Artikel Popular

Monday, February 21, 2011

Buku Juga Dipandang Orang


ISNIN, 21 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Menurut data Association of American Publishers (AAP) yang dipetik oleh Bloomberg, jualan buku di Amerika Syarikat pada tahun 2009 merosot sebanyak 1.8 peratus, iaitu kepada AS$23.9 bilion, berpunca terutamanya kejatuhan jualan beberapa  buku pendidikan.  Buku sekolah rendah  dan sekolah tinggi, yang terbesar dalam kategori buku pendikan, jatuh 14 peratus,  kepada AS$5.24 bilion daripada AS$6.08 bilion pada tahun 2008.  Buku kulit lembut untuk dewasa, menurut AAP,  jatuh 5.2 peratus, kepada AS2.42 bilion daripada AS$2.36 bilion.  Buku pendidikan tinggi mencatatkan peningkatan 13 peratus, kepada AS$4.26 bilion.  Jualan buku digital untuk peranti, seperti Kindle  Amazon.com dan Nook Barnes & Noble, meningkat hampir tiga kali ganda, iaitu kepada AS$313.2 juta. Di negara itu, perbincangan tentang industri buku dan masa depan buku dan harapan e-buku, masih mengakui bahawa penerbitan buku masih merupakan perniagaan yang besar, iaitu AS$30 bilion setahun.  Nilai ini lebih besar daripada kedua-dua industri, iaitu   muzik dan filem.  

             Sesungguhnya, perhatian terhadap penerbitan buku  tidak pernah sunyi dalam   apa-apa pun keadaan.  Untuk menyalurkan  ideologi dalam kalangan generasi muda, misalnya, buku masih menjadi pilihan. Seperti yang dilaporkan oleh  Agence France-Presse (AFP) dua tahun lalu, dua buah  syarikat  penerbitan yang baru untuk buku kanak-kanak mencetuskan debat dari segi kesamaan gender di Sweden tentang kedua-dua syarikat berkenaan mengaku bertujuan menanam nilai sosial berfikiran terbuka negara itu untuk generasi akan datang.  Dengan tajuk  “Children’s Books Become Ideological Battleground in Sweden” agensi berita itu melaporkan bahawa   dua penerbit berkenaan, iaitu Vilda dan Olika membuka pintu tahun lalu dengan menyatakan tujuan menjadikan buku kanak-kanak yang menggalakkan nilai liberal  dan mencabar pandangan tradisional tentang gender, kaum, dan orientasi seksual. 
            Para  pengarang terkenal masih lagi di hati para pembaca, seperti yang ditunjukkan oleh The Nation.  Pada pertengahan Julai 2010, majalah di Amerika itu  menanyakan apakah buku yang mereka baca musim panas ini, jawapan  segera yang mencurah-curah, dengan pilihan yang pelbagai, daripada standard progresif, seperti Noam Chomsky dan Howard Zinn kepada risalah sejarah dan falsafah yang kabur; daripada perselisihan Stieg Larsson yang kuat kepada  pembaca Christopher Hitchens yang melayang-layang; daripada banyak sekali kuning pucat Tolstoy kepada peminat Issac Babel yang meluap-luap.
         Walaupun krisis ekonomi melanda dunia sejak akhir tahun 2008,  dan syarikat penerbitan  turut terkena kesannya, namun masih ada berita gembira tentang penerbitan buku. Penerbit buku dianggap tidak mudah terdedah jika dibandingkan dengan akhbar, sebahagiannya kerana iklan tidak memainkan peranan dalam kejayaan kewangan buku. Apabila banyak orang  menanggung kerugian pelaburan, simpanan lesap, dan kehilangan pekerjaan, penerbit berlumba-lumba menerbitkan buku psikologi untuk mengubati kehampaan dan meredakan stres mereka.  Ketika kemelesetan, seperti yang dilaporkan  pada April tahun lalu,  jualan buku fiksyen kisah cinta di Amerika meningkat, sama ada buku bercetak ataupun e-buku.   Dalam kemelesetan, apakah  yang para pembaca mahukan ialah berakhir dengan kegembiraan.  Tatkala penjual buku terpaksa bertungkus-lumus untuk menarik pembaca,  jualan novel kisah cinta melebihi kebanyakan kategori buku yang lain, termasuk fiksyen dewasa.  Peningkatan ini  menyuntikkan keriangan kepada pasaran yang kalau tidak, berkeadaan lembap.
