RABU, 13 April 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas berlakunya Peristiwa 11 September 2001, George W. Bush, Presiden Amerika ketika itu mendakwa bahawa beliau berjaya menyatukan warga dunia untuk menentang keganasan. Namun, antara komen atau ulasan yang popular berikutan tindakan beliau menyerang Iraq pada tahun 2003, ialah beliau berjaya menyatukan warga dunia untuk menentang beliau yang menyaksikan tunjuk perasaan di seluruh dunia.
Demikian juga dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menyaksikan kerjasama dua kumpulan yang tidak pernah “sebulu” sebelum ini, iaitu antara nasionalis bahasa dengan kumpulan pendidikan Cina. Sejak pelaksanaan PPSMI diumumkan pada tahun 2002, kedua-dua kumpulan ini, baik secara bersepakat mahupun berasingan, tidak pernah mengaku kalah dalam perjuangan mereka.
Dan, berikutan pengumuman “PPSMI May Return” oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, sekali lagi pejuang dan pencinta bahasa yang dilabelkan nasionalis bahasa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad - bersatu bangkit menentang PPSMI yang ingin “mendarat lembut.” Apa-apa pun label diberikan dan apa-apa pun tohmahan dilemparkan oleh Mahathir terhadap nasionalis bahasa, perjuangan mereka untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan tidak pernah luntur. Seandainya seseorang ingin melihat penentangan orang Melayu – iaitu nasionalis bahasa terhadap kepimpinan Melayu sejak zaman Mahathir hingga ke masa kini, adalah sesuatu yang berkait dengan pelaksanaan PPSMI.
Sesungguhnya, golongan ini mengambil langkah bijak menentang dasar yang diperkenalkan oleh Mahathir kerana banyak dasar dan tindakan beliau banyak membawa kerosakan daripada kebaikan, seperti yang berlaku dalam institusi kesultanan Melayu, badan kehakiman, dan sistem pendidikan. Apabila bekas Perdana Menteri ini menerbitkan A Doctor in The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, ada yang mengatakan, antaranya Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa penulis blog bahawa beliau bohong. Selain itu, kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir, terutamanya dalam bidang ekonomi dan politik telah didedahkan dan dibahaskan oleh Barry Wain dalam Malaysian Maverick: Mahahtir Mohamad in Turbulent Times.
Justeru, berdasarkan komen atau dakwaan yang dinyatakan di atas, para pejuang bahasa mempunyai alasan dan rasional yang kukuh untuk menolak dan menentang PPSMI yang diperkenalkan oleh Mahathir. Malangnya, sesetengah golongan yang mendakwa diri mereka menyedari atau mengakui pembohongan dan kepincangan ekonomi dan politik yang dinyatakan itu, masih dengan rela mendakap mesra PPSMI.
Sebelum PPSMI mencetuskan kehangatan semula, dalam blog ini saya pernah menulis beberapa makalah tentang bahasa, sains, dan matematik, seperti yang dapat dilihat dalam “Jendela Dunia: Bahasa, Sains, dan Matematik,” “Apabila Gergasi Bangun daripada Tidur,” “Yang Menghilang Yang Menjelma,” manakala dalam ruang pendidikan ialah “Celik Huruf Pembacaan, Matematik, dan Sains” yang merujuk kepada Program for International Student Assessment (PISA) 2009 Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang antaranya mendedahkan "para pelajar Amerika terbenam di tengah-tengah: tempat ke-17 dalam pembacaan, tempat ke-23 dalam sains, dan tempat ke-31 dalam matematik." Tidak kurang beberapa makalah saya dalam ruang pendapat.
Sementara dalam ruang politik, ialah “Kerana Bahasa Negara Binasa” yang mendedahkan pertikaian bahasa antara penutur bahasa Perancis dengan penutur bahasa Belanda di Belgium yang menyebabkan negara itu tidak mempunyai kerajaan. Hingga kini, krisis itu berlanjutan lebih 300 hari – mengatasi rekod Iraq yang juga pernah tidak mempunyai kerajaan. Majalah The Economist pada akhir Januari lalu mengemukakan persoalan “mengapa pertikaian bahasa yang tanpa kesudahan menjadi perkara penting kepada Eropah” - sesuatu yang wajar kita teladani akibat apabila bahasa gagal menyatupadukan rakyat. Jika pertikaian bahasa boleh berlaku di negara Eropah – tempat Kesatuan Eropah beribu pejabat, nescaya tidak mustahil jika negara kita turut terhumban ke dalam pertikaian seperti itu. Tidak dapat dipastikan sejauh mana media dan rakyat di negara kita memberikan perhatian apa yang berlaku di Belgium, meskipun pentadbirannya masih berfungsi seperti biasa.
Pada awal Januari lalu, seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal, di India berlangsung Jaipur Literature Festival yang turut dihadiri oleh para penulis terkenal, seperti Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, John Maxwell Coetzee dan novelis Ahdaf Soueif yang tinggal di antara London dengan Kaherah. Di festival itu pertembungan antara bahasa Inggeris dengan bahasa-bahasa yang ditutur di India turut dibahaskan. Coetzee, salah seorang ahli panel “Imperial English,” dilaporkan menegaskan, “Saya tidak boleh berkata saya berasa di tempat sendiri dalam bahasa Inggeris. Apabila saya menulis dalam bahasa Inggeris saya menulis dalam bahasa orang lain, dalam bahasa ibunda orang lain.” Meskipun semasa di rumah beliau banyak bertutur dalam bahasa Inggeris dan beliau terdidik di institusi bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi beliau tidak menganggap bahasa Inggeris itu bahasa ibundanya sendiri kerana dari segi budaya, beliau lebih rapat dengan bahasa Afrikaans, bahasa yang tutur dan terjemahkan secara aktif.
