Artikel Popular

Saturday, August 4, 2012

Jangan Bermain Air!

SABTU,  4 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika banjir, terutamanya kanak-kanak, mereka diperingatkan jangan bermain air.  Dari sudut yang lain, kerana pandai bermain di air, Michael Phelps memenangi sebanyak 17 pingat emas sepanjang penyertaannya dalam Sukan Olimpik.

Namun, bagi orang politik, seperti yang dinasihatkan oleh Sophie Quinton dan George E. Condon Jr. dalam National Journal, pada musim kempen, hati-hati dengan sukan air. Hal ini demikian kerana percutian aktiviti sukan ini boleh menjadi modal pihak lawan, seperti yang berlaku pada John Kerry dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2004. 

Dan, nampaknya nasib yang sama  menimpa Mitt Romney, bakal calon Presiden daripada Republikan yang baru-baru ini bercuti bersama-sama keluarganya  di kediamannya di Tasik Winnipesaukee apabila tersiar gambar beliau menunggang jet ski.  Kalau beliau menyatakan beliau ingin berehat, itu langkah bijak, tetapi jika beliau menyatakan beliau ingin berehat dengan menunggung jet ski, itu langkah bodoh.  

"Pihak lawan," iaitu Demokrat, tegas Sophie dan Condon, mereka menggambarkan Romney sebagai calon yang kaya-raya dan Obama sebagai calon yang memahami perjuangan golongan kelas menengah."

Bagi Romney, kekayaannya, menurut Margaret Carlson, "kekayaanya merupakan masalah," dan pastinya, penglibatannya dalam sukan air itu, merumitkan lagi masalah. Selain menunggang jet ski itu, kuda milik keluarga Romney yang bernama Rafalca yang kini menyertai Sukan Olimpik di London, dikatakan sebagai liabiliti.  Semua ini menambahkan lagi bagasi yang perlu beliau galas, tambahan pula,  beliau sendiri mempunyai jurang kredibiliti atau kebolehpercayaan dan banyak mempunyai kekuatan serta kecacatan


Mungkin bagi anggota atau penyokong Republikan, sukan air dan kuda itu perkara yang remeh, tetapi para pengundi bebas atau yang belum membuat keputusan, mereka memerhatikan segala-galanya itu.  Maka, tidak memeranjatkan apabila tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan bahawa mereka terang-terang menolak Romney.

Pendek kata, dalam politik, terutamanya pada musim pilihan raya, banyak pantang larangnya yang orang politik sepatutnya akur dan pastikan jangan sekali-kali terlanjur. Dalam konteks Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, suatu kebodohan untuk menumpukan hanya pada ekonomi, seperti pesan Alex Roarty

Bagi ahli politik Malaysia, terutamanya yang memegang jawatan dalam  kerajaan, harap mereka dapat membezakan yang mana rasmi dan yang mana peribadi.  Selain pandai menjaga diri sendiri kerana sentiasa diperhatikan oleh rakyat jelata, pastikan anda mampu menjaga "kabinet dapur" anda, jangan syok sangat ingin menonjolkan diri. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...