            Tujuh tahun lalu,    Gabriel Zaid, yang puisi, esei, kritikan sosial dan budaya, dan penulisan perniagaannya diterbitkan secara meluas di dunia berbahasa Sepanyol,  memperkatakan sesuatu tentang buku yang berkemungkinan berhadapan dengan lebih banyak penulis berbanding dengan pembaca.   Dalam buku kecilnya,   So Many Books:  Reading and Publishing in an Age of Abundance,  Zaid menulis:  “Pembacaan buku berkembang secara aritmetik; penulisan buku berkembang secara eksponen.  Jika keghairahan kita dibiarkan tanpa dikawal, pada masa depan yang terdekat akan wujud lebih banyak orang menulis buku daripada orang yang membaca buku.  Pertengahan abad ke-15 apabila buku mula-mula dicetak, hanya beberapa ratus judul diterbitkan setahun, dalam edisi beratus-ratus naskhah.”  Dalam satu bab    beliau menulis “the end of the book”  yang menimbulkan tanggapan bahawa penerbitan buku lambat-laun akan berakhir.
          Tambah beliau lagi, apabila televisyen mula-mula muncul, maka diisytiharkan berakhirnya buku.  Demikian juga dengan kemunculan CD-ROM dan e-buku.  “Jumlah jualan yang banyak untuk beberapa judul sahaja bukan bermakna buku lain akan lenyap, sebaliknya buku lain itu samar-samar secara relatif.  Teknologi baru kita (Internet, cetak atas permintaan) meningkatkan berjuta-juta judul yang dapat diperoleh.”
           Akibat kedatangan televisyen, maka dikatakan  industri wayang gambar terumbang-ambing, tetapi dapat terus hidup.  Sebaliknya, medium cetak, yang sudah lama menyusut ke dalam latar belakang budaya, mempunyai sesuatu yang mudah untuk disesuaikan.  Meskipun filem, radio, dan televisyen tidak menuntut literasi sebagaimana yang dialami oleh percetakan, tetapi perkataan bertulis kekal sebagai inspirasi utama kerana, dan juga sebagai asas, kebanyakan budaya popular.
           Jika bahan bercetak menikmati  hubungan selesa dengan penyiaran,  tetapi kemunculan Internet pada akhir abad ke-20, membangkitkan beberapa persoalan yang serius, antaranya, berapa lebih lama buku, majalah, dan akhbar akan sebenarnya dikeluarkan pada kertas?  Bahkan, selepas ledakan Internet, masih kedengaran keraguan bahawa mana-mana medium elektronik boleh benar-benar menggantikan medium cetak yang mempunyai kelebihan dan kebaikannya dari segi mudah alih, kejelasan, cantik, dan sebagainya. Buku elektronik  dalam bentuk kompak dan mesra pengguna akan  bersaing dengan buku kertas.  Kemunculan e-buku,  sering mendapat perhatian dan dikatakan sedikit demi sedikit menyaingi buku bercetak.  Produk pembaca e-buku, seperti Kindle, Nook, Kobo, dan Sony Reader Daily Edition  boleh didapati dalam pasaran yang menandakan seakan-akan buku bercetak hampir tiba di penghujung perjalanan.
           Sebenarnya, sambutan pasaran terhadap e-buku masih belum menggalakkan, bahkan trend pasaranya kurang jelas. Menurut laporan pada  Jun 2010,  Barnes & Noble  menanggung kerugian untuk tempoh tiga bulan berakhir Mei, sebanyak    AS$32 juta atau 58 peratus per syer berbanding dengan kerugian AS$2.7 juta atau lima peratus per syer dalam tempoh yang sama tahun lalu. Kerugian berpunca daripada pelaburan besar syarikat dalam teknologi buku elektronik.  Pasaran e-buku masih kecil, tetapi sedang berkembang pesat.  Namun begitu, kira-kira sebulan kemudian, Amazon mengumumkan  peristiwa penting e-buku apabila jualannya melebihi buku kulit keras untuk kali pertama di Amerika. Pengumuman itu dikatakan membangkitkan perasaan ngeri dalam kalangan mereka yang menghabiskan  waktu petang menggeledah kedai buku lama yang hapak.  Pengumuman juga menandakan titik perubahan dalam industri penerbitan.   Amazon mengatakan  bahawa  143 buku digital untuk e-pembacanya, iaitu Kindle  diijual, untuk 100 buah buku kulit keras sejak tiga bulan lalu.  Tempo atau rentak perubahan juga laju, menurut Amazon, empat minggu yang terbaharu, kadar julalan e-buku mencecah 180 buah untuk setiap 100 buah buku kulit keras yang dijual.
