Artikel Popular

Sunday, April 10, 2011

Pekerjaan, Kuasai Bahasa Inggeris: Suatu Pembohongan?

AHAD,  10  April 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Tan  Sri  Muhyiddin Yassin,  benar-benar membuka “tin berulat” apabila baru-baru ini beliau mengumumkan bahawa “PPSMI May Return.”  Akibat pengumuman itu, para pejuang dan pencinta bahasa menggasak dan mengasak Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dari segenap penjuru.  Sebagaimana bosnya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang “bengkak dan lebam muka”  akibat penayangan video seks lucah, demikian juga nasib yang menimpa Muhyiddin ekoran pengumuman itu: para pejuang dan pencinta bahasa tidak membiarkan beliau berdolak-dalik dengan sesuka hati. 
Oleh sebab Muhyiddin telah membuka gelanggang pertarungan, maka mereka kini  turun ke gelanggang untuk menyahut segala cabaran yang mendatang: bukan sahaja di gelanggang bahasa, bahkan gelanggang politik.  Pendek kata, Muhyiddin meneruskan hasrat untuk “mendarat lembut,” nescaya pertarungan tahun 2002 apabila  Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika mengumumkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI), berulang semula, bahkan dijangkakan lebih dahsyat.
Walaupun Muhyiddin mengumumkan pemansuhan PPSMI, tetapi suara yang mendesak supaya pelaksanaannya diteruskan tidak pernah padam dengan pelbagai alasan yang tidak tahu hujung pangkal: menguasai bahasa Inggeris; menguasai sains dan matematik.  Seperti yang pernah katakan dalam beberapa tulisan saya  sebelum ini,  PPSMI tidak ubah seperti senjata pemusnahan besar-besaran yang didakwa dimiliki oleh Sadam Hussein. 
Hari ini, Sunday Star muncul dengan muka depan, “English Works,”  ruang  fokus dengan “Minding Our Language,” dan ruang pandangan dengan “ National Interest Must Stay Paramount.”  Liputan luas akhbar ini terhadap keperluan penguasaan bahasa Inggeris dan penerusan pelaksanaan PPSMI memang tidak memeranjatkan kerana pengumuman Muhyiddin  boleh diibaratkan “orang mengantuk disurungkan bantal.”   Berita utama akhbar itu  menggunakan kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), iaitu MEF Salary Survey for  Executives 2010 yang menunjukkan bahawa 68 peratus syarikat yang dikaji menyatakan kemahiran komunikasi sebagai kualiti paling utama yang diperlukan dalam permohonan pekerjaan, diikuti oleh pengalaman kerja (67 peratus), kemahiran antara perorangan (56.2 peratus), dan keghairahan (passion) dan komitmen (55.7 peratus).
Liputan akhbar itu tidak perlu diperincikan di sini.   Jika wujud pengangguran, khususnya dalam kalangan siswazah di negara ini, faktor lemahnya penguasaan bahasa Inggeris sering digembar-gemburkan sehingga membayangi faktor-faktor lain, seperti dasar ekonomi. Tanpa menafikan perlunya rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa, selain bahasa kebangsaan, banyak perbahasan tentang perlunya penguasaan bahasa antarabangsa ini tidak pernah mengambil kira bahawa sejak awal tahun 1990-an lagi kerajaan membenarkan universiti awam menggunakan bahasa Inggeris untuk kursus sains dan teknologi.  Tidak kurang puluhan atau ratusan ribu  pula siswazah lepasan kolej atau universiti yang terdidik dalam bahasa Inggeris yang membanjiri pasaran pekerjaan. Dan, jangan lupa puluhan ribu siswazah lepasan luar negara yang kebanyakan terdidik dalam bahasa Inggeris.  Tiba-tiba apabila berlaku pengangguran  dalam kalangan mereka,  lagu yang sentiasa didendangkan ialah  lemah bahasa Inggeris. 
Seperti yang diketahui, akibat krisis ekonomi 2008-2009, negara berbahasa Inggeris, antaranya  Amerika Syarikat dan United Kingdom mengalami kadar pengangguran yang tinggi, data terbaharu menunjukkan lebih lapan peratus.  Pada tahun lalu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan  di seluruh dunia pada tahun 2009.  Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun, dan Eropah Barat.  Golongan penganggur meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala kadar pengangguran adalah lebih stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah.  Dalam laporan setebal 82 halaman yang disiarkan sempena hari perasmian World Economi Forum di Davos, menjangkakan pengangguran kekal tinggi sepanjang tahun 2010, dengan kemungkinan tambahan tiga juta orang lagi  di dunia kaya yang kehilangan pekerjaan mereka atau tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan.  ILO dalam laporannya itu memaklumkan bahawa  pengangguran dalam kalangan  belia meningkat lebih 10 juta orang dalam dua tahun lalu, terburuk sejak ILO mula menyusun statistik global pada tahun 1991.

