Artikel Popular

Wednesday, August 8, 2012

Kapitalisme yang Stabil dan Membina?

RABU, 8 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Perdana Menteri Najib Razak dalam catatan blognya, menegaskan  kapitalisme yang stabil dan membina, dengan pembaharuan ekonomi dan politik yang seiring akan terus membawa kejayaan kepada Malaysia.

Apabila beliau menyebut, "kapitalisme yang stabil," mungkin mendorong sesetengah orang untuk bertanya, "betulkah kapitalisme stabil?"  Meskipun lima  tahun berlalu, dunia masih belum lagi dapat bebas sepenuhnya daripada krisis kewangan, manakala  pertumbuhan ekonomi global masih lemah, bahkan sesetengah negara terjebak dalam kemelesetan curam berganda.    Krisis kewangan dan krisis ekonomi, sesungguhnya mendorong banyak orang untuk mengatakan kapitalisme dalam krisis, bahkan ada yang berani mengatakan bahawa kapitalisme kini di persimpangan.  Paling tidak,  kapitalisme pasaran bebas dicabar oleh kapitalisme negara.

Kapitalisme dalam krisis bukan sekadar menjadi liputan akhbar kiri, seperti The Guardian, bahkan media yang mendukung sistem itu, seperti Financial Times,  turut mengakuinya. Kapitalisme bukan sahaja dalam krisis atau adalah krisis, tetapi juga kapitalisme muflis - sedang mengalami nasib yang sama dengan sosialisme yang gagal.

Sudah pasti, ada yang meragui  kapitalisme dalam krisis, bahkan Clive Crook, menegaskan bahawa krisis kepimpinan dan bukannya krisis kapitalisme.

Kajian Pew Research Center baru-baru ini menyatakan kapitalisme kurang menjadi daya tarikan.   Hanya di 13 buah daripada 21 buah negara yang dikaji, separuh atau lebih responden bersetuju dengan kenyataan bahawa orang ramai hidup lebih baik dalam ekonomi pasaran bebas, meskipun wujud golongan kaya dan golongan miskin.  

Menurut kajian itu lagi, meskipun sokongan terhadap kapitalisme di Brazil, China, Jerman, dan Amerika Syarikat kuat, berbanding dengan Mexico dan Jepun, di sembilan daripada 16 buah negara yang data trend diambil sejak tahun 2007, iaitu sebelum krisis kewangan bermula, sokongan terhadap kapitalisme merosot, dengan kemerosotan besar di Italy dan Sepanyol.

Bagi orang ramai yang mengalami krisis ekonomi, menurut kajian itu lagi, mereka kurang menganggap bahawa  kehidupan yang lebih baik dalam kapitalisme.

Justeru, apabila Najib Razak memilih untuk bercakap tentang kapitalisme yang stabil dan membina, timbul sedikit keraguan, sama ada beliau melakukan penyeledikan ataupun sekadar "syok sendiri" untuk menjadi jaguh kapitalisme yang kini merupakan igauan ngeri untuk kebanyakan warga dunia.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...