Artikel Popular

Friday, August 10, 2012

Pemetaan Bahasa

JUMAAT, 10 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris di negara kita, dalam usahanya untuk mendaulatkan bahasa Inggeris, memperkenalkan indeks kecekapan bahasa Inggeris untuk menunjukkan hubung kait kecekapan menggunakan bahasa itu dengan negara berpendapatan tinggi.  Maka, disumbatkannya negara yang terbabit dan dinyatakan tahap  kecekapan  bahasa Inggeris rakyat di setiap negeri berkenaan, termasuk Malaysia. 

Setakat yang saya tahu,  negara berpendapatan rendah, sederhana, dan  tinggi diperkenalkan oleh Bank Dunia, tetapi saya tidak dapat memastikan bahawa dalam pengkategorian setiap negara itu, bahasa Inggeris merupakan salah satu faktor atau pemboleh ubah.  Memang menjadi fiil pejuang bahasa Inggeris di negara kita, seberapa boleh cuba mengaitkan kemajuan sesebuah negara asing dengan penggunaan bahasa Inggeris. 

Demikian juga indeks yang diperkenalkan oleh akhbar berkenaan dengan "menggelapkan" data sejarah.  Maksudnya, adakah bahasa Inggeris digunakan di negara berkenaan sebelum atau selepas negara itu berkembang maju. Sekadar menyenaraikan negara tertentu dan menyatakan tahap kecekapan bahasa Inggeris, sememangnya mengelirukan, bahkan tidak saintifik sama sekali.

Tidak dapat dipastikan ketepatan indeks yang dikemukakan itu kerana, dalam Kesatuan Eropah, menurut Eurostat, seperti yang dipetik oleh Edoardo Campanella, hanya 18 peratus penduduk berumur antara 18 hingga 34 tahun menganggap diri mereka mahir bahasa lain (biasanya bahasa Inggeris), dan peratusan ini jatuh dengan dramatik mengikut umur.

Perlu dinyatakan di sini, sumbangan  dasar bahasa terhadap kemiskinan dan ketidaksamaan  di beberapa negara tertentu dibincangkan baru-baru ini. "Dengan menggunakan bahasa Eropah sebagai bahasa rasmi sebagai asas pendidikan dan kerajaan, negara berkenaan memperkukuh kedudukan golongan elit dalam kuasa, dan mengurangkan keupayaan penduduk am untuk memperoleh ilmu pengetahuan."  Hujah Seth Kaplan yang tulisannya  juga diterbitkan dalam Project Syndicate.

Namun, yang pastinya lebih menarik ialah kedudukan bahasa Inggeris di kubu kuatnya sendiri, iaitu Amerika Syarikat. Dalam  "Pemetaan bahasa: Kemahiran bahasa Inggeris yang terbatas (LEP),  National Journal, menunjukkan peratusan penduduk metro dengan kemahiran bahasa Inggeris yang terbatas.  Yang tertinggi ialah di McAllen, Texas, iaitu 34 peratus daripada jumlah penduduk di kawasan itu.  Tempat lain yang tinggi, iaitu empat kawasan daripada lima kawasan metro, ialah di Virginia Barat.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...