Tatkala banyak negara dilanda  kadar pengangguran yang tinggi, tetapi setakat Jun 2010,  kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.7 peratus, meningkat sedikit jika dibandingkan dengan kadar tahun sebelumnya, iaitu 3.2 peratus.  Dari 1998 hingga 2010, kadar pengangguran purata ialah 3.43 peratus.  Secara keseluruhannya, kadar pengangguran di negara masih rendah jika dibandingkan dengan banyak negara lain. Apakah yang ingin dirumuskan daripada kadar pengangguran yang rendah secara relatifnya? Tepuk dada tanya selera, asalkan jangan berbohong dengan mendendangkan lagu basi bahawa  tenaga kerja di Malaysia lemah bahasa Inggeris.
Seterusnya, dalam “Minding Our Language” yang  ditulis oleh Hariati Azizan dan Lee Yen Mun, memetik pandangan bekas Menteri Sumber Manusia dan bekas profesor ekonomi Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Fong Chan Ong, yang menyatakan bahawa standard bahasa Inggeris merosot dengan ketara pada tahun 1990-an.  Tanpa meragui tempoh masa yang dinyatakan itu, tetapi perlu ditambah di sini bahawa pada masa itu juga, seperti yang pernah ditulis oleh Jim Erickson dan Assif Shameen, "Mounting Pressure" dalam  Asia Week (27 Mac 1998) - sebuah majalah yang telah ditutup, "ekonomi Malaysia tumbuh kukuh lapan peratus satu dekad.  Negara yang mempunyai penduduk 22 juta orang menikmati guna tenaga penuh."  Dalam bahasa mudah, penguasaan bahasa Inggeris lemah, tetapi  pada hakikatnya, tiada pengangguran.

Membaca kenyataan beliau itu yang menggunakan data dan fakta secara terpilih itu teringat saya makalah yang ditulis kolumnis Dewan Budaya, Shamsul Amri Baharuddin ketika saya bertugas sebagai Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka. Oleh sebab semua tulisan beliau dalam majalah itu telah dikumpulkan dan diterbitkan dalam Budaya yang Tercabar, maka tugas saya untuk mencarinya lebih senang. Merujuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat untuk satu dekad (1987-1997), Shamsul Amri menegaskan bahawa masalah besar kepada majikan dalam dan luar negara yang beroperasi di Malaysia ketika itu adalah untuk mencari pekerja yang berkelayakan, terutamanya yang berijazah.
“Sama ada siswazah ini lulusan sains atau bukan sains, tahu berbahasa Inggeris atau tidak, ketika pertumbuhan ekonomi baik dan persaingan untuk mendapatkan tenaga buruh sengit, soal-soal itu tidak timbul atau ditimbulkan,” tulis Shamsul Amri yang kini bergelar profesor cemerlang (kalau tidak silap). Tambah beliau, “namun, apabila ekonomi merosot dan mereka tidak mampu melatih siswazah mentah daripada pelbagai bidang, dan bilangan siswazah yang memerlukan pekerjaan semakin meningkat, para majikan mula mengenakan syarat.”
Dengan kata lain, pekerjaan bergantung pada hukum ekonomi yang asas yang patut diketahui oleh kebanyakan orang, tetapi banyak ahli ekonomi di Malaysia pura-pura lupa, iaitu permintaan dan penawaran  tenaga kerja.  Jika kekosongan  ialah 10 jawatan, sedangkan yang memohon 50 orang, pastinya banyak  yang tersingkir, betapa bagusnya kelulusan mereka, betapa bagusnya penguasaan bahasa mereka, termasuk bahasa Inggeris.
Justeru, kepada para pemimpin, penggubal dasar,  ahli ekonomi, dan cerdik pandai yang lain, tolong hentikan pembohongan demi pembohongan anda setiap kali berlaku penggangguran dan apa-apa sahaja keburukan di negara ini.  Berikan gambaran yang sebenar dan kenal pastikan hubungan sebab-musabab dan bukan sekadar mereka-reka bahawa lemah penguasaan bahasa Inggeris. Kalau anda ingin memperkenalkan dasar bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan,   pentadbiran, dan perundangan, sila nyatakan, jangan berdolak-dalik  supaya senang kita bercakap satu bahasa, iaitu bahasa berterus terang.   
Lebih daripada itu, khusus untuk pemimpin, supaya kami pejuang dan pencinta bahasa Melayu khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, dapat melihat pekung anda yang semakin membesar, membusuk, dan menjijikkan:   nyatakan pendirian dan penegasan anda tentang bahasa Melayu.  Tentukan medan pertarungan supaya kita boleh bermain hasil tambah sifar!




2 comments:

  1. ianya bukan suatu pembohongan tapi realiti. bagi sesiapa yg pernah bekerja dalam dunia korporat khususnya, pasti tau kemahiran berkomunikasi dlam bahasa inggeris amat penting. rata2 penyertaan bumuptra dlm bidang ini jauh terkebelakang berbanding dgn bangsa india atau cina. pernah suatu ketika , kerajaan terpaksa campurtangan dgn mengadakan program latihan sambil kerja utk bumiputra dpt pendedahan dlam syarikat swasta. saya dapati kebanyakan peserta2 melayu ini mempunyai keputusan yg baik dlm pelajaran mereka dan prestasi kerja pun baik, cuma yg slacknya kebolehan bertutur dlm bahasa inggeris yg lemah mencacatkan persembahan keseluruhan prestasi kerja. imej syarikat itu penting terutama syarikat2 besar yg bertaraf antarabangsa. fikir2kan la.

    ReplyDelete
  2. Tidak rugi jika mahir dalam pelbagai bahasa malah merupakan 'bonus' bagi majikan mempunyai pekerja yg boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

    Bahasa inggeris tak dinafikan bahasa utama yg diguna pakai di peringkat antarabangsa. Menguasai bahasa ini tidak bermakna memperlekehkan bahasa sendiri tetapi cuba lihat sebagai medium utk kita mengusai cabang ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang keran kita harus terima hakikat bahawa ianya adalah bahasa ilmu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...