Artikel Popular

Wednesday, August 22, 2012

Sejarawan, Profesor Harvard yang Hilang Kebijakan

RABU, 22 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seperti yang dijangkakan, tulisan Niall Ferguson untuk rencana utama Newsweek bukan sahaja mencetuskan kontroversi, bahkan juga menjejaskan wibawanya sebagai sejarawan warga British  dan profesor di Harvard University.  Para pengkritik bukan menggasak beliau kerana  menulis tajuk yang sedemikian rupa, "Why We Need a New President," tetapi terhadap fakta yang  beliau kemukakan yang jelas tidak tepat dan mengelirukan. 

Ferguson, seperti yang dapat dilihat melalui kolumnya dalam majalah ini, sentiasa mengkritik Presiden Barack Obama, termasuk dasar luar beliau, ialah penasihat John McCain dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008.  Kebencian beliau terhadap Obama sentiasa membara sehingga beliau hilang kebijakan dan kewarasan, menggadai martabatnya sebagai ilmuwan.

Seperti yang dijangkakan juga, kritikan awal  datangnya daripada ahli ekonomi,  Paul Krugman, yang memang tidak sebulu dengan Ferguson.  Pastinya, Ferguson "belum sempat bermalam"  menyerang balas "musuh no. 2" beliau selepas Barack Obama. Maka, dapat diperhatikan "Niall Ferguson lawan Paul Krugman." 

Walau bagaimanapun, Ferguson yang tersilap langkah dari awal lagi, kemudian cuba "menegakkan benang basah," - lebih banyak berdusta,   digasak dari segenap penjuru menyebabkan beliau terpelanting di tengah padang

Terlalu banyak reaksi yang menyanggah Ferguson berbanding dengan yang sehaluan dengan beliau. Matthew O'Brien yang menulis dalam The Atlantic, menyemak fakta penuh untuk menyanggah Ferguson yang mempunyai hujah yang sangat teruk terhadap Obama.  Kesilapan yang ketara yang dilakukan oleh Ferguson apabila membangkitkan guna tenaga dalam sektor swasta sejak masih 4.3 juta orang kurang daripada puncak Januari 2008.  

"Ferguson menyalahkan Obama kerana pekerjaan yang hilang dalam satu tahun penuh sebelum beliau menjadi Presiden", tegas O'Brien. "Pastinya tidak benar-benar adil untuk menyalahkan Obama atau George W. Bush kerana kehilangan pekerjaan dalam beberapa bulan pertama sebelum dasar mereka dikuatkuasakan.  "Jika kita benar-benar perhatikan guna tenaga dalam sektor swasta selepas enam bulan pertama mereka berkhidmat, maka Obama mewujudkan 3.1 juta pekerjaan dan Bush mewujudkan 967,000 pekerjaan."

James Fallows yang juga menulis dalam The Atlantic dengan nada yang agak emosi "memohon maaf bagi pihak  alumni Harvard" kerana seorang profesor dari universiti menulis rencana utama seperti itu.  Fallows dalam tulisannya itu memetik rakan-rakannya dalam majalah itu, iaitu Derek Thompson yang membandingkan guna tenaga sektor swasta penggal pertama antara Obama dengan Bush, dan Robert Wright yang menunjukkan bahawa dasar ekonomi Obama lebih baik daripada zon euro, Kesatuan Eropah, dan Jepun dari segi guna tenaga.  Bagi Fallows, tulisan Ferguson sama teruknya dengan sembang-sembang berita kabel dan langsung tidak menunjukkan taraf profesor di sebuah universiti terkenal di dunia.

Jika Ferguson mencemarkan Harvard, bagaimana editor Tina Brown editor Newsweek/The Daily Beast yang menerbitkan makalah itu?  soal Wright. Sementara Ta-Nehisi Coates, editor kanan The Atlantic, yang pernah berkhidmat dengan Newsweek, berhujah dari segi pentingnya penyemakan fakta, iaitu tidak boleh sewenang-wenangnya menerbitkan  tulisan Ferguson yang tidak  boleh dipercayai  itu.

Sebelum tulisan Ferguson diterbitkan, David Plots mewawancara  Michael Grunwald, "The New New Deal" tentang kejayaan rangsangan yang diperkenalkan oleh Barack Obama yang mengagumkan, tetapi tidak diiktiraf.  Paling tidak, Grunwald ingin mengingatkan bahawa jangan pandang rendah terhadap dasar ekonomi Obama.  Lagipun, seperti yang dibangkitkan oleh Immanuel Wallerstein bahawa di mana-mana sahaja pemulihan ekonomi tidak berlaku, justeru, tidak memeranjatkan jika ekonomi Amerika Syarikat masih terhegeh-hegeh, termengah-mengah.

Barangkali, andaia James Fallows tepat bahawa Niall Ferguson  bukan warganegara Amerika Syarikat, ingin memenangi pemerhatian.  Dengan mengemukakan  bukti yang  tidak kukuh,  beliau dikatakan cuba memancing  setiap orang, meskipun kesudahannya, beliau menggadai kebijakannya sebagai sejarawan dan profesor.


2 comments:

  1. Salam Lebaran. Alhamdulillah Saya sempat singgah & akan menjadi Sahabat Setia Blog ni, InsyaAllah... Sy singgah dari Blog Saya: www.queachmad.com

    Saya masih baru lagi dalam Dunia Maya ni, harap jasabaik untuk support Saya, bantu Saya. Kalau tak keberatan, mohon pautkan Blog Saya di sini supaya dapat Saya sama2 berjuang MENCARI KEBENARAN KE JALAN ALLAH... Terima Kasih, Jasamu Dikenang... Jika ada rezeki Blog Saya dipautkan ke Bloglist, harap dapat maklumkan pada Saya tentangnya, InsyaAllah..

    ReplyDelete
  2. Wassalam. Saya juga masih baru, banyak yang saya tidak tahu tentang blog ini. Hanya tahu tulis, cari gambar, dan poskan. Banyak penambahbaikan yang dicadangkan oleh Google saya tidak laksanakan kerana tidak tahu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...