              Selain sambutan pasaran yang kian menggalakkan, menurut akhbar  guardian.co.uk  pada Julai tahun ini, para pengarang terkenal, antaranya Philip Roth,  Orhan Pamuk, Martin Amis,  John Updike, VS Naipul, dan Salman Rushdie,  mengetepikan syarikat penerbitan untuk menjual e-buku secara langsung kepada para pembaca  melalui Amazon.  Oleh sebab pasaran e-buku terus berkembang, maka akan menjadi penting kepada pembaca untuk mendapat akses dalam format e-buku karya sastera sezaman yang terbaik yang dunia perlu berikan. 
             Sebagai respons terhadap pengumuman Amazon bahawa jualan e-buku mengatasi buku kulit keras, guardian.co.uk dengan “Better Read than Dead” menanyakan pembaca, “Adakah anda lebih suka membaca buku pada – skrin atau halaman bercetak?  Jawapannya, 16.8 peratus “Saya minat e-buku,” manakala 83.2 peratus “Suka buku lama.”  Apabila Amazon mengumumkan versi lanjutan  (advanced) untuk e-pembaca, akhbar itu sekali lagi melakukan tinjauan pendapat, “Are ebook Reader  for Book-lovers?” untuk memastikan sama ada e-buku akan menggantikan buku.  Jawapan pembaca, “Ya, pasti, dan e-buku menjimatkan banyak ruang di dalam beg pakaian (56 peratus).  “Tidak, pasti tidak.  Pencinta buku sejati sentiasa mahu menghidu halaman (44 peratus). 
            Saya tidak pernah mempercayai e-buku.  Bagaimana boleh peranti elektronik meletakkan harapan untuk menggantikan kecantikan bentuk buku bercetak, dengan keanggunan reka bentuknya, perasaan  sentuhan menyelak halaman demi halaman, dan keharuman bau kertas yang berkualiti?  Kecintaan terhadap perpustakaan.  Kecintaan terhadap kedai buku.  Dan, kecintaan terhadap  bau penjilidan kulit dan halaman yang hapak.  Kemunculan sejumlah besar buku sahaja membangkitkan rasa kesejahteraan yang mendalam pada diri saya.  Demikian tulis Naomi Alderman dalam “Library of the Future” dalam  guardian.co.uk, Februari 2009. “Dan, ini adalah semuanya benar.  Akan tetapi, baru-baru ini,  saya tertarik dengan idea bahawa para pembaca e-buku boleh menjadi cara yang lebih menguntungkan  (greener) untuk mengedarkan perkataan bercetak.”  Beliau yang memiliki pembaca e-buku iLiad yang  anggun dan cantik, membangkitkan  beberapa kelemahan atau kekurangan buku bercetak: dikeluarkan secara murah, berbau aneh bahan kimia, dan melengkung atau koyak bahkan sebelum selesai membaca. Selain itu, hujah beliau, pengeluaran buku boleh mencemarkan alam sekitar dengan pelepasan karbon dioksida ke dalam udara.
           Naomi nampaknya begitu mengagumi e-buku iLiad:  “Objek yang mudah dipegang, dan dengan bar yang berguna untuk menukarkan halaman, pembacaan sebelah tangan adalah mudah.”  Mengakui bahawa rasa sayangnya terhadap bentuk fizikal buku adalah kebudak-budakan, beliau yang terpengaruh dengan teknologi baru ini menulis:   “Jelas kepada saya bagaimana pencinta buku dengan segera melihat kegunaan pembaca e-buku iLiad itu. Saya membawa iLiad saya ke majlis pertemuan penulis, pelancaran buku, dan pertemuan dengan editor.”
