalnya, setiap buku mempunyai kulid depan
dan kulit belakang. Prolog dan kandungan
diletakkan di depan, manakala indeks di belakang. Menurut sesawang itu lagi, buku dibahagikan
kepada tiga bahagian utama: bahan depan,
bahan badan, dan bahan akhir. Dua puluh lima bahagian yang dimaksudkan itu ialah
bahan depan, yang terdiri daripada kulit
buku, bahan depan (halaman judul separa dan halaman judul penuh), halaman hak
cipta, dedikasi (pilihan), penghargaan (pilihan), kandungan (pilihan), kata
pengantar (pilihan), testimonial (pilihan), dan prakata
(pilihan).
Bahan badan terdiri daripada pendahuluan (pilihan),
prolog (pilihan), epigraf atau petikan (pilihan), halaman judul separa ini perlu sekiranya bahan
awalan panjang (pilihan), teks utama,
epilog (pilihan), dan kata hujungan atau catatan tambahan (pilihan).
Bahan akhir terdiri
daripada lampiran (pilihan), glosari (pilihan), bibliografi (pilihan), indeks
(pilihan), kolofon (pilihan), dan indeks (pilihan), kulit belakang, dan tulang
belakang.
Kulit
Kita sering mendengar orang berkata, “Jangan
sekali-kali menilai buku dengan melihat kulitanya.” Seolahnya, menggambarkan kulit buku tidak penting. Sebaliknya, yang penting ialah isinya. Namun
begitu, dikatakan bahawa kulit merupakan jati diri atau identiti penerbitnya.
Kuli buku merupakan perkara pertama yang pembaca akan dan lihat dan sering kali
salah satu perkara yang menarik pembaca untuk membaca sesebuah buku. Selain
itu, kulit buku juga berfungsi sebagai penjilidan yan melindungi halaman
buku. Sekiranya penjilidan tidak kukuh,
nescaya halaman atau kuras akan terburai.
Karla Lant (t.t.), dalam “Anatomy of a Book Cover,” menegaskan bahawa penciptaan kulit merupakan langkah
kreatif buku yang terakhir dalam penerbitan buku. Hal ini demikian kerana
hamper-hampir segalanya tentang anatomi kulit buku dikawal oleh versi akhir
buku yang disunting: saiz repang, warna kertas, dan bilangan halaman semuanya
menentukan dimensi kulit sesebuah buku. Tidak pernah wujud alasan baik untuk
mereka bentuk kulit sebelum draf akhir siap, kerana melakukan demikian adalah
seperti bermakna bagaimanapun, anda perlu melakukannya sekali lagi.
“Sama ada anda penerbit buku sendiri ataupun penerbit
bebas,” tegas Lant, “anda memerlukan maklumat tentang apakah kemahuan khalayak
sasaran anda supaya anda membuat keputusan perniagaan dipacu data yang bijak.”
Beliau menasihati, sebelum anda memulakan reka bentuk kulit, selidik 20 buah
hingga 50 buah buku dalam genre anda, bedah setiap kulit menjadi bahagian.
Ingat bahawa kulit depan, kulit belakang, tulang belakang, reka letak, gambar,
jenis huruf, dan unsur lain setiap kulit.
Kulit depan mengandungi maklumat asas, seperti judul,
nama penulis (penulis-penulis), editor, penyunting, penyusun, dan
penterjemah. Cuba elakkan daripada
menggunakan nama penyeleggara, seperti yang biasa terdapat dalam penerbitan
buku berbahasa Melayu. Sebaik-baiknya
cuba ikut standard antarabangsa, iaitu menggunakan nama editor, penyunting atau penyusun.
Maklumat asas lain yang dinyatakan, ialah nama
pelukis unruk buku bergambar
kanak-kanak, perkataan Sastera Kanak-kanak untuk buku kanak-kanak dan Sastera
Remaja untuk buku remaja. Nama dan nombor siri untuk semua penerbitan
bersiri.
