Artikel Popular

Thursday, August 30, 2012

Negeri Menjadi Pertaruhan

KHAMIS, 30 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dari 27 - 30 Ogos berlangsung Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, dan pada  minggu depan, berlangsung pula Persidangan Kebangsaan Demokrat di Charlotte,  sebagai persiapan Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini.  

Setakat ini, di Tampa, antara yang telah berucap ialah Paul Ryan, calon Naib Presiden daripada Parti Republikan yang melancarkan serangan yang goyah terhadap Presiden Barack Obama, dan ucapan beliau itu    mengelirukan, dan sebagaimana Mitt Romney, juga sarat dengan pendustaan.  Sebelum ini, isteri calon Presiden, iaitu Ann Romney telah pun berucap dengan "kisah cinta"  yang diulas antaranya oleh John Cassidy dan David Corn.

Sementara itu, tinjauan pendapat USA Today/Gallup menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Amerika percaya bahawa Barack Obama akan memenangi pilihan raya ini.  Sebanyak  38 peratus menerima Ryan berbanding  36 peratus yang menolak.

Meskipun  tinjauan pendapat CBS News menunjukkan bahawa persaingan sengit,  regu Barack Obama-Joe Biden mendahului Mitt Romney-Paul Ryan dengan 46 peratus berbanding 45 peratus. Tinjauan menunjukkan  "separuh pengundi berdaftar menyatakan bahawa Romney tidak memahami masalah mereka," memperkukuh dakwaan kempen Obama bahawa Romney ialah orang kaya yang tidak memahami denyit nadi rakyat. 

Romney diperhatikan tidak mendapat sokongan pengundi Latino sehingga mendorong editorial The Wall Street mengesyorkan Republikan melembutkan retorik terhadap imigresen dan memperluas jangkauan kepada pengundi Latino.  Dalam kalangan pengundi kulit hitam pula,  Romney  mendapat sokongan sifar -  walaupun jangkaan agak berlebihan, jelas membayangkan kesukaran beliau  untuk meraih sokongan minoriti.

Carta harian The Economist pada 29 Ogos menyatakan jika pilihan raya diadakan hari ini, Obama memenangi 286 berbanding 206 badan perwakilan pemilih untuk Romney, tidak termasuk Michigan, Ohio, dan Virginia, yang data terbaharu menunjukkan perlumbaan adalah terikat.  Negeri  lain yang dijangkakan sengit ialah Nevada, Iowa, Wisconsin, North Carolina, dan Georgia.

Carta harian itu juga memetik tinjauan pendapat terbaharu Iowa oleh PPP yang menunjukkan jarak pemisahan antara Obama dengan Romney semakin rapat: Obama 47 peratus dengan 45 peratus untuk Romney.  Pada Julai, Obama mendahului 48 peratus berbanding 43 peratus untuk Romney, dan pada 51 peratus berbanding 41 peratus. Sementara di peringkat nasional, padang permainan semakin sama rata untuk kedua-dua calon ini.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...