Artikel Popular

Thursday, August 9, 2012

Negeri Berayun: Obama Mendahului Romney

KHAMIS, 9 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Penjawat kini, Presiden Barack Obama, seperti yang dimaklumkan oleh tinjauan pendapat terbaharu, mendahului lawannya, Mitt Romney di dua buah negeri medan pertempuran.    Di Virginia,  Obama memperoleh 49 peratus dan 51 peratus di Wisconsin, manakala Romney memperoleh 45 peratus untuk setiap  negeri itu.  

Walau bagaimanapun, tinjauan oleh Quinnipiac University/New York Times/CBS News itu menyatakana bahawa di Colorado, Romney mendahului Obama dengan 50 peratus berbanding dengan 45 peratus.  Calon Presiden melancarkan kempen besar-besaran di negeri berayun kritikal, termasuk Colorado, Ohio, Pennsylvania, Virginia, dan Wisconsin. 

Sebelum ini, tinjauan pendapat oleh pihak yang sama, menunjukkan Obama mendahului Romney di  Florida, Ohio, dan Pennsylvania.  Sejak tahun 1960, kemenangan di dua buah daripada tiga buah negeri itu akan memastikan kemaraan calon Presiden ke Rumah Putih. 

Ronald Brownstein yang mengulas tinjauan pendapat  di enam buah negeri berayun itu,  menegaskan bahawa pembahagian dalam pola yang konsisten yang begitu  lazim dari tahun 2008, bahkan daripada pilihan raya sejak tahun 1992.

Tidak ada lagi negeri berayun, Obama setakat ini, menurut RealClearPolitics, mendahului Romney dengan 332 berbanding  206 badan perwakilan pemilih.  Untuk negeri berayun, POLITICO, menjangkakan Obama memperoleh 115 badan perwakilan pemilih, iaitu memenangi semua negeri berkenaan, kecuali North Carolina, dimenangi oleh Romney, dengan 15 badan perwakilan pemilih.  Namun, dengan perkembangan terbaru itu,  iaitu Colorado, memihak kepada Romney, bermakna Obama kehilangan sembilan badan perwakilan pemilih.

Harry J Enten baru-baru ini, membahaskan "berapa dalam Obama mendahului lawannya di negeri medan pertempuran itu."  Hal ini demikian kerana pilihan raya akan berlangsung kira-kira tiga bulan lagi, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Melampaui negeri berayun, Romney masih belum diterima di peringkat nasional.  Sementara itu,  Tinjauan pendapat terbaharu oleh Reuters/Ipsos, menunjukkan bahawa di peringkat nasional, Obama semakin menjauhkan jaraknya, aitu 49 peratus berbanding dengan 42 peratus untuk Romney.  Pastinya, hasil tinjauan ini tidak memeranjatkan kerana selain terus bergelut dengan Bain Capital dan penyata cukai pendapatan peribadi,  yang mencetuskan perdebatan, Romney juga menunjukkan kebodohannya, dan dianggap bacul.

Cadangan cukai yang Romney cuba perkenalkan, dilabelkan oleh Obama, "Romney Hood," iaitu berlawanan dengan "Robin Hood" - beliau dianggap merancang untuk menaikkan cukai terhadap golongan kelas menengah.  "Pelan cukai Romney," isytihar Robert J. Samuelson, "tidak membawa makna," dan seolah-olahnya "hadiah" beliau kepada Barack Obama.  Samuelson membayangkan bahawa melihat tingkah-laku kempen, seakan-akan wujud musuh dalam selimut dalam kempen Romney.

Antara Obama dengan Romney, seperti yang dibahaskan oleh Ezra Klein, wujud jurang dasar. "Obama memperkenalkan dasar, sedangkan Romney tidak."  Sebenarnya, dalam pertarungan  musim panas, memetik Robert Schrum. "Romney kalah.  Penyata cukai pendapatan, kebodohan di seberang laut, dan banyak lagi."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...