Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Malaysia, seperti yang dilaporkan, mencatatkan 5.4 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK untuk suku kedua tahun 2012, berbanding dengan 4.9 peratus (disemak semula daripada 4.7 peratus) pada suku pertama. Pertumbuhan ini mengatasi jangkaan ahli ekonomi yang menjangkakan 4.6 peratus, adalah hasil peningkatan pelaburan dan penggunaan, yang mampu mengimbangi eksport yang lemah.
Penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus dari tahun lalu, manakala penggunaan awam meningkat 9.4 peratus. Kedua-duanya, iaitu pelaburan awam dan swasta meningkat dalam suku kedua, iaitu masing-masingnya 28.9 peratus dan 24.6 peratus.
Pastinya, kadar pertumbuhan Malaysia yang terbaharu ini memberangsangkan kerana dicapai ketika pertumbuhan global masih lemah dan sebilangan besar negara terjebak dalam kemelesetan. Zon euro dan Kesatuan Eropah, seperti yang dinyatakan sebelum ini, merosot 0.2 peratus untuk suku kedua tahun ini. Jerman hanya mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus, manakala Amerika Syarikat 1.5 peratus. Sementara China yang kadar pertumbuhannya mula perlahan, mencatatkan 7.6 peratus, manakala United Kingdom, merosot 0.7 peratus untuk suku kedua tahun 2012. Dalam tempoh yang sama, Jepun salah sebuah ekonomi terbesar dunia mencatatkan 0.3 peratus.
Dalam kalangan negara jiran Malaysia, misalnya Singapura mencatatkan pertumbuhan dua peratus 2.0 peratus pada suku kedua tahun ini, dan Indonesia mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi, iaitu 6.37 peratus.
Tatkala dunia masih bergelut dengan pemulihan ekonomi yang lemah dan krisis zon euro berlarutan lebih dua tahun, maka harapan diberikan terhadap pasaran sedang muncul yang diterajui oleh China untuk memacu pertumbuhan global. Selain itu, perhatian diberikan terhadap Brazil dan negara lain Amerika Latin yang dilaporkan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik.
Namun, R.A. yang menulis dalam The Economist seakan-akan membayangkan zaman keajaiban pertumbuhan di pasaran sedang muncul sampai ke penghujungnya, meskipun Tabung Kewangan Antarabangsa masih meletakkan harapan untuk beberapa tahun akan datang. R.A. juga merujuk tulisan Dani Rodrik yang menegaskan bahawa "tidak ada lagi keajaiban pertumbuhan" untuk mencetuskan polemik.
No comments:
Post a Comment