Artikel Popular

Saturday, August 4, 2012

Diamond: Romney Tidak Melakukan Penyelidikan

SABTU, 4  Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lazimnya, seseorang pengarang akan berbangga jika  bukunya dipetik orang, apatah lagi yang memetik itu tokoh yang sedang mempersiapkan dirinya untuk ke Rumah Putih, meskipun laluannya makin sukar.  

Namun, halnya berbeza  bagi Jared Diamond yang bukunya, Guns, Germs and Steel  bersama-sama buku David Landes, The Wealth and Poverty of Nations yang dipetik oleh Mitt Romney semasa beliau melawat Israel baru-baru ini untuk membezakan budaya penduduk Israel dengan umat Palestin.  Sebagaimana di London, dengan melakukan perbandingan tersebut, Romney sekali lagi menunjukkan kebodohannya ketika berada di Israel.   


Bagi Diamond, Romney memberikan gambaran yang salah tentang bukunya untuk menjelaskan mengapa rakyat Israel dan umat Palestin mempunyai perbezaan ketara dari segi tahap pembangunan ekonomi.  Diamond terpaksa bersusah payah menulis dalam The New York Times, untuk menjelaskan maksud buku beliau yang sebenar yang dikelirukan oleh Romney.  Beliau  menegaskan bahawa Romney mengeluarkan ulasan yang kontroversi tentang peranan budaya dalam menjelaskan mengapa sesetengah negara kaya dan sangat berkuasa, sedangkan negara lain miskin dan lemah mengundang banyak komen.  "Saya, terutamanya," jelas Diamond, "meminati ulasan beliau itu kerana Romney memberikan gambaran yang salah tentang pandangan saya, dan dalam membezakan pandangan itu dengan hujah sarjana lain, membesar-besarkan isu tersebut."


Hujah Diamond, "sememangnya tidak betul buku saya itu, seperti yang Romney menjelaskannya dalam ucapannya di Baitulmuqaddis, 'pada asasnya berkata ciri fizikal tanah menentukan perbezaan dalam kejayaan orang yang mendiami kawasan itu.  Wujud bijih besi di dalam tanah itu dan sebagainya'." 


Wujud berbezaan yang ketara, jelas Diamond, "daripada apa yang buku saya sebenarnya katakan menyebabkan saya rasa ragu-ragu, sama ada Romney membaca buku itu.  Tumpuan saya kebanyakannya terhadap ciri biologi, seperti spesies tumbuhan dan haiwan, dan dalam kalangan ciri fizikal, satu yang saya nyatakan saiz dan bentuk benua dan pengasingan relatif.  Saya tidak menyebut bijih besi."


Penjelasan Jared Diamond ini dipetik oleh David Frum dalam The Daily Beast dengan mengemukakan sumber tambahan,  manakala  Adam Serwer yang menulis dalam Mother Jones, secara sinis mengingatkan, "lain kali, Mitt Romney sepatutnya memetik buku oleh pengarang yang sudah mati supaya mereka secara terbuka menegur beliau kerana memberikan gambaran yang salah tentang buku mereka."


Berikutan kontroversi di Israel itu, kempen Romney menyalahkan Associated Press kerana mereka-reka cerita ulasan Romney tentang budaya Palestin.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...