JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Ketika bersantai di lobi Green Park Hotels & Resorts, Istanbul pertengahan Mei lalu (2010), saya
tertarik dengan berita akhbar Hurriyet
Daily News & Economic Review:
“Turkey May Help Greece Trim Budget Gap.” Bak kata, “persahabatan teruji semasa
kesusahan” seakan-akan memperlihatkan Turki ingin membantu Greece yang sedang
bergelut dengan krisis hutang dan benar-benar di ambang muflis.
Ketakutan terhadap Turki mendorong Greece menjadi negara
dalam Kesatuan Eropah (EU) yang terbesar dari segi perbelanjaan ketenteraan
sebagai bahagian ekonomi pada dekad lalu. Perdana Menteri Turki, Recep
Tayyip Erdoğan yang mengadakan lawatan
ke Athens juga mahu memotong
perbelanjaan ketenteraan. Dengan potongan yang sama daripada musuh strategik,
Turki akan membantu Greece melakukan pengurangan dalam perbelanjaan ketenteraan
sebagai jaminan terhadap pinjaman berjumlah AS$139 bilion yang diberikan oleh
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan Greece
daripada membayar balik hutangnya.
Menurut akhbar
itu lagi, Greece membelanjakan AS$63
bilion untuk ketenteraan pada dekad lalu, dengan belanjawan meningkat setiap
tahun sejak tahun 2003 kerana tentera menambah jet pejuang, kapal selam, dan
kereta kebal. Perbelanjaan itu
sebahagian besar adalah tujuan pertahanan menentang Turki. Kedua-dua negara
anggota NATO ini hampir-hampir terbabit dalam peperangan berhubung hak wilayah
terhadap Aegean pada 1996, dan meskipun hubungan semakin baik, juruterbang
mereka masih lagi terbabit dalam pertempuran kapal terbang pejuang
olok-olok di perairan
masing-masing. “Turki dan Greece
merupakan rakan, bukannya pesaing,” dan “kami mungkin bersama-sama memutuskan
untuk mengurangkan peruntukan pertahanan dalam belanjawan masing-masing,” kata Egemen Bağış, Menteri
Turki untuk rundingan keanggotaan EU.
Beberapa
hari sebelum itu Greece menyatakan rasa ragu-ragu tentang urusan peluncutan
senjata dengan Turki, dan berkata perbincangan akan dilakukan “beransur-ansur.”
Timbalan Menteri Pertahanan Greece, Panos Beglitis dipetik
sebagai berkata, “Kami juga mahu pengurangan senjata, tetapi tidak boleh
ditentukan pada tahap komunikasi ala propaganda. Potongan dalam persenjataan selesai dalam
satu perjalanan yang panjang dan sukar, bukannya satu permulaan.” Beliau juga menuduh Turki “tidak konsisten”
kerana negara itu menyeru untuk pelucutan senjata, tetapi meneruskan tuntutan
kedaulatan yang dipertikaikan oleh Greece.
Walau
apa-apa pun keraguan Greece, ini tidak mematahkan hasrat Turki untuk membuka
lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua negara. Semasa di Athens, Erdoğan mencadangkan Turki dan Greece berkongsi rancangan penerbangan di
dalam ruang udara Aegean. Beliau memberitahu para editor akhbar Greece,
“Saya percaya 2010 akan mengukir sejarah.
Dua negara kita menunjukkan keazaman politik bukan hanya sekadar jiran,
tetapi juga sebagai rakan kongsi.”
Beliau mengalu-alukan pembentukan majlis Greece-Turki sebagai bukti
perkongsian dua negara. Kedua-dua kerajaan
bersetuju untuk menubuhkan majlis yang mengadakan pertemuan secara tetap antara
pemimpin dua negara dan menteri Kabinet mereka, dan menandatangani pakatan tentang ekonomi, imigresen, tenaga, dan isu
lain.
Daya usaha Turki di peringkat
serantau itu kurang mendapat perhatian
dunia jika dibandingkan kerjasama
nuklear dengan Iran yang menyebabkan Washington melenting. Sebaik-baik sahaja Turki berurusan dengan
Greece, pasangan diplomatik Turki dan
Brazil menempa perjanjian dengan Iran tentang perdagangan uranium dalam usaha
untuk meredakan kegelisahan dalam kalangan kuasa Barat dan memperkukuhkan
dakwaan Tehran bahawa program nuklear adalah untuk tujuan keamanan. Jika Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan respons yang positif, Ankara tidak lama
lagi mendapati dirinya pada kedudukan untuk memutuskan siapakah yang bermain
mengikut peraturan.
