Artikel Popular

Wednesday, August 15, 2012

Pengumpulan Modal Pemusnahan Demokrasi

RABU, 15 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah Robert D. Kaplan dalam The National Interest tentang benua yang sedang bergolak akibat krisis ekonomi, iaitu Eropah, menyusul Amartya Sen dalam The New Republic juga tentang benua tersebut. Kaplan melihat Eropah dari segi sejarah yang panjang, iaitu peta Eropah  yang berpecah,  manakala Amartya walaupun menyentuh sejarah masa lalu,  lebih menjurus kepada Eropah masa kini yang demokrasinya kian terancam dan terhakis.

Setelah Eropah berjaya mencipta satu demi satu kejayaan, seperti pembentukan Kesatuan Eropah, penyatuan semula Jerman, perluasan demokrasi ke Eropah Timur, penyatuan dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan nasional dan negara kebajikan, dan perundangan dan penguatkuasaan beberapa hak asasi manusia, Eropah kini, soal  Amartya, di mana silapnya?

Untuk menjawab persoalan itu, Amartya, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, membahagikan analisisnya  kepada tiga perkara yang luas, iaitu cabaran terhadap perpaduan Eropah, keperluan demokrasi, dan tuntutan dasar ekonomi yang mantap. Masalah yang diwujudkan dalam zon euro dengan melaksanakan integrasi kewangan adn kesatuan monetari tanpa kewujudan sokongan terlebih dahulu tentang kesatuan politik dan kesatuan fiskal, menurut beliau, jauh melampaui ekonomi yang tidak diingini ke dalam kesusahan sosial dari segi hubungan antara orang ramai di negara yang berbeza dengan kekayaan yang berbeza dalam zon euro, dan memperkasa politik pelampau jenis yang Eropah dijangkakan untuk meninggalkannya. 

Seterusnya, Amartya Sen menyentuh sisi gelap demokrasi di Eropah berikutan beberapa dasar yang dipilih oleh pemimpin kewangan dan kuasa ekonomi Eropah pastinya tersalah masa, kalaupun tidak betul-betul kesilapan.  Bahkan jika keputusan dasar yang diambil olah pakar kewangan adalah benar-benar betul dan tepat dari segi masa, persoalan penting proses demokratik masih kekal.  Desimasi sesuatu yang asas, seperti perkhidmatan awam yang merupakan tonggak penting negara kebajikan Eropah, tegas beliau, tidak sesuai diserahkan kepada pertimbangan satu hala banker pusat dan pakar kewangan, tanpa taakulan awam dan persetujuan orang ramai yang berpengetahuan di negara yang terlibat.

"Memang betul bahawa sesungguhnya, institusi kewangan terlalu penting demi kejayaan dan kegagalan ekonomi, tetapi jika pandangan mereka perlu mempunyai kesahan demokratik, dan 
tidak bermaksud peraturan teknokratik, maka mereka tertakluk kepada proses perbincangan dan pujukan awam yang berkembang, melibatkan hujah, dan saling berhujah balas."

Beliau juga membangkikatn apa yang berlaku di Eropah sekarang, iaitu pelaksanaan langkah jimat-cermat yang tidak sesuai dengan masanya, yang bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah ekonomi, bahkan juga bukan cara yang baik untuk mengurangkan defisit. Pakej dasar yang dituntut oleh kepimpinan kewangan Eropah di sebalik segala retoriknya, adalah antipertumbuhan yang teruk.  Pertumbuhan ekonomi zon euro dilemahkan secara dramatik, dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah merosot dan bukannya berkembang.

Sebenarnya, dalam makalahnya itu, Amartya Sen ingin menegaskan bahawa banker-banker Eropah memusnahkan demokrasi di benua itu.

Merentas Atlantik, juga dalam The New Republic ialah makalah Marc Tracy tentang pembabitan raja kasino, Sheldon Adelson dalam Pilihan Raya  Amerika Syarikat  tahun ini.  Adelson, seperti yang diketahui umum telah menyumbang dan berjanji menyumbang AS$70 juta kepada Republikan demi memastikan terutamanya, Presiden Barack Obama tersingkir dari Rumah Putih. Bagi Tracy, tidak seorang pun sepatutnya mempunyai semua kuasa, seperti Adelson.   

Adelson kini  disiasat oleh pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat di Las Vegas kerana disyaki terlibat dalam penggubahan wang, seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal

Tracy yang kelihatan berhati-hati demi mengelakkan kemungkinan dirinya disaman, tidak menyalahkan  Adelson, yang tidak melanggar mana-mana undang-undang dengan menghulurkan derma.  Sebaliknya, Tracy menyalahkan Mitt Romney yang membenarkan penyumbang yang terlalu besar  untuk gagal, bahkan terhadap kumpulan yang kononnya beliau tidak ada kuasa untuk kawal.

Kemunculan super PAC untuk pertama kali dalam pilihan raya tahun, menyaksikan kehadiran wang gelap yang disumbangkan oleh kelab hartawan. Dalam kalangan super PAC itu, Restore Our Future, pro-Romney yang paling menonjol kerana memperoleh sumbangan besar, iaitu setakat ini AS$82 juta.  Tidak kurang wang asing yang dipercayai meresapi pilihan raya tahun ini, seperti yang didedahkan oleh Andy Kroll

Sesungguhnya,  puak kapitalis dengan segala kekayaan mereka, merosakkan demokrasi di Eropah dan Amerika Syarikat, lalu tidak memeranjatkan apabila Spiegel Online International, menegaskan bahawa  tadbir urus yang baik wujud di negara, seperti Brazil, bukan lagi di Eropah dan Amerika Syarikat. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...