Penguin Books terkenal dengan penerbitan karya klasik, seperti Penguin
Popular Classics untuk fiksyen; pada kulit depan tertera Penguin Popular
Classics. Penguin Books juga menerbitkan
buku Penguin Classics, maka tertera Penguin Classics pada kulit depan. Penerbit lain, yang menerbitkan karya klasik,
seperti Monthly Review Press, pada kulit tertera Monthly Review Press Classics,
manakala Wordsworth Edition Limited, pada kulit depan tertera Wordsworth
Classics of World Literature.
Bagi karya yang diterbitkan semula, seperti The
Communist Manifesto karya Karl Marx dan Friedrich Engels oleh Pluto Press,
dengan pengenalan ditulis oleh David Harvey, maka pada kulit depan tertera “Introduction by David
Harvey.” Regnery Publishing, Inc.
menerbitkan semula Das Kapital: A Critique of Political Economy, di
bawah The Skeptical Reader Series yang dinyatakan pada kulit depan, dan turut
dinyatakan “With an Introduction by
Serge L. Levitsky.”
The New Press menerbitkan semula karya Noam Chomsky,
iaitu American Power and the New Mandarins, Towards a New Cold War:
US Foreign Policy from Vietnam to Reagan, dan For Reasons of State.
Pada kulit depan buku pertama tertera “With a New Foreword by Howard Zinn,”
buku kedua “With a New Foreword by John
Pilger,” dan buku ketiga “With a New
Introduction by Arundhati Roy.”
Meskipun hanya menulis “pengenalan” atau “kata
pengantar,” penerbit tetap menyatakan nama penulisnya. Langkah seperti ini
mungkin bertujuan untuk menarik perhatian pembaca kerana penulis berkenaan
merupakan individu yang berwibawa dan mampu memberikan “nilai ditambah” pada
buku berkenaan.
Pada suatu ketika dahulu,
Oxford University Press menerbitkan tesis Ph.D.
Oleh sebab tesis biasanya tidak dianggap sebagai buku, maka pada kulit
depan tertera East Asian Social Science Monographs.
Sebilangan penerbit, antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka
meletakkan logo penerbitannya di penjuru bawah sebelah kanan. Penguin Books yang menerbitkan Modern Classics,
dengan logo Penguin diletakkan di penjuru atas sebelah kiri.
Kulit belakang pula mengandungi ringkasan penerbit (blurb),
kod jalur, dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, yang juga
mengandungi harga Sekiranya buku itu
merupakan cetakan kedua atau edisi baharu, kulit belakang akan dimuatkan pujian
terhadap cetakan pertama atau edisi pertama. Selalu juga pujian dimuatkan dalam
cetakan pertama buku berkenaan, kerana biasanya penulis menghantar manuskrip
yang dalam proses penerbitan kepada individu tertentu, yang mempunyai “wibawa”
untuk ulasan ringkas. Malangnya, amalan seperti ini kurang dititikberatkan oleh
penulis di negara kita.
Keterangan lain yang
mungkin dimuatkan pada kulit belakang, ialah biodata penulis, judul lain dalam
siri yang sama, judul lain oleh penulis yang sama, dan ulasan tentang buku.
Pada tulang belakang terdapat maklumat asas, seperti
judul buku, nama penulis, dan logo penerbit yang biasanya diletakkan di sebelah
bawah, kecuali logo penerbitan Dewan Bahasa diletakkan di sebelah atas.
Kulit buku terdiri daripada kulit keras dan kulit
lembut. Dalam penerbitan buku berbahasa
Inggeris, biasanya diterbitkan buku kulit keras lebih dahulu. Kemudian, barulah
diterbitkan edisi kulit lembut. Sama ada diterbitkan edisi kulit keras ataupun
kulit lembut, pada kulit depan, kulit belakang, dan tulang belakang mengandungi
maklumat yang sama.
