Artikel Popular

Monday, August 27, 2012

Suara Elit Global Baru

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Apabila penerbitan   Asia Week dihentikan pada awal tahun 2000-an, maka dikatakan bahawa berakhirnya "suara Asia,"  meskipun majalah itu "mati sebelum mati."  Memang kesan pemberhentian  penerbitannya  amat dirasai, meskipun masih ada majalah lain yang tidak kurang juga kepopularannya, iaitu Far Eastern Economic Review.  Namun, majalah ini mengalami krisis identiti, iaitu perubahan konsep, dan semakin tidak kelihatan dalam pasaran. 

Majalah  berita lain, seperti Time, Newsweek, dan The Economist, yang boleh dikatakan juga terkenal, tetapi tidak mewakili suara di rantau ini.  Memang, antara majalah itu, misalnya Time mempunyai edisi Asia dan The Economist mempunyai ruangan Asia.  Sementara majalah lain, yang dianggap sebagai majalah elit di Amerika Syarikat, seperti The Atlantic, The New Yorker, dan The New Review of Books (dianggap sebagai majalah, meskipun bentuk fizikalnya adalah tabloid), tetapi pengedaran ketiga-tiga majalah tersebut di Asia tidak meluas jika dibandingkan dengan majalah berita.

Aram Bakshian Jr. yang menulis dalam The National Interest, membuat pemerhatian yang  menarik bahawa kini, The Economist berkemungkinan mendahului senarai, sedangkan majalah berita lain, seperti Newsweek dan Time bukan sahaja merosot dari segi edaran, tetapi juga kehilangan yang agak banyak.  Selain itu, era majalah berita seakan-akan berakhir, lebih-lebih lagi adanya media elektronik dan berita kabel.

The Economist, hujah Bakshian, mendapat faedah daripada pengaruh bahasa global, iaitu bahasa Inggeris.  Bermula di Great Britain, merebak ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand.  Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa elit terpelajar di negara Asia, Afrika, Pasifik, dan Hindia Barat yang merupakan sebahagian empayar British yang besar.

Hasilnya ialah berkembangnya khalayak elit di seluruh dunia yang terdiri daripada penutur dan pembaca bahasa Inggeris, yang kini merupakan kira-kira 1.5 juta pelanggan The Economist.  "Majalah ini menjadi berita mingguan seluruh utama untuk elit global baru," tegas Bakshian.

Setelah memperhatikan The Economist selama 22 minggu, Bakshian yakin bahawa majalah ini adalah yang terbaik dalam kalangan majalah berita.  Tahap kepintaran pemberitaan dan analisis dan keluasan liputan, dari segi geografi, politik, ekonomi, saintifik, intelektual, dan kesenian, memang tidak dapat ditandingi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...