Dalam peristiwa yang cukup
bererti yang berlangsung di Tehran yang dihadiri oleh Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden
Iran, Mahmoud Ahmadinejad, dan Perdana
Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan, tentang urusan pertukaran uranium Iran yang
dipelopori oleh Turki dan Brazil. Dengan
usaha itu, Ankara menjadi pusat tumpuan kerana dunia tertanya-tanya adakah Ankara boleh menjadi pengadil yang saksama
antara Iran dengan Barat. Perisytiharan
tiga pihak ini merupakan sebahagian proses perdamaian antara Iran dengan P5+1
(lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan Jerman) dalam peristiwa respons
daripada kuasa dunia.
Menurut analisis jelas bahawa Turki dan Brazil – dua
anggota bukan tetap Majlis Keselamatan -
bercita-cita menyakinkan Presiden Ahmadinejad bahawa endgame sudah hampir dan
jika Iran tidak bekerjasama, maka tidak banyak negara sahabat yang dapat
melakukannya. Jelas bahawa Ankara
semakin tidak sabar kerana pada pihak Iran nampaknya tidak memberikan respons,
meskipun semua usaha Turki adalah pada pihak Tehran. Kerajaan Turki dikatakan beria-ia
menyelasaikan masalah nuklear Iran,
selain kepentingan ekonomi dengan Iran
dan ingin menyekat keadaan menjadi konflik, Turki dengan mencari penyelesaian
diplomatik, mahu mengelak daripada
terpaksa membuat pilihan antara jiran Islam dengan rakan kongsi Barat. Turki
dikatakan perlu mengambil daya usaha ini demi kepentingan masa depannya dalam
arena global kerana negara itu kini menganggotai
Majlis Keselamatan. Jika Turki mengundi menentang atau berkecuali terhadap
sekatan ke atas Iran, nescaya putus hubungannya dengan rakan kongsi Barat,
khususnya dengan Amerika Syarikat, mungkin menimbulkan akibat yang serius.
Faruk Loğoğlu, bekas duta Turki
ke Amerika Syarikat, melalui makalah
“The Gamble Over Iran” yang diterbitkan dalam akhbar Hurriyet
Daily News & Economic Review, menulis bahawa motif yang mendorong Turki mungkin hasrat untuk
memperlihatkan kuasanya yang baru ditemui dengan menunjukkan arah dasar luar
yang bebas dengan rakan kongsi daripada luar komuniti Eropah-Atlantik. “Hal ini juga sebagai sebahagian persoalan solidariti
Islam untuk kepimpinan Turki. Para
pemerhati luar mengalu-alukan usaha Turki-Brazil itu sebagai tanda akan
datangnya kemunculan keseimbangan baru dalam persamaan kuasa global. Mereka mengatakan Amerika dan Eropah di utara
tidak lagi keseorangan dalam mengendalikan hal ehwal dunia, dan kini wujud
paksi kuasa baru ke selatan yang diwakili oleh negara, seperti China, India,
Turki, dan Brazil.”
Walaupun seseorang itu tidak
sepatutnya menyalahkan Turki dan Brazil
untuk mencuba, namun beliau mengingatkan
bahawa Turki mengambil risiko yang sangat besar. “Jika Iran mungkir janji, kemungkinannya
terlalu besar,” tulis Faruk Loğoğlu, “Turki mungkin terpaksa membayar harga
yang tinggi. Hubungannya dengan Amerika
dan EU akan terjejas. Daya usahanya pada
masa depan tentang isu serantau dan global akan mendapat kurang
kebolehpercayaan dan keyakinan. Hubungan
Turki-Iran akan goyang.”
Hasil diplomatic coup itu juga memperlihatkan
kejayaan kepada Brazil, dan jelas menunjukkan bahawa Turki akan bekerjasama
dengan Brazil dan negara lain pada masa hadapan dalam mencuba untuk
menyelesaikan kebuntuan yang ketara dalam pertikaian antarbangsa. Namun begitu, banyak perbualan di Barat kini
tentang “Turki dan Brazil ditipu oleh Iran.”
Bahkan, di Turki jelas wujud kepercayaan bahawa sesungguhnya, beberapa
“penipuan” terlibat. Lebih daripada itu,
meledak kemarahan di Washington, London, dan Paris (semua
anggota tetap Majlis Keselamatan)
terhadap daya usaha Turki-Brazil itu.
Kedua-dua negara itu dikatakan
melakukan kesilapan yang sama yang dilakukan oleh Amerika dan rakan-rakannya
memanjangkan isu Iran. Kesilapannya
ialah unilateralisme. Turki dan Brazil
percaya bahawa mereka boleh melakukannya sendiri. Menyedari bahawa kedua-duanya, iaitu sekatan
dan usaha oleh pihak ketiga tidak mampu menyelesaikan dilema, usaha EU tidak
berguna, dan percubaan lain juga gagal, memang diragui bahawa susah payah
Turki-Brazil ini akan mencapai kejayaan.