Bagi kulit keras berjaket, maklumat yang terkandung pada jaket depan, ialah judul buku dan penulis, manakala pada
tulang belakang jaket ditambah logo
penerbit. Biasanya pada sayap depan dimuatkan ringkasan penerbit, atau
pujian terhadap buku itu, manakala sayap belakang dimuatkan biodata penulis dan
mungkin bersama-sama foto penulis. Maklumat tambahan adalah tentang imej kulit
dan nama, logo, dan alamat penerbit. Oleh sebab ringkasan penerbit dimuatkan
dalam pada sayap depan, maka jaket kulit belakang dimuatkan pujian atau ulasan
ringkas tentang buku berkenaan, atau dibiarkan kosong; hanya dicatatkan kod
jalur, dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan harga.
Maklumat pada kulit lembut boleh dikatakan sama dengan
kulit keras yang tidak bersayap: judul buku dan penulis di kulit depan, manakala ringkasan penerbit dan kod jalur,
dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan harga pada kulit belakang.
Tidak kira, sama ada kulit lembut ataupun kulit keras,
sesetengah penerbit memasukkan maklumat tambahan pada kulit depan tentang
anugerah yang diterima oleh penulis, Hadiah Nobel, Anugerah Booker, Hadiah
Pulitzer, dan sebagainya. Sekiranya buku
yang ditulis oleh penulis sebelum ini menjadi buku terlaris, maka pada depan
buku terbaru ini dinyatakan “Pengarang Buku Terlaris...”
Kulit lembut boleh juga bersayap, dengan maklumatnya sama
dengan kulit keras bersayap. Walau
bagaimanapun, bagi Routledge Classics, pada sayap depan dimuatkan maklumat
tentang Klasik Routledge, manakala pada sayap belakang dimuatkan senarai
pengarang Klasik Routledge.
Bahan Awalan
Bahan awalan biasanya
mengandungi judul separa, judul penuh, halaman hak cipta, dan halaman kandungan. Pada judul separa, sekiranya buku berkenaan
mempunyai judul kecil (subjudul), judul kecil itu tidak dimasukkan; demikian juga nama penulis, editor, atau penyusun, dan nama penterjemah untuk buku karya terjemahan.
Halaman judul penuh mengandungi judul utama, judul kecil, nama penulis, editor,
atau penyusun, nama penterjemah untuk buku karya terjemahan nama
penerbit, tempat terbit, dan tahun terbit.
Walau bagaimanapun, sesetengah penerbit tidak menyatakan tahun terbit.
Antara halaman judul separa dengan halaman judul penuh disenaraikan buku yang
dihasilkan oleh penulis berkenaan.
Pada halaman hak cipta karya asli pula dinyatakan tahun
terbit, hak cipta penulis, dan notis hak cipta.
Sekiranya pendahuluan atau kata pengantar ditulis oleh individu lain,
maka namanya dinyatakan hak cipta pendahuluan atau kata pengantar; demikian
juga sekiranya nama pelukis karya (jika ada). Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
dan ISBN, dan nama dan alamat pencetak dimuatkan pada halaman ini. Sesetengah
penerbit menyatakan rupa taip, saiz huruf teks, dan nama syarikat pengatur huruf sebelum nama
dan alamat pencetak.
Bagi buku karya terjemahan atau adaptasi, pada halaman
hak cipta dinyatakan maklumat, seperti hak cipta penerbit asal, notis hak cipta
penerbit karya terjemahan atau adaptasi it, data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
dan ISBN, dan nama dan alat pencetak.
Halaman lain yang
dimasukkan, termasuk halaman penaja, iaitu keterangan tentang sumbangan dan
halaman dedikasi, iaitu dedikasi penulis kepada individu tertentu, seperti
suami, isteri, anak-anak, ibu, bapa, tokoh, atau institusi tertentu.
Penomboran halaman bahagian awalan biasanya menggunakan angka roman
kecil. Penomboran ini hendaklah dikira dari halaman pertama yang bercetak. Nombor folio dicetak bermula dari halaman
kandungan, tetapi sesetengah buku tidak mengandungi nombor folio pada halaman
kandungan.