            Penguin yang menyambut  ulang tahun ke-75 pada tahun ini dan memperingati ulang tahun ini dengan mempakejkan semula siri buku yang sangat besar pengaruhnya dari tahun 1960-an hingga 1980-an. Penerbit ini mula merasakan bahawa meskipun masih sedikit nostalgia dalam penerbitan buku sekarang, kerana industri menukar wajahnya dengan tegas dan dengan rasa bimbang tentang masa depan.  Dikatakan pelancaran  iPad menambahkan lagi rasa kesegeraan untuk Penguin untuk menceburi bidang e-buku.  “Apabila muzik memulakannya,” tulis David Teather dalam guardian.co.uk, “buku bersiap sedia untuk menyusulinya, meskipun Penguin dan penerbit lain berharap tanpa kesan kemusnahan yang sama.”  Jualan buku digital masih kurang daripada satu peratus jualan Penguin, tetapi hala tuju pasaran adalah jelas.  Di Amerika, jelas Teather, buku digital telah pun mencecah enam peratus daripada jualan pengguna.  Beliau juga memetik Ketua Eksekutif,  John Makinson yang berkata, “Penguin tidak ada masalah dengan e-buku.   Penerbitan mesti mengambil inovasi dengan tangan terbuka.”  Meskipun  Makinson tidak pasti sama ada idea bahawa setia buku yang dimasukkan ke dalam iPad mempunyai wawancara pengarang, iaitu wawancara video pada permulannya adalah idea yang bagus ataupun tidak, tetapi tegas Makinson, “terdapat budaya eksperimentasi yang tidak datang secara semula jadi kepada penerbit.”
           Apabila tersebar berita waris William Styron, pengarang Sophie’s  Choice melesenkan hak penerbitan elektronik buku-bukunya yang diterbitkan oleh Random House kepada Open Road Integrated Media,  Jonathan Galassi, Presiden  Farrar, Straus & Giroux,  berfikir-fikir:  Adakah e-buku merupakan perbatasan baru dalam dunia penerbitan, versi baru karya seseorang pengarang?  Atau e-buku sekadar edisi terkini buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit, seperti Random House?    Dalam makalahnya, “There’s More to Publishing Than Meets the Screen” yang diterbitkan dalam akhbar The New York Times awal Januari tahun ini,  Galassi mengingatkan: “Pada zaman maya yang kian meningkat yang membuka akses dan adanya universal, maka para pembaca perlu ingat bahawa semua itu dilakukan oleh penerbit untuk pengarang.”  Penerbit melakukan penambahbaikan dari  peringkat  manuskrip hinggalah ke peringkat   terbit dalam bentuk buku dan beredar dalam pasaran.  Sesebuah manuskrip itu tidak diterbitkan seadanya, sebaliknya diberikan nilai ditambah oleh penerbit.
          “Penerbit,”  tulis Galassi, “melakukan lebih daripada mencetak dan menjual buku.  Penerbit memilih, memupuk, menempatkan, dan mempromosikan karya penulis.”  Justeru, hujah beliau, pengusaha  e-buku ialah pengedar dan bukannya penerbit, yang bertindak sebagai penyebar karya yang telah pun dicipta.  Dengan cara ini, e-buku tidak ada perbezaannya daripada percetakan besar (large-print) atau kulit lembut atau versi audio.  E-buku hanya sekadar penghubung terkini dalam rantaian editorial yang tidak terputus, format terbaru untuk satu rekaan terbesar manusia:  buku yang berkembang secara tekal, kekal selama-lamanya – diberikan bentuk definitifnya oleh penerbit. Bahkan, jika pada suatu masa kelak, buku tidak lagi dicetak, sumbangan editor dan rakan sekerjanya dalam menerbitkan karya William Styrons hampir 60 tahun  tidak boleh dilupakan.  Sesetengah perkara tidak pernah berubah. 
