Artikel Popular

Thursday, August 23, 2012

Romney Dijangkakan Menang Besar?

KHAMIS, 23 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jika sebelum  ini, Presiden Barack Obama dijangkakan menang besar dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, kini keadaan sudah berubah. Berita baik untuk Mitt Romney dan berita buruk untuk Barack Obama, yang akan menghadapi hari penentuan kurang dari tiga bulan lagi. 

Dua orang profesor sains politik, iaitu Ken Bickers dan Michael Berry  dari University of Colorado, dipetik sebagai  meramalkan Romney memenangi 320 badan perwakilan pemilih berbanding 218 untuk Obama.  Model mereka yang menggunakan petunjuk ekonomi dari kesemua 50 buah negeri, juga menunjukkan bahawa Romney akan menang setiap negeri yang kini dianggap negeri berayun, yang termasuk Florida, Virginia, North Carolina, Ohio, Pennsylvania, Wisconsin, Minnesota, New Hampshire, dan Colorado. 

Model yang diperkenalkan itu dikatakan meramalkan dengan tepat setiap pemenang dalam pilihan raya sejak tahun 1980. Kali ini, menunjukkan bahawa Presiden dalam kesukaran untuk mempertahankan kedudukannya. 

Walau bagaimanapun,  tinjauan pendapat  terkini, iaitu daripada Associated Press/GfK, menyatakan kebanyakan rakyat Amerika menjangkakan bahawa Presiden Barack Obama akan menang untuk penggal kedua, termasuk lebih satu perempat penyokong Mitt Romney, meskipun diakui bahawa persaingan adalah sengit. Pemilihan Paul Ryan sebagai regu, gagal untuk merangsang Romney secara  signifikan.

Demikian juga  tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh The Wall Street Journal/NBC News yang menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney dengan empat titik peratusan: 48 peratus berbanding 44 peratus.  Sejak kajian ini dijalankan, Obama tidak pernah ketinggalan daripada lawannya, Romney.  Hasil tinjauan ini juga tidak dapat memberikan kepastian tentang impak pemilihan Ryan itu.

Kedua-dua calon ini didapati terpaksa bergelut dengan masalah masing-masing.  Kempen Obama menghadapi krisis, iaitu ketidaksepakatan antara orang harapan beliau, seperti yang didedahkan politico e-book.  Sementara Obama sendiri, menurut Naureen Khan dalam National Journal, mula dianggap negatif jika dibandingkan dengan sebelum ini.

Sementara Romney, yang masih bergelut dengan pemegangan jawatannya di Bain Capital, akaun bank Swiss, dan penyata cukai pendapatannya, yang pastinya tidak akan reda sehingga hari mengundi, menghadapi masalah yang paling besar, menurut John Cassidy, ialah Republikan, tetapi juga mengakui masalah Obama.  Rick Santorum, salah seorang calon Presiden dalam pemilihan awal Republikan mengemukakan alasan Romney akan tewas: rekod sebagai ahli perniagaan, penyata cukai pendapatannya, dan penerimaan orang ramai terhadap beliau berbanding dengan Obama. 

Romney juga ditanggapi negatif kerana sikapnya gemar berdusta, seperti yang dibahaskan oleh Robert Shrum, "Medicare, Bain, dan cukai."  Medicare, betul-betul memperlihatkan pendustaan Romney dan regunya Paul Ryan, tegas Michael Tomasyky. Meskipun penyemak fakta mendedahkan bahawa iklan kempen beliau tidak tepat, Romney tetap tidak mempedulikannya.  

Pastinya, pemilihan Paul Ryan oleh Romney sebagai calon Naib Presiden banyak mencetuskan tanda tanya: Adakah beliau membuat pilihan yang betul?  Tinjauan pendapat Gallup menunjukkan bahawa berbanding pemilihan beberapa Naib Presiden sebelum ini, "reaksi terhadap Ryan kurang positif."  Pelan Medicare yang diperkenalkan oleh Ryan, seperti yang dibahaskan oleh Nate Cohn dalam The New Republic, menakutkan warga tua, yang boleh menjejaskan peluang Romney untuk menang.

Selain Medicare, Paul Ryan juga memperkenalkan Medicaid yang mungkin menyukarkan laluan Romney yang nampaknya Ryan cuba elakkan untuk membincangkannya. Pelan ini jika dilaksanakan dijangkakan menjejaskan golongan paling miskin di Amerika. 

Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat yang lain, terutamanya dalam kalangan warga tua, Ryan diterima oleh mereka, iaitu 50 peratus berbanding dengan 34 peratus.  Selain itu, berikutan pemilihan itu, Romney mendapat sokongan   pengumpulan dana yang dianggap menyuntik semangat untuk beliau mara ke Rumah Putih.

Pemilihan Ryan dianggap lebih merosakkan dan bukannya membantu Romney, dan dengan itu, Demokrat turut berasa gembira dengan pemilihan itu. Prestasi Ryan sebagai anggota Dewan Perwakilan dianggap lemah, banyak bercakap yang gah-gah, dan pernah menyokong pelan penyelamat. Beliau yang memperlihatkan dirinya menentang rangsangan pernah memohon peruntukan itu.  

Sementara Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh Robert Shrum, akan "membuat keutungan daripada Paul Ryan: Medicare, cukai, pendidikan, dan banyak lagi." Bahkan, dalam kalangan Republikan sendiri, ada yang kurang selesa dengan pemilihan Ryan yang memikul  beban politik yang boleh menjejaskan peluang Romney.  Beliau tidak membantu Romney untuk menang di Ohio, Florida, atau Virginia.  Beliau tertumpu pada pemotongan belanjawan yang tidak selari dengan fokus para pengundi terhadap pewujudan pekerjaan.

Cukai Romney + belanjawan Ryan = keseronokan Demokratik, demikian tafsiran Caroline Baum dalam Bloomberg, menunjukkan betapa beratnya beban calon Republikan ini.  Bahkan, puak konservatif mengkritik belanjawan Ryan: "tidak mempunyai matematik yang boleh dipercayai atau pilihan dasar yang sukar."  Belanjawan itu dikatakan lebih menyusahkan rakyat Amerika. 

Memang berlaku kerancakan selepas Romney mengumumkan Paul Ryan sebagai regunya, misalnya sumbangan dana mencurah-curah dan Romney mula kelihatan bertenaga. Namun, dengan mengibaratkannya  pasaran hadapan dan Romney sebagai komoditi panas, Nate Silve dalam FiveThirtyEight, "Saya tidak membeli kerancakan Romney."  

Walau bagaimanapun, dalam unjuran terbaharunya, menunjukkan badan perwakilan pemilih yang diperoleh oleh Obama jatuh sebanyak 6.3 sejak 15 Ogos, kepada 294.2, berbanding dengan Romney yang memperoleh 243.8 badan perwakilan pemilih, mengalami peningkatan. 

Setakat ini, secara keseluruhannya, Barack Obama masih mendahului Mitt Romney, tetapi lawannya itu  mula menunjukkan kemaraan. Berapa lama, berapa jauh?


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...