Kata pengantar, prakata,
pendahuluan, dan penghargaan dianggap sebagai bahan awalan. Kata pengantar mengandungi pengenalan atau ulasan oleh seseorang
selain penulis buku berkenaan. Biasanya penulis menulis kata pengantar atas
permintaan penulis buku berkenaan. Penulis kata pengantar biasanya tokoh
terkenal, seperti pakar bidang dan penulis
terkenal yang telah menghasilkan beberapa buah buku. Namun begitu, ada
kalanya kata pengantar ditulis oleh penulis sendiri.
Prakata selalunya menjelaskan
tujuan buku berkenaan ditulis, skop kandungan,
kisah ringkas di balik penulisan itu, dan bagaimana idea penulisan itu
mula-mula muncul. Kita sering temui “prakata edisi untuk kulit lembut,” apabila
buku berkenaan yang pada mulanya dicetak dalam kulit keras dan kemudiannya,
diterbitkan pula edisi kulit lembut.
Pendahuluan atau pengenalan mengandungi penerangan
ringkas tentang perkara yang berkaitan dengan tema atau isi buku. Matlamatnya
untuk menyampaikan maklumat kepada para pembaca tentang buku, mengapa buku itu
penting, dan susunan buku. Pengenalan berkait rapat dengan kandungan buku dan
biasanya terdapat dalam karya bukan fiksyen.
Pendahuluan mungkin meringkaskan hujah utama yang dikemukakan dalam
seluruh buku, di samping mentakrifkan dan menghuraikan konsep penting.
Penghargaan mengandungi rakaman penghargaan penulis individu, institusi, penerbit, editor, dan
semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan. Sesetengah penulis
memasukkan penghargaan dalam prakata.
Bahan awalan lain,
termasuk epigraf, prolog, dan nota
pengarang. Epigraf yang merupakan
petikan daripada mana-mana tulisan penulis terkenal atau petikan daripada kitab
agama sebagai satu cara mendukung tema karya penulis. Petikan epigraf sewajarnya disertakan nama
penulis asal, sumber bahan, dan halaman.
Prolog biasa
ditemui dalam karya fiksyen. Sesetengah
penulis menggunakan prolog untuk karya bukan fiksyen, seperti buku ilmiah,
autobiografi, memoir, dan biografi. Prolog ialah bahagian pengenalan memberikan
maklumat tambahan kepada para pembaca yang akan membantu mereka memahami
seluruh buku. Bahagian ini boleh termasuk maklumat latar belakang tentang
watak, peristiwa yang berlaku sebelum cerita bermula, atau maklumat yang
mewujudkan latar cerita.
Dalam sesetengah buku, sama ada fiksyen ataupun bukan
fiksyen, terdapat nota pengarang. Dalam bukan fiksyen, tujuannya adalah untuk
menjelaskan atau menambah konteks kepada keputusan pengarang, seperti bagaimana
pengarang memilih sumber, menentukan apakah maklumat yang dimasukkan, dan
pengarang menggunakan bahasa tertentu. Nota pengarang lebih pendek daripada
prakata, dan sering kali menggantikan prakata. Walau bagaimanapun, Robert
Brenner dalam bukunya, The Boom and the Bubble: The US in the World Economy
menggunakan kedua-duanya, iaitu nota pengarang dan prakata; nota pengarang
hanya dalam satu ayat.
Susunan bahan awalan, seperti prakata, pendahuluan, dan
penghargaan adalah berbeza antara sebuah buku dengan sebuah buku yang lain,
bergantung pada gaya penerbitan penerbit buku berkenaan. Dalam sesetengah buku,
kita dapati penghargaan diletakkan sebagai bahan akhiran. Pendahuluan pula dianggap sebagai bahan teks, dan
dengan itu, dinyatakan dalam nombor Arab berbanding dengan bahan awalan
yang lain. Walau bagaimanapun, pendahuluan bukan dianggap sebagai bab pertama.
Bahan Teks
Bahan teks mengandungi
tajuk bahagian, tajuk bab, dan pecahan tajuk bab. Dalam sesebuah buku, terdapat
beberapa bahagian, yang biasanya mengandungi tajuk bahagian. Ada juga yang
mengandungi ringkasan bahagian.
