Artikel Popular

Friday, August 10, 2012

Obama Mendahului Romney Tujuh Titik Peratusan

JUMAAT, 10 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Presiden Barack Obama, menurut  tinjauan pendapat terbaharu, terus memperkukuh kedudukannya,  melebarkan jarak daripada pencabarnya, Mitt Romney. Tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh CNN/ORC International,  menujukkan bahawa Obama mendahului Romney dengan tujuh titik peratusan: 52 peratus berbanding dengan 45 peratus.

Meskipun penarafan penerimaan terhadap Romney boleh dikatakan kekal (47 peratus berbanding dengan 48 peratus Julai), penarafan penolakan terhadap beliau pula meningkat daripada 42 peratus kepada 48 peratus sekarang.  Imej negatif Romney yang dilancarkan oleh kempen Obama yang sebelum ini diragui keberkesanannya oleh sesetengah pihak, nampaknya betul-betul menjadi.  Pada bulan Mei, hanya 40 peratus pengundi bebas mempunyai pandangan negatif terhadap beliau, tetapi kini, meningkat kepada 52 pengundi bebas.

Dapatan tinjauan pendapat ini konsisten dengan tinjauan pendapat oleh Fox News yang juga menunjukkan Obama semakin meninggalkan Romney untuk perlumbaan ke Rumah Putih.  Jika pilihan raya diadakan pada hari ini, menurut tinjauan itu, Presiden Obama mendapat 49 peratus undi berbanding Romney 40 peratus.  Pada bulan lalu, Obama mendahului Romney empat titik peratusan, iaitu 45 peratus berbanding dengan 41 peratus.

Jelas bahawa dalam perlawanan antara politik tanpa belas kasihan Obama pengurusan tanpa belas kasihan Romney, membuahkan hasil untuk penjawat kini berbanding dengan pencabarnya. Dengan pilihan raya kurang dari tiga bulan, Romney belum dapat  melebarkan petanya. Selain itu, kedegilan Romney mendedahkan penyata cukai pendapatannya, sememangnya meragut kepopularannya, yang pastinya tidak akan dibiarkan pergi begitu sahaja oleh kempen Obama hingga November ini.  (Setakat ini, Romney hanya mendedahkan untuk tahun 2010, dan berjanji untuk tahun 2011.)

Sepanjang musim panas ini, Mitt Romney kelihatan serba tidak kena.  Beliau nampaknya  hari demi hari terjebak dalam jaring kempen yang semakin huduh. Imej negatif beliau semakin menebal, antaranya beliau dituduh berdusta. Beliau juga kelihatan kehilangan perisai untuk mempertahankan dirinya daripada serangan bertalu-talu  kempen Obama. Orang harapannya, seperti Andrea Saul dalam usahanya untuk menyelamatkan kempen buruk super PAC, pro-Obama, iaitu Priorities USA Action, yang mendakwa bahawa Romney secara tidak langsung menyebabkan kematian Ranae Soptic, terpaksa mengetengahkan "Romneycare."  Apabila dibangkitkan pelan penjagaan kesihatan, nescaya Republikan naik berang kerana mereka cukup fobia: menentang penjagaan kesihatan yang diperkenalkan oleh Obama "hingga tujuh keturunan."

Sesetengah pihak menjangkakan Romney akan memperkukuh kedudukannya selepas konvensyen Republikan akhir bulan ini dan selepas mengumumkan regunya, iaitu calon Naib Presiden.  Namun, dikhuatiri ketika itu, beliau terlalu lemah dan tidak akan bangkit selama-lamanya. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...