Artikel Popular

Saturday, April 23, 2011

Al-Jazeera Alat Imperialis?


SABTU,  23 April 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Kira-kira setahun sebelum meletusnya Pemberontakan Arab kedua, Robert D. Kaplan, penulis yang terkenal dan prolifik,  menyatakan  sanjungan beliau terhadap  al-Jazeera yang mengamalkan fahaman antarabangsa, iaitu pesta terang-benderang, liputan yang inovatif dari semua benua. Dalam Why I Love al-Jazeera,” beliau  menulis banyak kelebihan saluran satelit  tersebut  jika dibandingkan dengan CNN dan BBC. “Hakikatnya bahawa Doha, ibu negara Qatar, “bukannya ibu pejabat kuasa besar membebaskan al-Jazeera untuk memberikan tumpuan yang seimbang ternadap empat penjuru Bumi ini, tetapi sebaliknya terhadap hanya tempat yang berbahaya mana-mana kuasa empayar atau kepentingan pascaempayar.”  Dan al-Jazeera, tambah beliau, “lebih menyoroti orang ramai yang kaya dengan bukti kelayakan, tetapi kurang bercakap.”  Kaplan juga menegaskan bahawa kerana saluran itu merembeskan kesibukan, “secara konstan skup, mempunyai kecekalan, terlibat secara langsung dalam membuat liputan merentasi Timur Tengah yang besar, dari Gaza ke Beirut ke Iraq, yang tidak dapat ditandingi oleh saluran lain.” 
Meskipun liputan al-Jazeera tidak meluas di Amerika Syarikat, hanya melalui Web dan beberapa stesen satelit dan saluran kabel tempatan,  namun koresponden nasional The Atlantic ini menegaskan bahawa saluran satelit  berkenaan juga “cemerlang dari segi  membuka minda anda.  Menonton al-Jazeera adalah sama dengan secara tidak langsung terlibat dalam jenis perbualan yang pernah saya lakukan.” 
Namun, beliau mengakui bahawa al-Jazeera mempunyai beberapa prasangka yang terang-terangan dalam membuat liputan pertikaian Israel-Palestin misalnya, saluran satelit  ini menyebelahi Palestin.  Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan BBC atau CNN, al-Jazeera dapat dimaafkan kerana prasangkanya itu.  Tambah Kaplan, “malangnya, BBC dan CNN tidak banyak mempunyai sudut pandangan yang berbeza daripada al-Jazeera kerana pandangan falsafah yang sama yang disampaikan secara lebih lemah dan membosankan."
Kaplan mengakhiri penulisannya dengan mengatakan bahawa beliau akan terus menonton al-Jazeera di mana-mana jua jika berkesempatan kerana beliau dapati saluran satelit  ini terlalu memegunkan jika dibandingkan dengan saluran berita yang lain. “Jika  politik saya yang merangkak ditinggalkan sebagai hasil, bahawa akan banyak lagi bukti bagaimana bahayanya pengaruh al-Jazeera.”
Pastinya, dalam pujian yang melangit terhadap al-Jazeera itu, Robert Kaplan tidak menjangkakan bahawa saluran satelit  itu memainkan peranan yang cukup penting dalam Pemberontakan Arab kedua: dari Tunisia ke Mesir, ke Libya dan Yaman, dan hampir seluruh dunia Arab. Jauh sekali untuk beliau membayangkan penyebaran demokrasi  di rantau itu kerana  beliau selalunya tidak selesa dengan usaha seperti itu.  Sebaliknya, beliau lebih yakin bahawa demi kestabilan dan kepentingan Amerika dan   Israel,  golongan  aristokrat dan bukannya demokrat yang selalunya  boleh diharapkan. Beliau mengingatkan bahaya rasa sangat gembira terhadap ketibaan demokrasi di Timur Tengah kerana bagi beliau rantau itu bukan bumi yang subur untuk demokrasi.