Seterusnya ialah tajuk bab yang sepatutnya seringkas yang
mungkin. Biasanya setiap bab mempunyai
beberapa pecahan bab. Namun begitu,
sesetengah buku, termasuk buku ilmiah, antaranya Plagues and Peoples
oleh sejarawan William H.McNeill dan The
Revenge of Geography: What the Map Tells Us About Coming Conflicts and the
Battle Against Fate oleh Robert D. Kaplan, tidak mempunyai pecahan bab.
Epilog yang merupakan
bahagian penutup sesebuah karya sastera juga digunakan dalam karya bukan
fiksyen. Epilog terletak dalam satu bab
yang berasingan, tetapi tidak ditulis “bab.” Adakah epilog memerlukan
prolog? Tidak semestinya! Ada buku yang
tidak mengandungi dalam bahan awalan, tetapi mengandungi epilog. Adakah epilog
perlu mengandungi judul kecil? Terpulang
pada penulis. Linda Yueh dalam bukunya, The Great Economists: How Their
Ideas Can Help Us Today, tidak menulis prolog, tetapi beliau menulis epilog
dengan memberikan judul kecil, “Epilogue:
The Future of Globalization.” Sebaliknya, David Harvey dalam bukunya, Seventeen
Contradictions and the End of Capitalism, menulis kedua-duanya, iaitu
prolog dan epilog. Beliau juga
memberikan judul kecil, “Epilogue: Ideas
for Political Praxis.”
Selain epilog, sesetengah buku biasanya mengandungi
“kesimpulan” dan “kata hujungan,” yang muncul selepas bab terakhir, tidak
diberikan nombor bab. Namun begitu, ada
juga buku yang memberikan nombor bab bagi kesimpulan. Kesimpulan bermaksud
ringkasan keseluruhan buku, iaitu meringkaskan idea sokongan utama yang penulis
bincangkan dalam seluruh buku atau karya, dan mengemukakan tanggapan akhir
penulis tentang idea utama. Kata hujungan ialah esei pendek pada akhir buku,
ditulis oleh penulis sendiri.
Bahan Akhiran
Bahan ini mengandungi
tambahan, maklumat lanjut atau rujukan sesebuah buku. Bahan akhiran terdiri daripada biodata
penulis, lampiran, glosari, nota rujukan
lanjut, biografi, dan indeks. Biodata penulis biasanya mengandungi nama
penulis, kelulusan, pengalaman, karya yang pernah diterbitkan, dan pecapaian
penulis. Walau bagaimanapun, sesetengah
buku didapati meletakkan biodata penulis dan karyanya yan pernah diterbitkan
dalam bahan awalan.
Lampiran ialah bahan tambahan kepada teks yang difikirkan
oleh penulis dan/atau penerbit lebih sesuai diletakkan dalam lampiran, seperti
data atau statistik yang terperinci.
Glosari mengandungi senarai perkataan yang perlu diterangkan maksudnya
supaya para pembaca memahami teks. Susunan glosari sepatutnya disusun mengikut
abjad. Rujukan lanjut merupakan senarai
rujukan tentang tema atau bidang yang sama bagi sesebuah buku.
Nota ialah rujukan
tambahan yang ditandakan dalam bahan awalan, teks, dan bahan akhiran. Nota yang biasanya dalam buku ilmiah ialah
nota kaki, nota bab, dan nota
hujung. Nota kaki, sesuai dengan
namanya, hendaklah ditulis di sebelah bawah teks pada halaman yang sama. Nota hujung biasanya ditulis pada akhir
setiap bab, manakala nota hujung ialah yang dikumpulkan dan diletakkan pada
bahagian akhir teks, dengan dinyatakan “Nota Pendahuluan,” “Nota Bab Satu,”
“Nota Bab Dua,” dan seterusnya. Dalam sesetengah buku mungkin kerana nota
melibatkan banyak halaman, tidak dimasukkan bibliografi. Sementara itu, Fareed Zakaria dalam bukunya, Ten
Lessons for a Post-Pandemic World,
memasukkan indeks bersama-sama nota, iaitu bermula dengan nombor
halaman, disusuli dengan entri indeks yang ditandai dengan huruf tebal, nama
penulis bersama-sama dengan buku atau makalah penulis berkenaan. Kaedah ini sebenarnya agak menyukar pembaca yang
sudah biasa dengan kaedah lazim, iaitu nota dan indeks disediakan secara
berasingan.
