Artikel Popular

Saturday, August 25, 2012

Maharani Tanpa Pakaian

SABTU, 25 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada  Jun lalu, pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, melawat Eropah, sesuatu lawatan yang bersejarah kerana dalam masa 24 tahun, inilah lawatan pertama luar negara beliau.  Bersempena lawatan itu, antaranya dia ke Geneva,  Oslo, kota yang dia dianugerahi Hadiah Nobel Keamanan  pada tahun 1991- ketika dia ditahan oleh junta, kemudian memenuhi undangan untuk berucap di Parlimen United Kingdom - undangan yang jarang-jarang diberikan kepada orang asing.

Sememangnya, dapat dibayangkan keterujaan Suu Kyi yang baru sahaja memenangi pilihan raya Parlimen Myanmar dan setelah ditahan sekian lama,  disambut besar-besaran di negara asing.  Pendek kata, lawatan itu amat bermakna untuk dirinya, dengan itu, dia pastinya memanfaatkannya sebaik-baik mungkin.

Dalam pada itu, ketika Suu Kyi  kelihatan begitu sibuk memenuhi pelbagai program  di Eropah, di negaranya sendiri, iaitu di Arakan,  tercetus persengketaan kaum antara orang Islam Rohingya dengan penganut agama Buddha.  Nyata bahawa dia tidak mempedulikan persengketaan itu seolah-olahnya membayangkan bahawa dia tidak mahu rangka lawatannya yang barangkali sudah lama dia nanti-nantikan itu terganggu.  Hannah Beech yang menulis dalam Time membandingkan kehebatan lawatan Suu Kyi di Eropah dengan keterukan yang berlaku di Myanmar.


Makalah Hannah itu saya poskan dalam Facebook pada 22 Jun, dengan sedikit catatan: "Di luar negara disambut permaidani merah. Di negara sendiri dibiarkan pertumpahan darah. Inikah jenis pemimpin demokratik yang menjadi kebanggaan Barat?"  


Jelas bahawa Suu Kyi boleh dikatakan  berdiam diri terhadap tragedi yang menimpa orang Rohingya, dan sikap dia ini, semakin lama semakin dapat dikesan, dan dia mula dikritik.  Bagi masyarakat antarabangsa, kekejaman terhadap orang Rohingya, mencerminkan bahawa Myanmar "baru" masih yang lama; "negara itu belum bersedia untuk pembaharuan," meskipun pemimpin prodemokrasi itu kelihatan sibuk ke sana ke mari.


Sikap berdiam diri Suu Kyi akhirnya mengundang padah; menteri kanan British berasa kecewa kerana kegagalan dia. Semasa  melawat Britain, William Hague, Setiausaha Luar United Kingdom, meminta dia memainkan peranan proaktif untuk mencari perdamaian antara puak yang bersengketa itu.  


Peter Popham yang menulis dalam The Daily Beast, membayangkan bahawa Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika Syarikat juga kecewa sikap Suu Kyi.  Kedua-duanya dijangkakan bertemu apabila Suu Kyi melawat Amerika pada bulan depan, dan jangan terperanjat jika Hillary berkata, "Saya sudah beritahu."  Dalam tulisannya sebelum ini, Popham membayangkan bahawa bagi kedua-dua pemimpin ini, "tempoh bulan madu sudah berakhir."


Saya tidak pasti mengapa saya sejak dahulu lagi mempunyai prasangka terhadap Suu Kyi, meskipun banyak orang, termasuk di Malaysia, mengagumi dirinya. Saya percaya bahawa "budak mata biru" Barat, jika  berkuasa belum tentu mampu mewujudkan keadilan, keamanan, dan kestabilan.  Mungkin juga kerana saya sedikit sebanyak terpengaruh dengan tulisan Robert D. Kaplan bahawa  golongan autokrat lebih baik daripada demokrat, meskipun tulisan beliau, lebih tertumpu di Timur Tengah.


Jelas bahawa Suu Kyi tidak sanggup kehilangan sokongan   orang Buddha yang merupakan penduduk majoriti Myanmar.  Justeru, beliau meletakkan pertaruhan yang besar, iaitu kekejaman terhadap orang Rohingya dan menggadai prinsip perjuangannya selama ini! 


Warga dunia tidak perlu menunggu lama untuk menilai siapakah sebenarnya pemimpin prodemokrasi ini.  Tuah dalam tragedi!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...