Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Lima tahun berlalu, ketika tercetusnya krisis kewangan global pada 9 Ogos 2007, dunia masih lagi bergelut dengan kemelesetan. "Seakan-akan kita balik ke asal," catat Ambrose Evans-Ptritchard dalam The Telegraph. Terlalu banyak simpanan, hujah beliau, dan terlalu sedikit penggunaan di dunia untuk mengekalkan pertumbuhan, dan orang ramai mempunyai pekerjaan. Sememangnya, ini penyakit tahun 1930-an. Dari segi ini Keynesian adalah betul.
Sementara di zon euro yang masih terjebak dalam krisis, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua tahun 2012, merosot sebanyak 0.2 peratus; demikian juga Kesatuan Eropah. Hanya beberapa buah negara yang mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh ini, iaitu Sweden, Slovakia, Jerman, Austria, dan Belanda, manakala sifar peratus, terselamat daripada kemelesetan.
Prestasi Perancis bersama-sama Jerman yang mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus, ulas Bruce Crumely, lebih baik sedikit daripada yang dianggarkan. Meskipun kemelesetan zon euro tidak seburuk daripada yang dijangkakan, tinjauan ekonomi Eropah masih teruk.
Prestasi Perancis bersama-sama Jerman yang mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus, ulas Bruce Crumely, lebih baik sedikit daripada yang dianggarkan. Meskipun kemelesetan zon euro tidak seburuk daripada yang dijangkakan, tinjauan ekonomi Eropah masih teruk.
Kini, ditakuti bahawa kemelesetan ekonomi global melanda pasaran sedang muncul, seperti Brazil, Rusia, India, dan China (BRIC). Sementara China, menurut pemerhatian Gordon G. Chang, kehabisan wang untuk melaksanakan rangsangan.
Ekonomi yang lemah sekarang dijangkakan berlanjutan ke tahun hadapan, menurut laporan terbaharu kumpulan pemikir CEBR, baik di dunia maju mahupun pasaran sedang muncul.
Di tengah-tengah pertumbuhan global yang lemah (mungkin semakin lemah), krisis makanan dikhuatiri melanda semula, akibat kemarau di Amerika Syarikat yang menjejaskan tanaman jagung, yang dijangkakan memberikan kesan yang teruk terhadap dunia miskin. Selain itu, kenaikan harga makanan berkemungkinan menjejaskan pemulihan ekonomi, demikian dibayangkan oleh Michael Schuman.
No comments:
Post a Comment