Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pihak penganjur Persidangan Kebangsaan Republikan yang akan berlangsung di Tampa, Florida pada minggu hadapan, bukan sahaja mengadakan persiapan yang rapi, tetapi juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan taufan Isaac melanda dan memastikan tidak berlaku revolusi Ron Paul. Berita terkini menyatakan bahawa persidangan itu dilewatkan kerana mengelakkan daripada taufan tropika itu.
Sementara calon Republikan, iaitu Mitt Romney dan regunya, Paul Ryan yang dijangkakan disahkan dalam persidangan itu, kelihatan semakin bertenaga dan bersemangat menyerang pihak lawan, iaitu Presiden Barack Obama, dengan berani membuka medan pertarungan: "Medicare." Namun, dengan bertindak demikian, Romney membuat percaturan yang silap kerana Obama bernasib baik apabila Medicare tidak terkawal. Justeru, wujud persoalan, sama ada Romney mengambil langkah bijak untuk bertempur di medan ini, seperti yang dibahaskan oleh Clive Crook.
Tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh CNN/ORC International menunjukkan persaingan antara kedua-dua calon ini adalah sengit, tetapi Barack Obama masih mendahului Mitt Romney, dengan 49 peratus berbanding dengan 47 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi. Demikian juga tinjauan pendapat USA Today/Gallup yang menunjukkan Obama mendahului Romney, meskipun calon Republikan lebih diyakini dari segi menangani ekonomi.
Tatkala Romney dan Ryan semakin bertenaga dan bersemangat, serta bersiap sedia ke Tampa, berlaku pendedahan yang boleh menjejaskan rentak kempen mereka. Pertama, oleh Associated Press, yang dipetik secara meluas, tentang penggunaan data rahsia untuk mengenal pasti baka penderma kaya.
Dan, pendedahan yang paling besar yang berkemungkinan mempunyai implikasi politik adalah tentang Bain Capital yang masih menjadi kebanggaan Romney, seperti yang beliau tunjukkan melalui tulisannya dalam The Wall Street Journal. Memang kempen Obama, seperti yang dinyatakan oleh Robert Shrum dalam The Daily Beast, tidak akan membiarkan Bain Capital yang menjadi modal kempen sejak berbulan-bulan, lenyap begitu sahaja, meskipun medan pertempuran semakin luas berikutan pemilihan Paul Ryan sebagai calon Naib Presiden. Demikian juga penyata cukai pendapatan yang beliau serta isterinya, Ann seakan-akan berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan, termasuk agama, pastinya akan terus menjadi modal politik kempen Obama.
Pendedahan tentang Bain Capital kali ini, secara tersurat bukannya datangnya daripada kempen Obama dan bukannya juga oleh media, seperti The Huffington Post dan Los Angeles Times, antaranya. Sebaliknya, dokumen lebih 950 halaman tentang aktiviti perniagaan firma yang pernah diterajui dan tetap dibanggai oleh Romney itu dilakukan oleh gawker. Dokumen yang didedahkan itu dipetik dan/atau dibahaskan secara meluas, termasuk The Huffington Post, The Washington Post, The Daily Beast, The Week, New York Magazine, Bloomberg, dan bahkan oleh The Guardian.
Dan Primack yang menulis dalam Fortune, menganggap pendedahan itu sebagai "fail Bain" yang tidak bernilai, dengan itu, tidak mempunyai implikasi politik terhadap Romney. Sementara John Cassidy yang menulis dalam blog The New Yorker, yang bersetuju dengan Primack bahawa tidak mencetuskan kegemparan, merumuskan "sesuatu yang malang untuk Romney menjelang persidangan di Tampa." Atau memetik Lisa Lerer dan Julianna Goldman, "perjalanan yang berliku-liku ke Tampa."
Walau bagaimanapun, Amy Davidson yang menulis dalam The New Yorker, melihat pendedahan dokumen itu adalah akibat keengganan Romney mendedahkan penyata cukai pendapatan kepada umum, lalu mendorong pihak lain mendedahkannya. "Apabila seseorang calon bertanding," tegas Amy, "maka ini merupakan detik bukan sahaja untuk pembelajaran tentang dasarnya, tetapi juga tentang perspektif orang lain tentang negara dan peluang yang ditawarkannya dan di manakah perbezaan yang berbeza dapat terajui." Bagi Amy, Romney sebagai bakal Presiden, perlu menunjukkan ketelusan.
"Sudah tiba masanya, Romney muncul untuk membersihkan cukainya," tulis Colbert I. King dalam The Washington Post, dan tidak boleh lagi terus berdegil, memandang rendah terhadap desakan kempen Obama. Pakar cukai pula, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, "meragui bahawa Romney membayar semua cukai pendapatannya," dan mesej untuk beliau adalah jelas, "bayar atau diam." Pendedahan ini juga mengukuhkan dakwaan Harry Reid, pemimpin Majoriti Senat bahawa Romney tidak membayar cukainya selama 10 tahun.
Pendedahan itu juga sedikit sebanyak, mengukuhkan tanggapan umum bahawa Romney gemar berdusta, dan personaliti negatifnya, antaranya gemar berahsia, secocok dengan amalan agamanya, Mormon. Romney, menurut The Economist, mempunyai banyak faktor yang memihak pada dirinya untuk memenangi Pilihan Raya Presiden tahun 2012. Namun, beliau perlu menonjolkan dirinya semula sebagai "calon yang digemari dan mampu menarik simpati." Pilihan raya ini, tegas Charlie Cook, sepatutnya bukan merupakan persaingan yang sengit kalaulah tidak kerana personaliti Romney dan beberapa silap langkah yang dilakukan kempen beliau.
Romney didapati popular dalam kalangan pengundi kulit putih, sebaliknya kurang popular dalam kalangan pengundi minoriti jika dibandingkan dengan Obama. Dengan menggunakan matematik, Ronald Brownstein, menegaskan bahawa Romney perlu memperoleh 61 peratus undi kulit putih dan 74 peratus undi minoriti, manakala Obama 80 peratus undi minoriti dan 40 peratus undi kulit putih.
Dari segi kewangan pula, kempen Romney lebih kukuh dan stabil jika dibandingkan dengan kempen Obama, meskipun faktor ini belum pasti menjamin kemenangan beliau.
Namun, Bain Capital dan penyata cukai pendapatannya yang pastinya terus menghantui Romney hingga November, meletakkan beliau dalam laluan yang sukar untuk mara ke Rumah Putih.
Mampukah Mitt Romney memperoleh 273 berbanding dengan 265 badan perwakilan pemilih untuk Barack Obama, seperti yang diramalkan? Walau bagaimanapun, pada bulan Ogos, menurut pemerhatian Nate Cohn dalam The New Republic, Romney kalah, dan model ramalan terbaharu tidak membuktikan bahawa beliau akan menang.
Bain Capital bukan sahaja merupakan beban terhadap Romney, tetapi juga merupakan pengubah permainan. Mungkin pendedahan dokumen yang sangat tebal itu hanya permulaan untuk mengacah-acah Romney supaya beliau tidak dapat tidur lena.

No comments:
Post a Comment