Bibliografi ialah senarai
buku dan makalah yang dirujuk oleh penulis ketika menulis buku atau makalah.
Akan tetapi, tidak semestinya dipetik oleh penulis. Bibliografi beranotasi disediakan bertujuan
untuk memberikan panduan lanjut kepada para pembaca. Bibliografi bmengandungi dua bahagian, iaitu
nota bibliografi (bibliographical
notes) dan senarai bibliografi pada akhir buku. Nota bibliografi tidak meliputi
semua entri dalam senarai bibliografi, kerana senarai ini juga mengandungi
rujukan khusus yang digunakan dalam teks. Eric R. Wolf dalam bukunya, Europe
and the People Without History menggunakan nota bibliografi dan
bibliografi. Beliau menggunakan nota bibliografi untuk menghuraikan idea yang
diketengahkan dan dibahaskan dalam pendahuluan, setiap bab, dan kata
hujungan, dengan menyatakan
rujukannya.
Bibliografi, menurut
kajian, “berkembang daripada seni menjadi sains, dan jika berpuas hati supaya
tidak menekan istilah itu terlalu rapat, pernyataan itu mungkin diterima
sebagai menunjukkan kebenaran tertentu” (Greg, 2011: 21). W.W. Greg menjelaskan bahawa bibliografi
terbatas secara betul kepada kajian buku bercetak. Manuskrip yang dipegang mereka, kepunyaan
jabatan lain (Greg, 2011: 23). Walau
bagaimanapun, bagi beliau, istilah “bibliografi” terbatas untuk kajian buku bercetak adalah sesuatu yang amat
kurang bijak. Dari segi deskripsi, bibliografi sistemik mengandaikan dan
perkenalan unsur sains.
Dalam makalahnya yang
lain, Greg memberitahu bahawa makna asal perkataan “bibliografi” pastinya
penulisan buku; sememangnya, ini hanya makna yang dibawa dalam bahasa yang
menyatakannya. Walau bagaimanapun, sememangnya alamiah, perkataan itu
sepatutnya diperoleh, menurut analogi, dengan “geografi,” bermaksud deskripsi
buku secepat perlunya istilah berkenaan dirasakan. Seolah-olahnya dalam bahasa Perancis
perkataan mula digunakan dalam maksud ini (Greg, 2011b: 31). “Untuk mengelakkan
kekaburan,” Greg, memberitahu, “saya mentakrifkan ‘bibliografi’ untuk
maksud kajian buku sebagai objek
material” (Greg, 2011b: 32). Bagi Greg, bibliografi
ialah kajian buku sebagai objek material tanpa menghiraukan kandungan buku
berkenaan. Buku bukan hanya termasuk
buku bercetak, tetapi manuskrip, dan sememangnya, setiap jenis rekod yang
dibuat oleh representasi simbolik bahasa. Buku sesetengah jenis wujud 5000
tahun dan lebih, buku bercetak hampir-hampir 500 tahun.
Indeks terdiri daripada
indeks nama dan indeks perkara yang biasanya disekalikan. Namun begitu, ada juga buku yang indeks nama
dan indeks perkara diasingkan. Indeks biasanya disediakan oleh pengindeks, yang
namanya ada kalanya dinyatakan dalam buku berkenaan. Selain pengindeks, penulis
sendiri menyediakan indeks bukunya.
Anatomi buku mengandungi beberapa penting yang terdapat dalam sesebuah buku. Namun begitu, oleh sebab wujud perbezaan dari segi gaya penerbitan antara penerbit, maka penulis yang berhasrat menghantar manuskrip kepada sesebuah penerbit, seelok-eloknya mengkaji gaya penerbitan penerbit berkenaan. Langkah ini penting untuk menunjukkan penulis “mengenali” penerbit.
No comments:
Post a Comment