           Bagaimana jelasnya “tutorial” yang disampaikan oleh Jonathan Galassi  tentang peranan penerbit dan “taraf” e-buku,  tetapi ini  tidak menghalang orang daripada berfikir suatu peralihan yang sedang berlaku:  dalam industri penerbitan buku daripada inventori fizikal yang disimpan di dalam gudang dan diangkut kepada peruncit kepada fail digital yang disimpan dalam ruang siber dihantar ke hampir setiap tempat di dunia ini secepat dan semurah e-mel, kini sedang berlaku dan tidak dapat  ditarik balik.  Rekaan Gutenberg enam abad lalu yang menjadi dunia moden kita suatu kemungkinan dan teknologinya merupakan kemestian untuk kelahiran semula Barat, kini menerima kesan pendigitan terhadap masa depan.
           Anjakan sejarah akan mengubah secara radikal penerbitan buku di seluruh dunia, budaya yang penerbitan buku pengaruhi dan padanya penerbitan  buku bergantung. Tulis Jason Epstin dalam “Publishing: The Revolutionary Future” yang diterbitkan dalam The New York Review of Books pada 11 Mac 2010 yang  memperlihatkan keterhakisan keyakinannya terhadap buku.  “Bagi alasan yang sangat berbeza, perniagaan buku yang terlalu tertib yang saya ceburi lebih setengah abad lalu telah pun berada di pinggir, menderita daripada ketagihan yang tidak boleh pecah orang yang berani mengambil risiko, penjual terbaik bermusim, banyak daripadanya tidak mendapat balik kos mereka, dan kemerosotan serentak senarai cetakan terdahulu, anuiti penting yang padanya penerbit buku mempunyai hari bergantung untuk kestabilan  tahun demi tahun menempuh masa yang buruk dan masa yang baik.”
           Secara berkias, beliau  membangkitkan  dilema penerbit buku:  Dengan gegaran bumi  di bawah mereka, maka tidak hairan bahawa penerbit dengan sebelah kaki dalam masa lalu yang pecah berderai, manakala sebelah kaki lagi mencari tapak yang padu dalam masa depan yang tidak pasti teragak-agak untuk mengambil peluang bahawa pendigitan menawarkan mereka bagi  memulihkan, memperluas, dan mempromosikan  senarai cetakan terdahulu untuk pasaran di seluruh dunia yang terpencar (decentralised).
           Beberapa tahun sebelum polemik tentang kewujudan e-buku semakin rancak seperti sekarang, Jim Cullen dalam bukunya, The Art of Democracy:  A Concise History of Popular Culture in the United States mengemukakan sesuatu yang spekulatif dan provokatif sifatnya:  Adakah pembacaan terus hidup?  Pasti. Dalam bentuk buku?  Ya, bergantung pada bagaimana anda mentakrifkan ‘buku.’  Budaya cetak kelihatan berada di pinggir transformasinya  yang paling besar sejak pengenalan taip cerai (moveable type) sejak 500 tahun lalu.”  Namun begitu, hakikatnya, budaya moden, seperti yang pernah diperkatakan,  lahir bersama-sama dengan revolusi percetakan, dan oleh itu, tidak hairan sekiranya buku terus memperlihatkan keistimewaan dan keunggulannya.
            Jonathan Shaw dalam  makalah utamanya, “Gutenberg 2.0”, dan dua makalah sokongan  yang diterbitkan dalam Harvard Magazine keluaran Mei-Jun 2010, menegaskan bahawa  masa depan buku   adalah sukar diganggu-gugatkan oleh digital.  Tanggapan salah yang besar ialah bahawa maklumat digital dan maklumat analog adalah tidak cocok antara satu sama lain.  Sebaliknya, keseluruhan sejarah buku dan komunikasi menunjukkan bahawa satu medium tidak menggantikan medium yang lain.  Bahkan, jika buku muncul secara elektronik pada skrin komputer seperti yang berlaku sekarang, dan dapat diperoleh dengan percuma, ini akan merangsangkan jualan versi bercetak.
           Dalam makalah utamanya itu, Shaw memetik   Jeffrey Hamburger, Profesor Francke seni dan budaya Jerman yang berkata, “Pendapat bahawa kita akan meninggalkan kodeks yang kita kenali, iaitu buku tradisional, dan kita beralih kepada digital dalam sekelip mata adalah sesungguhnya, tidak bijak. Keadaan ini merupakan peralihan yang memakan masa yang lama daripada yang dijangkakan oleh setiap orang, sebagaimana peralihan masa lalu antara tradisi lisan kesusasteraan zaman purbakala dengan pembacaan senyap yang kita kenali memakan masa hampir dua milenia adalah satu peralihan yang lama.”  Bagi Hamburger, masih wujud banyak perkara bahawa media baru tidak boleh melakukan sebaik yang dilakukan dengan baik oleh buku fesyen lama, antaranya menggabungkan teks dan menyekutukan imej  pada halaman yang bertentangan.
