Artikel Popular

Tuesday, December 6, 2011

Asia di Tepi Lurah Risiko

RABU,  7 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lebih  sebulan lalu, editor Dewan Ekonomi, Junaidah Ahmad Ghazali menghubungi saya meminta saya menulis sorotan ekonomi dunia 2011 untuk keluaran tahun baru majalah berkenaan.  Kami  menyentuh  krisis zon euro yang banyak memenuhi perbincangan di sana sini.  Lalu beliau menanyakan saya berhubung dengan beberapa pendapat bahawa Malaysia dan negara  Asia lain tidak terjejas akibat krisis tersebut kerana rantau ini mempunyai pengalaman daripada krisis kewangan 1997-1998.  

Jawapan saya adalah mudah: dalam dunia yang saling berhubung  ini, segala-galanya  merebak dengan pantas.  Bahkan, krisis ekonomi di negara kecil sekalipun, seperti yang berlaku di Dubai dan kemudian Greece,  cukup untuk mengharu-birukan pasaran global.  

Sejak sekian kali kita diberitahu dan diberikan jaminan oleh pemimpin dan pakar ekonomi negara kita bahawa Malaysia terselamat daripada  krisis zon euro, biarpun krisis itu semakin hari semakin teruk.  Bermacam-macam alasan yang dikemukakan, antaranya kononnya  ekonomi Malaysia tidak banyak bergantung pada zon yang dilanda krisis itu.  Pastinya, pandangan seperti kedengaran aneh kerana amaran demi amaran dikeluarkan: jika  zon euro runtuh, dunia turut dilanda  malapetaka, dan demikian juga Amerika Syarikat.  

Malam tadi, berehat sambil menonton saluran televisyen Bloomberg, menunggu kemunculan anchorwoman, Margaret Brennan, lazimnya sebaik sahaja loceng pembukaan Bursa Saham New York dibunyikan, tiba-tiba saya terpandang rerayap bahawa menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) ekonomi Asia berhadapan dengan risiko yang "lebih besar" akibat kemerosotan global.

Laporan Asia Economic  Monitor yang dipetik mengingatkan  bahawa kemungkinan kemelesetan di Amerika Syarikat dan Eropah dan ancaman nyahstabil aliran modal akan mengheret Asia ke lurah risiko yang dinyatakan itu.  Cabaran paling besar untuk penggubal dasar di negara Asia Timur yang sedang muncul adalah untuk melindungi pertumbuhan daripada satu lagi ancaman krisis ekonomi global.  Ketidakpastian terhadap ekonomi dunia bermakna para pegawai di rantau ini mesti mempunyai "kebolehubahan yang cukup" untuk menyelaraskan dasar dengan segera.  

"Tinjauan optimistik yang berhati-hati untuk Asia Timur yang sedang muncul  bergantung pada risko bahagian bawah yang lebih besar sekarang berbanding dengan beberapa bulan lalu," kata ADB.  "Pemulihan ekonomi global boleh terkial-kial jika zon euro dan Amerika Syarikat terjebak semula ke dalam kemelesetan, menyebabkan satu lagi krisis kewangan global.  Aliran modal yang besar dan nyahstabil boleh merumitkan  pengurusan makroekonomi rantau ini dan mengancam pertumbuhan."

Sediakan payung sebelum hujan. Hindarkan keasyikan  dengan  psikologi penafian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...