Adakah bahasa Inggeris terus menjadi bahasa global atau adakah akan digantikan oleh Mandarin? Dalam keluaran pertengahan Disember lalu, The Economist muncul dengan “The Future of English” yang mengulas buku Nicholas Ostler The Last Lingua Franca: English Until the Return of Babel. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Bahasa ini dituturkan di setiap benua, dipelajari sebagai bahasa kedua oleh murid-murid, dan merupakan alat sains, perniagaan global dan budaya popular. Banyak orang berfikir bahasa Inggeris akan tersebar tanpa kesudahan. Akan tetapi, memetik Ostler, sarjana kebangkitan dan kejatuhan bahasa, melakukan ramalan yang memeranjatkan dalam buku terbaharunya itu: hari-hari bahasa Inggeris sebagai lingua-franca dunia mungkin akan berakhir.
Ostler yang terlalu berminat terhadap penggunaan bahasa purba membahaskan bahawa bahasa Inggeris berkembang sebagai lingua-franca, tetapi bukan sebagai bahasa ibunda. Lebih satu billion orang bertutur dalam bahasa Inggeris di seluruh dunia, tetapi beliau mengingatkan, “hanya kira-kira330 juta orang daripada jumlah itu sebagai bahasa bahasa pertama, dan jumlah penutur ini tidak berkembang.” Masa hadapan bahasa Inggeris adalah dalam tangan negara di luar kumpulan penutur bahasa Inggeris, dan soal Ostler, “Adakah mereka selalu belajar bahasa Inggeris?”
Bagi beliau, dua faktor baru, iaitu nasionalisme moden, seperti yang berlaku di negara bekas tanah jajahan, dan teknologi menyekat penyebaran bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris akan pudar sebagai lingua-franca, hujah Ostler, “tetapi bukan kerana beberapa bahasa lain akan menggantikan bahasa ini.” Meskipun bahasa Inggeris tiada pengganti kerana tiada satu yang akan diperlu, tetapi teknologi akan memenuhi keperluan. Teknologi yang beliau maksudkan itu ialah kemajuan yang pesat dalam terjemahan berkomputer dan pengenalpastian pertuturan.
Ostler pasti betul, bahas The Economist tentang nasionalis yang membataskan penyebaran bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda. “Jika beliau betul tentang teknologi juga, generasi akan datang akan melihat bahasa Inggeris seperti sesuatu semacam seni khat atau Latin: bermartabat dan tradisional, tetapi semakin tidak diperlukan.”
Namun, John McWhorter yang menulis “English is Here to Stay” dalam Newsweek tetap mempertahankan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang tidak mungkin digantikan oleh Mandarin, meskipun China akan muncul sebagai pemimpin ekonomi dunia. Beliau menegaskan bahawa kemajuan dalam teknologi terjemahan tidak akan mengubah keadaan ini dengan menjadikan kurang penting untuk mempelajari bahasa kedua sama sekali, meskipun Nicholas Ostler menyatakan demikian dalam bukunya itu.
Tentang ketegasan pihak berkuasa di China melaksanakan dasar Mandarin di negara itu, termasuk di Hong Kong, ketegasan mereka demi mengelakkan bahasa mereka daripada dicemari oleh bahasa Inggeris, dan penyebaran Mandarin di peringkat antarabangsa telah saya sentuh dalam "Apabila Gergasi Bangun daripada Tidur."
Tentang ketegasan pihak berkuasa di China melaksanakan dasar Mandarin di negara itu, termasuk di Hong Kong, ketegasan mereka demi mengelakkan bahasa mereka daripada dicemari oleh bahasa Inggeris, dan penyebaran Mandarin di peringkat antarabangsa telah saya sentuh dalam "Apabila Gergasi Bangun daripada Tidur."
Dengan merujuk kepada akhbar dan majalah yang berwibawa di dunia, kita mendapat gambaran yang lebih jelas tentang dunia bahasa dan bahasa dunia. Dan, tidak perlu diulas lagi di sini. Jika nasionalis bahasa menyatakan pendirian mereka tentang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pastinya ada yang mendakwa mereka jumud dan tidak berpandangan dunia.
Saya sengaja menyimpan beberapa tulisan tentang bahasa yang diterbitkan dalam media arus perdana dunia kerana menjangkakan polemik bahasa dan PPSMI terus berpanjangan. Yang penting, mana-mana polemik perlu berdasarkan bukti dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan. Perlu diingatkan banyak laporan antarabangsa tentang sains dan matematik, bahkan tentang bahasa Inggeris itu sendiri tidak diketengahkan kepada masyarakat kita. Bahkan juga, Program for International Student Assessment (PISA) 2009 yang diterbitkan pada akhir tahun lalu tidak banyak diperkatakan, atau saya tidak menyedarinya.
Inilah masalah dalam masyarakat kita apabila Program Khidmat Negara (PLKN) baru-baru ini melaporkan bahawa lebih 600 pesertanya tidak dapat bercakap dalam bahasa Melayu, tidak banyak yang mempedulikan “tragedi” pelaksanaan dasar nasional sejak lebih 50 tahun merdeka. Sebaliknya, jika ada laporan yang mengatakan bahawa pelajar kita lemah bahasa Inggeris, maka gamat dan gegak-gempita mendesak kerajaan bertindak segera: kembali kepada PPSMI.
Assalamualaikum warahmatullah.
ReplyDelete600 orang peserta Program Khdmat Negara tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu. Baru hari ini saya mengetahuinya, tuan. Nampaknya, kenalah saya mencaari akhbar lama. Saya kongsikan pautan ini.
Wassalam.
11 September 2011 atau 2001?
ReplyDeleteMaaf, sebenarnya 2001. Terima kasih atas ketelitian dan kepekaan sdr.
Delete