Artikel Popular

Monday, August 6, 2012

Obama Menang Besar?

ISNIN, 6 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah melabelkan Mitt Romney bacul, Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast,  meledakkan bahawa  kemungkinan Barack Obama mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada November ini. 

Romney yang baru-baru ini lawatannya ke luar negara, berkesudahan dengan suatu "bencana," menurut pemerhatian Tomasky, hari demi hari menempuh laluan yang sukar. Hal ini benar kini  kerana beliau dijangkakan   gagal mencapai kemenangan di Pennsylvania.  Laluan Romney untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih adalah kurang.


Tomasky mengandaikan Pennsylvania yang dimenangi oleh Barack Obama sebanyak 10 titik peratusan pada tahun 2008, terus memihak kepada beliau, dengan alasannya kadar pengangguran di negeri 7.5 di bawah tahap nasional. Kini, di negeri itu, Obama mendahului lawannya, Romney dengan tujuh titik peratusan, dan beliau mendapat sokongan hampir 50 peratus.  Kemenangan di negeri itu amat penting kerana mempunyai 20 undi badan perwakilan, kelima terbesar, dan menyamai Illinois yang  merupakan kubu Obama. Jika Demokrat kalah di Pennsylvania, sama seperti Republikan kalah di Missouri (10 undi badan perwakilan) dan Arizona (11 undi badan perwakilan) - satu pertaruhan yang cukup besar.


Secara naratif, Tomasky meneruskan andaiannya pada malam pilihan raya apabila keputusan demi keputusan dimaklumkan, iaitu katakan menurut beliau, 10.45 masa pantai timur.  Ketika itu empat negeri pantai timur belum diketahui keputusannya: Ohio (18 undi), Virginia (13 undi), North Carolina (15 undi), dan Florida (29 undi).  Juga beberapa negeri di pantai barat, pusat pengundian belum lagi ditutup.  Katakan ketika ini, Romney mendahului Obama 188 berbanding dengan 182 undi badan perwakilan.  Dengan senario ini,  Obama diandaikan memenangi Iowa (enam undi), New Hampshire (empat undi), dan Michigan (16 undi).




Dengan Romney mendahului Obama enam undi, tetapi kegembiraan tidak lama kerana negeri di pantai barat, masih lagi di peringkat pengundian, keputusannya dijangkakan memihak kepada Obama: California (55 undi), Washington (12 undi), dan Oregon (tujuh undi).  Obama juga pasti menang di Hawaii (empat undi).  Dengan 78 undi itu, Obama berjaya mengumpulkan undi menjadi 260 undi.  Jika beliau menang di Nevada (enam undi) dan Colorado (sembilan undi), maka perlawanan tamat.


"Dengan kata lain," hujah Tomasky,  "Obama boleh kalah di empat negeri timur yang besar, iaitu Ohio, Virginia, North Carolina, dan Florida, beliau masih dipilih semula."


Tomasky merujuk carta yang dikemukakan oleh Nate Silver, penganalisis yang dirujuk secara meluas, melalui ruangnya FiveThirtyEight, yang menjangkakan Obama menang 300.6 undi badan perwakilan berbanding dengan Romney yang memperoleh 237.4 undi, meningkat 7.2 peratus.  Sementara peluang Obama untuk menang meningkat enam peratus kepada 72.4 peratus berbanding dengan Romney hanya 27.6 peratus. 


Melihat perkembangan itu,  maka Jonathan Chait merumuskan bahawa Obama "mempunyai yang baik."  Selain memetik Nate Silver, Chait memetik Zeke Miller dan McKay Coppins bahawa para penasihat terpaksa merancang semula.



Sebenarnya, banyak faktor yang tidak memihak kepada Romney yang membolehkan Obama meninggalkan beliau.  Bain Capital, seperti yang dibahaskan oleh Joe Klein, adalah penting, meskipun Romney dan kempennya cuba memperlekehnya. Usaha beliau untuk membuka medan pertarungan dasar luar yang Obama dikatakan mempunyai kelebihan, dikatakan gagal, bahkan lawatan beliau ke London, Israel, dan Poland lebih banyak membawa kerosakan.  Romney, menurut Fareed Zakaria, mempunyai pasukan penasihat dasar luar yang lemah, dan beliau juga tidak diberikan nasihat yang baik oleh penasihat ekonominya, seperti yang dibahaskan oleh Matthew O'Brien dalam The Atlantic


Sebaliknya, kempen Obama mempunyai pasukan yang mantap, antaranya pengurus kempen, Jim Messina dan timbalan pengurus, Stephanie Cutter, dan penasihat yang banyak menyumbang kemenangan Obama dalam pilihan raya lalu, iaitu David Axelrod, yang disifatkan oleh Paul Harris, sebagai "pejuang jalanan."


Rancangan cukai yang Romney cuba perkenalkan ditafsirkan lebih menguntungkan golongan kaya berbanding dengan golongan kelas menengah.  Hal ini memperkukuh lagi "modal" kempen Obama bahawa Romney ialah orang kaya yang tidak memahami denyut nadi rakyat. 


Keengganan Romney mendedahkan penyata cukai pendapatan peribadinya merupakan salah satu faktor beliau tidak diterima oleh para pengundi bebas.  Nampaknya, pihak Demokrat akan sentiasa memanaskan isu ini, yang kini turut dibangkitkan oleh Harry Reid, pemimpin majoriti Senat, daripada Demokrat.Reid diperhatikan tidak berasa kesal  menggasak Romney berhubung dengan keengganannya mendedahkan penyata cukai peribadinya itu yang juga menimbul keluh-kesah dalam kalangan Republikan.



Tinjauan pendapat oleh Pew Research Center menunjukkan bahawa Romney bergelut dengan imej peribadi negatif, yang merupakan pertimbangan penting sekurang-kurangnya dalam kalangan pengundi bebas.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...