Tatkala murka Washington
terhadap Turki dan Brazil belum lagi reda, tiba-tiba berlaku peristiwa serangan
komando Israel terhadap kapal Mavi Marmara. Serangan yang mengorbankan sembilan nyawa dan
berpuluh-puluh orang cedera dikutuk oleh warga dunia, benar-benar mendorong Turki ke “tengah pentas.” Meskipun pihak Israel mereka-reka pelbagai alasan untuk menghalalkan
tindakan kejam itu, tetapi dunia antarbangsa tidak mempercayainya: akibat yang tidak diduga daripada
kekejamannya. Bahkan, tindakan itu
mendorong akhbar Israel, Haaretz
mengisytiharkan “flotila Gaza mengemudi
Israel ke dalam lautan kebodohan.”
Ketika Israel terpaksa bertungkus-lumus mengawal kerosakan,
sedangkan kutukan dunia datang bertalu-talu, Turki turut mendapat perhatian
dunia. Perhatian ini bukan sahaja kerana
Mavi Marmara belayar dengan bendera
Turki dan lapan orang daripada sembilan orang aktivis yang terkorban ialah
rakyatnya, tetapi juga kerana pendirian kerasnya terhadap Israel, antaranya memanggil pulang dutanya ke negara itu. Ketegangan yang memuncak dalam hubungan Turki
dengan Israel dikatakan mencapai tahap yang jarang-jarang berlaku.
Penglibatan yang mendalam Turki
di Timur Tengah merupakan pemangkin yang
sangat penting untuk perubahan. Meskipun
hal ini bukannya sesuatu yang baru sama sekali kerana Turki pernah tidak
membenarkan Amerika menggunakan wilayahnya untuk menyerang Iraq pada 2003, tetapi penglibatan Turki kini di
rantau itu perlu diberikan perhatian.
Selepas peranan penting Turki bersama-sama Brazil dalam mempelopori
urusan nuklear dengan Iran dan reaksi keras Erdoğan terhadap serangan kapal Turki itu, dipercayai pewujudan dasar
luar Amerika kini terpaksa mengakui
bahawa sesuatu yang penting sedang berlaku.
Dapat dikesan bahawa sejak
akhir-akhir ini Turki yang semakin yakin dengan kedudukannya bukan sahaja
menolak permintaan Amerika untuk menggunakan wilayah negara itu untuk
menceroboh Iraq, bahkan mendesak kerusi Majlis Keselamatan PBB diberikan
kepadanya. Selain itu, Turki berusaha
menjadi orang tengah antara Syria dengan Israel, dan mencuba menjalinkan
perseikatan dengan Iraq dan Iran. Lebih
daripada itu, Turki dikatakan menggunakan kedudukannya sebagai sekutu ketenteraan
Israel yang paling rapat di dunia Islam
untuk melemparkan kritikan yang tajam terhadap negara Yahudi dan tidak kurang
pentingnya pencerobohan terhadap Gaza.
Sedangkan Israel mengambil mudah tentang hubungannya dengan Turki,
bahkan sebagai anggota NATO, Turki mencuba untuk memperlihatkan kepimpinannya
yang kian ketara di dunia Islam dan sebagai jambatan antara Timur dengan
Barat. Meskipun pengaruh Turki di pentas
dunia semakin meningkat, dan Amerika sendiri menyedari hakikat ini, namun
Israel tidak dapat merasainya.
Dengan menyerang flotila Gaza,
Israel membuka gelanggang pertarungan
dengan Turki, lebih berbahaya daripada Hamas.
Pernah menjadi sekutu penting Israel di rantau itu, Turki kini mencuba
untuk mencabar hegemoni Israel sebagai kuasa besar tempatan, seperti yang
diperlihatkan oleh Erdoğan: “Kita tidak
akan membiarkan Israel menolak kita ke sana sini.” Dijangkakan
Turki dan Iran kini memberikan cabaran strategik sebenar terhadap Israel. Pemimpin
Turki, Erdoğan yang dianggap masih setia kepada bapa pengasas Turki,
Mustafa Kemal Atartuk yang membina negara sekular, sejak lama dilihat sebagai jambatan penting antara Timur dengan Barat. Namun begitu, dengan peristiwa terbaru, Erdoğan seakan-akan mengubah sejarah tentang dasar Turki yang
condong ke Barat dan berusaha membentuk peranan
sebagai pemimpin di dunia Islam.
Akibat serangan itu, Israel
terlepas peluang untuk berbaik-baik dengan Turki, pemain utama dalam usaha
mengenakan sekatan terhadap Iran.