            Masa depan mungkin digital, tetapi buku jauh daripada mati, jelas   Pengarah University Library dan Profesor Pforzheimer University, Robert Darnton,  yang dipetik oleh  Shaw dalam makalah sokongan, “Books and Budgets.” Lebih banyak buku diterbitkan sekarang jika dibandingkan dengan mana-mana masa dalam sejarah, dan bilangan karya baru yang diterbitkan setiap tahun berkembang dengan pantas.  “Orang ramai masih lebih suka membaca buku bercetak,” tulis Shaw,  “dan kini, mereka juga mahukan muzik, puisi, video, dan akses dalam talian kepada Internet, kepada jurnal elektronik, dan pangkala data khusus.” 
            Seperti yang diketahui umum,  kandungan digital adalah mudah rosak, sedangkan buku fizikal adalah selamat daripada penyibuk dan pemangsa elektronik, dan bahaya penstoran elektronik merupakan perkara pokok.  Masalah tersebut juga dibangkitkan   dalam satu lagi makalah sokongan Jonathan Shaw, “Digital Preservation: An Unsolved Problem.”  Beliau memetik penjelasan Helen Shenton daripada British Library bahawa:  “Risiko yang sangat besar bagi bahan bercetak ialah alam sekitar, lusuh dan koyak, dan pengabaian penjagaan. Sebaliknya, bagi digital, meskipun penggunaan data merupakan salah satu cara terbaik untuk menyimpannya, tetapi data digital mesti dibaca dan disemak secara tekal demi memastikan integritinya.”  Dan, tegas Helen, “Buku yang  ditinggalkan di atas rak untuk beratus-ratus tahun mungkin masih dalam keadaan elok.”
          Sokongan yang kuat terhadap  buku berbanding dengan skrin untuk imaginasi datangnya   daripada Nadine Gordimer, Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan. Ketika menyampaikan syarahan Hamlin di Guardian Hay Festival akhir Mei tahun ini, Nadine, salah seorang pengarang terkenal Afrika Selatan dan tokoh veteran perjuangan antiaparteid, membangkitkan pembelaannya yang berkobar-kobar untuk buku bercetak dalam menghadapi serangan hebat teknologi.  Pada  minggu iPad dilancarkan di United Kingdom, Nadine berkata di festival itu:  “Tidak ada pengganti untuk buku, dan sesungguhnya, sesuatu kerosakan yang besar dan bahaya jika buku sepatutnya lenyap dan digantikan oleh sesuatu dengan bateri.” Tentang telefon bimbit dan teknologi komputer, beliau berkata:  “Saya tidak berbicara sebagai orang yang kolot tentang perkara ini.  Alat ini adalah menakjubkan untuk penyebaran maklumat.  Akan tetapi, untuk puisi, novel, dan cerita – perkara ini memerlukan imaginasi, sememangnya, tidak ada pengganti untuk buku.”  Bagi beliau, buku tidak akan hancur sama sekali; boleh dibaca dengan mudah di mana-mana jua.  Perkataan bercetak tidak dapat diganti, dan banyak diancam.  Membaca imej adalah berbeza daripada teks dalam buku.
           Mungkin ada orang berkata bahawa  Nadine Gordimer itu agak emosi, iaitu pendirian seseorang yang ingin  “sehidup semati” dengan buku.   Namun begitu, hasil daripada kajian para penyelidik  yang ketuai oleh  Richard Allington daripada University of Tennessee yang mendapat liputan di Amerika  tetap   menunjukkan  kelebihan buku. Para penyelidik memberikan 12 buah buku (yang dipilih oleh pelajar sendiri) kepada 852 orang pelajar yang tidak bernasib baik. Mereka melakukannya selama tiga tahun berturut-turut. Kajian tersebut mendapati bahawa pelajar yang membawa buku pulang ke rumah mereka memperoleh skor pembacaan yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lain. Kajian ini  bersama-sama banyak lagi kajian lain, menerangkan kuasa buku yang sangat hebat.  Sebelum ini penyelidikan di 27 buah negara menunjukkan bahawa kanak-kanak yang membesar di rumah dengan 500 buah buku tinggal di sekolah lebih lama dan mencapai prestasi yang lebih baik. Kajin baru ini juga menunjukkan bahawa pengenalan buku  untuk  rumah yang mungkin tidak memiliki buku juga menghasilkan faedah pendidikan yang signifikan.
