Artikel Popular

Wednesday, May 9, 2012

Greece: Kelumpuhan Ekonomi dan Kebuntuan Politik

RABU, 9 Mei 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Greece terus mendapat perhatian, walaupun pelan penyelamat kedua telah diluluskan beberapa bulan lalu dan krisis zon euro beralih ke Sepanyol. Yang jelas, negara tempat lahirnya demokrasi yang mengadakan Pilihan Raya Parlimen Ahad lalu, terpaksa bergelut dengan krisis yang berpanjangan. 

"Kemenangan di Perancis, kebimbangan di Greece," tulis The Economist. Berbanding dengan Perancis, situasi politik di Greece lebih rumit.  Francois Hollande memenangi Pilihan Raya Presiden  Perancis, tetapi masalah sebenar bagi euro, iaitu zon euro, tegas Tim Worstall dalam Forbes, "adalah hakikatnya, keputusan Pilihan Raya Parlimen Greece.  Situasi di Greece berbeza sama sekali.  Parti-parti tengah, sosialis pada nama sahaja, iaitu Pasok dari kiri, konservatif pada nama sahaja, iaitu  Demokrasi Baru dari kanan, kalah teruk dalam pilihan raya ini.  Hakikatnya, orde selama berdekad politik Greece dieviserat."

Dengan runtunan keradangan, warga Greece menolak bulat-bulat ahli politik yang mengheret mereka ke dalam kemelesetan yang teruk yang mereka dapat ingat. Dalam pilihan raya Ahad lalu, mereka memilih secara besar-besaran parti yang antijimat-cermat, memusnahkan harapan bahawa dua buah parti arus perdana, iaitu Demokrasi Baru dan Pasok dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk meneruskan pembaharuan yang dipersetujui dengan pemiutang Greece, Kesatuan Eropah, dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

Demokrasi Baru hanya memenangi 18.9 peratus undi dan 108 kerusi dalam 300 kerusi Parlimen.  Pasok jatuh semula ke tempat ketiga, dengan 13.2 peratus undi dan 41 kerusi.  Pemenang besar ialah Syriza (Pakatan Kiri) yang memeranjatkan banyak pihak, menduduki tempat kedua, menarik sokongan daripada Pasok.  Parti itu memperoleh 16.8 peratus undi, meningkat daripada hanya4.6 peratus dalam pilihan raya tahun 2009, dan akan menguasai 52 kerusi di Parlimen. Sementara Parti Fajar Keemasan neo-Nazi yang  memenangi 21 kerusi dijangkakan menentukan masa depan Eropah. 

Pemimpin Syriza, iaitu Alexis Tsipras yang ditugaskan membentuk kerajaan, dilaporkan  memberitahu rakan-rakannya yang propelan penyelamat bahawa mereka mesti meninggalkan sokongan  untuk pelan penyelamat yang diterajui oleh Kesatuan Eropah jika mereka ingin menubuhkan kerajaan campuran.    

Kebuntuan pembentukan kerajaan yang "pro-Eropah," maka  berkemungkinan besar Greece  meninggalkan euroNegara itu  mengancam untuk memusnahkan euro kerana menurut ahli politiknya, "keluarnya Greece  daripada kesatuan monetari akan memusnahkan setiap orang." Greece  berkemungkinan  meninggalkan euro pada tahun ini.  Dikhuatiri bahawa  "perang saudara" di Greece boleh mengancam Eropah. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...