Kerosakan diplomatik yang paling jelas terhadap Amerika dan Israel
akibat serangan pada hari Isnin itu ialah semakin luasnya keretakan dengan
Turki, sekutu yang paling penting di dunia Islam untuk kedua-dua negara
itu. Ankara sejak awal-awal lagi
mengeluarkan amaran bahawa hubungan yang rosak antara Turki dengan Israel tidak boleh dipulihkan lagi. Turki yang meluat dengan penolakan
Pentadbiran Obama terhadap usaha negara itu mempelopori tolak ansur nuklear
dengan Iran, melalui Menteri Luarnya, Ahmet
Davutoglu, terang-terang menyatakan rasa kesal akan respons Pentadbiran Obama terhadap serangan flotila
Gaza.
Naib
Presiden Amerika, Joe Biden dalam mempertahankan tindakan Israel itu,
sesungguhnya silap apabila beliau berkata, “Oleh itu, apakah yang hendak
dihairankan di sini?” Seandainya beliau membaca sekurang-kurangnya ulasan Thomas L.
Friedman melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times, kemungkinannya
beliau tidak akan bersikap “memejam mata” seolah-olahnya “tidak ada apa-apa
yang rosak.” Dalam makalah “When Friends
Fall Out” pada 1 Jun, Friedman menulis,
“sebagai kawan kepada kedua-dua negara, iaitu Turki dan Israel, sememangnya
menyeksakan apabila melihat pertempuran yang membawa bencana antara komando
tentera laut Israel dengan aktivis ‘kemanusiaan’ flotila. Secara peribadi, saya fikir, kedua-duanya,
Israel dan Turki berkeadaan tidak seimbang akhir-akhir ini, dan sememangnya
tugas Amerika untuk membantu memulihkan keadaan ini dengan segera.”
Dengan berbaur emosi Friedman menambah, “saya pernah menegaskan
jika EU tidak menerima keanggotaan Turki, kita sepatutnya mempelawa Turki untuk
menyertai NAFTA. Mengapa? Kerana saya fikir hal ini adalah penting sama
ada Turki ialah jambatan ataupun longkang antara Barat Yahudi-Kristian dengan
Arab dan Timur Muslim. Peranan Turki
dari segi menyeimbangkan dan mentafsirkan Timur dan Barat merupakan pokok
persoalan yang kritikal yang membantu memastikan dunia stabil.”
Pada hari itu juga Mark
Lander menulis dalam akhbar yang sama bahawa dalam bergelut untuk membendung perpecahan yang getir antara dua sekutu yang
penting, Pentadbiran Obama mencuba
menenangkan kerajaan Turki yang naik
radang, tetapi enggan mengutuk Israel kerana serangannya yang menyebabkan
kematian itu. Dalam makalah “After
Israel Raids Flotilla, U.S. is Torn Between Allies” Lander berhujah bahawa perselisihan
yang mendalam antara Israel dengan Turki, yang pernah memupuk hubungan rapat,
meletakkan Pentadbiran Obama dalam keadaan sukar berhubung dengan dua isu dasar
luarnya yang paling mendesak: Timur Tengah dan Iran. “Amerika tidak mahu meninggalkan Israel yang
menjadi sasaran kecaman antarabangsa, tetapi juga tidak mahu merenggangkan
Turki yang peranannya semakin lantang di pentas antarabangsa.”
Amerika sepatutnya risau kerana pemenang utama dalam pertembungan antara
keangkuhan Israel dengan ketegasan Turki
ialah Iran. Amerika boleh terus-menerus
merestui kekejaman Israel mungkin sehingga ke peringkat mengorbankan Turki. Amerika mungkin sanggup membayar
harga yang tinggi, tetapi yang
menikmati laba ialah Iran. Sebelum ini, berikutan pendudukan Amerika terlalu lama di Iraq, maka
hasilnya Iran mempunyai lebih banyak pengaruh di negara itu
jika dibandingkan dengan Amerika. Iran juga sedang
memperluaskan pengaruhnya ke Afghanistan.
Bagi Amerika, Israel semakin
menjadi liabiliti, dan kini berhadapan dengan risiko kehilangan aset pentingnya, iaitu Turki. Sesungguhnya, Amerika dan Israel lebih memerlukan Turki dan
bukan sebaliknya. Amerika (juga Israel) kehilangan
sekutu pentingnya, iaitu Iran sejak
lebih 30 tahun lalu, dan kesengsaraan akibat kehilangan itu terus dirasai hingga kini. Apakah Amerika sanggup kehilangan Turki pula semata-mata
kerana kerja tidak senonoh kerajaan Israel yang melakukan pertempuran berdarah
untuk mengenakan kepungan Gaza?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Ogos 2010, "Turki di Pentas Dunia.")