           Sebagai respons terhadap dapatan tersebut, David Brooks,  “The Medium is the Medium” melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times, pada awal Julai tahun ini menegaskan bahawa   baru-baru ini, penerbit buku memperoleh beberapa berita gembira.  Internet mendapat beberapa berita buruk.  Beliau merujuk kepada pemeriksaan penggunaan komputer yang dilakukan oleh dan Jacob Vigdor dan Helen Ladd daripada Duke’s Sanford School of Public Policy dalam kalangan setengah juta pemegang gred kelima hingga gred kelapan di North Carolina.  Mereka mendapati bahawa penyebaran komputer di rumah dan akses Internet kelajuan tinggi adalah berkait dengan kemorosotan yang signifikan dalam matematik dan skor pembacaan.  Kajian ini, susulan kajian lain, mendapati bahawa akses jalur lebar tidak semestinya baik untuk kanak-kanak dan mungkin mendatangkan keburukan terhadap prestasi akademik mereka.
           Debat Internet lawan buku, menurut pemerhatian David Brooks, dilakukan atas anggapan bahawa medium ialah mesej.  Akan tetapi, medium hanya sekadar medium.  Yang penting ialah cara orang ramai fikir tentang diri mereka ketika melibatkan diri dalam dua aktiviti.  Individu yang menjadi warga dunia sastera memasuki dunia berhieraki.  Individu yang memasuki dunia ini sebagai orang baru, dan perlahan-lahan mengkaji karya penulis agung dan para sarjana.  Warga Internet mempunyai pengalaman yang berbeza.  Internet memecahkan hierarki dan tidak ditandai oleh rasa hormat.  Budaya Internet ialah egalitarian. 
            “Budaya yang berbeza memupuk jenis pembelajaran yang berbeza.”  Dan tegas Brooks lagi, “Budaya Internet mungkin melahirkan orang yang pandai berbual yang baik, tetapi budaya sastera masih melahirkan pelajar yang lebih baik.”
            Dalam keluaran 31 Mei 2010, USA Today bukan sahaja  menerbitkan dapatan kajian Richard Allington itu, bahkan juga   meninjau  pandangan pakar, antaranya Rebecca Constantino, penyelidik dan pengajar di   University of California-Irvine untuk menunjukkan kelebihan buku.  Rebecca yang pada tahun 1999 menubuhkan Access Books dilaporkan berkata, “Sebab dan akibat adalah mudah.  Apabila kanak-kanak memiliki buku, mereka merasakan ‘Saya pembaca.’  Hal ini sangat berpengaruh apabila anda pergi ke rumah kanak-kanak dan bertanyakan, “Di manakah perpustakaan anda?’”  Bagi Rebecca, banyak keluarga pendapatan rendah “tidak mempunyai buku di rumah mereka sama sekali.” Bahkan,  apabila buku disumbangkan kepada keluarga ini, ibu bapa tidak dapat tidak, sebagaimana  anak-anak mereka berasa teruja.
           Memang diakui bahawa  tidak semua orang memandang tinggi terhadap buku.  Angelina Jolie dilaporkan berasa terganggu terhadap biografi yang tidak dibenarkan tentang beliau yang ditulis oleh Andrew Morton. Walau bagaimanapun, yang dialami oleh pelakon terkenal itu hanya bersifat peribadi, sedangkan secara keseluruhannya, setiap lapisan masyarakat dalam mana-mana budaya dan negara masih menghargai buku.  Seperti dikatakan oleh Orhan Pamuk, Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, penulis perlu terus menulis, pembaca perlu terus membaca. 

           (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Oktober 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...