Artikel Popular

Sunday, August 12, 2012

Olimpik: Ekonomi dan Pilihan Raya

AHAD, 12 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Melalui carta hariannya, The Economist menyenaraikan penguasaan beberapa buah negara dalam sukan tertentu, seperti olahraga, lumba basikal, berkanu, lumba basikal, terjun, lawan pedang, gimnastik, mendayung, perlumbaan perahu layar, renang, angkat berat, dan gusti.  Negara yang menguasai salah satu sukan itu sejak Sukan Olimpik ialah Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, Rusia, China, Jerman, Jerman Timur, Perancis, Norway,  Italy, Austria, dan Australia, mengikut tempoh 1896 - 1936, 1948 - 1988, dan 1992 - 2012.

Sukan Olimpik tahun 2012 yang akan berakhir pada hari ini menyaksikan Amerika Syarikat memenangi 44 pingat emas, diikuti oleh China dengan 38 pingat emas, manakala tuan rumah, Great Britain menduduki tempat ketiga dengan 28 pingat emas, diikuti oleh Rusia yang memenangi 21 pingat emas, manakala sebuah lagi negara Asia, iaitu Korea Selatan yang memenangi 13 pingat emas menduduki tempat kelima. 

Matthew O'Brien yang menulis dalam The Atlantic, cuba mencari faktor yang menentukan sesebuah negara menjadi pemenang terbesar dalam  Sukan Olimpik.  Pastinya, bukannya faktor jumlah penduduk kerana India yang mempunyai lebih satu bilion orang penduduk  tidak menonjol. India, menurut O'Brien mempunyai 99 masalah, dengan merujuk negara itu terpaksa bergelap baru-baru ini kerana bekalan elektrik terputus, yang  hanya menduduki tangga ke-56, memenangi satu perak dan empat gangsa.  

Untuk mencipta kejayaan di Sukan Olimpik, hujah O'Brien, "Anda memerlukan banyak orang, banyak wang, dan banyak keazaman."  Beliau memetik rakan sejawatan, Max Fisher bahawa India kekurangan dua kategori terakhir itu.  O'Brien juga mengakui bahawa per kapita Keluaran  Dalam Negara Kasar (KDNK) juga bukan merupakan faktor mutlak yang menyumbangkan kemenangan sesebuah negara, kerana ada negara miskin, seperti Cuba mencapai prestasi yang lebih baik daripada Sweden, meskipun jumlah penduduk kedua-dua negara adalah hampir sama. 

"Bermula dengan Sukan Olimpik tahun 1996," jelas O'Brien, "saya melihat empat faktor, iaitu jumlah penduduk, per kapita KDNK, sama ada negara itu  pernah menjadi komunis, dan sama ada negara itu tuan rumah atau akan menjadi tuan rumah sukan itu."  Pemboleh ubah ini menjelaskan bahawa 42 peratus tentang pingat yang diperoleh:  Penduduk dengan koefisien 0.542, diikuti rapat oleh per kapita KDNK dengan koefisien 0.515.  Sejarah komunis adalah kira-kira separuh penting, dengan koefisien 0.272, manakala negara tuan rumah dengan koefisien 0.168.  Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa sesetengah negara mempunyai atlet yang berbakat, seperti Jamaica dan Kenya yang diperkukuh oleh program pembangunan. 



Bagi Amerika Syarikat yang sejak beberapa hari lalu mula memotong China dari segi pengumpulan pingat emas, prestasi cemerlang ini tentunya dapat dikaitkan dengan Pilihan Raya Presiden  tahun 2012. Demikian, seperti yang dibayangkan oleh John Cassidy yang menulis dalam blog The New Yorker, selepas meninjau beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan Presiden Barack Obama, Sukan Olimpik juga merangsangkan beliau. 

Rakyat Amerika terlalu sibuk menonton jaguh atlet mereka bertarung sehingga kurang memberikan perhatian kepada pilihan raya.  "Olimpik," hujah Cassidy, "membayangi berita ekonomi yang buruk dan   mencetuskan gelombang patriotisme, yang tidak kelihatan sejak bertahun-tahun."  Menonton pasukan Amerika Syarikat menduduki senarai teratas dari segi perolehan pingat, jelas beliau, "banyak rakyat Amerika merasakan negara adalah lebih baik jika dibandingkan dengan perasaan mereka beberapa minggu yang lalu, yang menjadi berita baik untuk penjawat kini dan  berita buruk untuk pencabar beliau."

Cassidy melihat korelasi  antara prestasi atlet Amerika di Sukan Olimpik dengan tinjauan pendapat yang menunjukkan Obama semakin menjarakkan dirinya daripada Romney.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...