Sebelum ini,   makalahnya dalam The New York Times yang ditulis  sebaik-baik sahaja Presiden  Zine Abidine Ben Ali ditumbangkan dan diharapkan Revolusi Melati mekar dan harum seluruh dunia Arab, dengan merujuk kes Iraq, Kaplan mengingatkan “selalunya, diktator yang paling buruk, keadaan kucar-kacir yang paling buruk selepas dia ditumbangkan.”  Meskipun banyak perbandingan antara   antara Tunisia 2011 dengan Eropah 1989, tetapi bagi beliau,  idea bahawa kedatangan demokrasi di Timur Tengah tidak banyak membawa gangguan seperti yang berlaku di Eropah Timur berikutan runtuhnya Komunismme kelihatan naïf.
Sejak bertahun-tahun,  banyak orang Amerika percaya bahawa al-Jazeera sebagai lidah rasmi pengganas.  Namun, berikutan liputannya tentang pemberontakan popular di Tunisia dan Mesir, saluran satelit  tersebut  dinobatkan sebagai pembabad muktamad. Sementara Rejim  Ben Ali menyalahkan tunjuk perasaan terhadap orang asing dan penghasut, antaranya al-Jazeera, tetapi rakyat yang bangkit itu tidak mengendahkannya  Di Mesir pula, ibu pejabat saluran satelit  itu ditutup, wartawannya ditahan seketika, kelengkapannya dirampas, salurannya  disekat, tetapi al-Jazeera masih  cekap dalam membuat liputan yang diambil dari dekat tentang situasi di jalan-jalan. Amerika Syarikat memberikan respons segera terhadap penahanan itu, dengan Jabatan Negara mendesak mereka dibebaskan.  “Kami prihatin terhadap penutupan al-Jazeera di Mesir dan penangkapan korespondennya,” kata jurucakap Jabatan itu, PJ Crowley.  “Mesir mesti terbuka dan pemberita itu mesti dibebaskan.”
Meskipun dapat diperoleh melalui kabel hanya di  Ohio, Burlington, Vermont, dan   Washington,  DC - dengan itu, hanya sebilangan kecil rakyat negara itu berpeluang menontonnya, tetapi saluran satelit tersebut menemui khalayak baru dalam talian dan  trafik laman Webnya meningkat dua puluh kali ganda.  Jika tidak kerana al-Jazeera, banyak revolusi Mesir yang didedahkan tidak mendapat liputan televisyen. 
“Washington Embraces al-Jazeera” demikian tulis Jeremy Scahill,  “Rumah Putih Obama memantau dengan penuh khusyuk liputan saluran satelit itu tentang pemberontakan Mesir.”  Saluran itu telah pun terkenal di seluruh dunia, kini disebut-sebut oleh isi rumah di Amerika Syarikat.  Beribu-ribu orang Amerika yang kebanyakannya kemungkinan tidak pernah menontonnya sebelum ini, livestreaming al-Jazeera melalui Internet dan melalui telefon mereka.
Pendek kata, al-Jazeera menjadi kesayangan Washington khususnya dan rakyat Amerika amnya.  Al-Jazeera menjadi sangat diperlukan oleh rakyat Amerika, meskipun wujud saluran satelit lain, berpuluh-puluh majalah dan tidak kurang juga akhbar.  Walaupun wujud perbezaan yang besar antara al-Jazeera seberang laut dengan al-Jazeera bahasa Inggeris, tetapi kedua-dua jelas dari segi cerita dan sebagaimana Jabatan Negara,  rakyat Amerika terlalu bergantung pada saluran satelit berkenaan. 
Bagi orang ramai yang mengikuti sejarah al-Jazeera dengan Amerika Syarikat, tulis Scahill, “hakikat bahawa saluran satelit ini kini ditanggapi oleh Rumah Putih dan orang awam Amerika sebagai kuasa demokrasi dan kebebasan adalah ironic, sesetengah berkata perkembangan hipokrik.” 
Berikutan pengharaman al-Jazeera di negara itu, maka rakyat Amerika didapati terlepas peluang untuk menonton revolusi di dunia Arab.  Telah pun terkenal di Timur Tengah kerana menyiarkan berita kedua-dua belah pihak, al-Jazeera memutuskan tidak bertolak ansur terhadap standard keprofesionalannya. “Kami tidak boleh melupakan realiti manusia  yang terbabit dalam peperangan itu,” kata Wadah Khanfar, Ketua Pengarah al-Jazeera yang menulis dalam Daily Beast.  Untuk cerita Mesir, orang ramai di seluruh dunia menonton al-Jazeera, seperti yang mereka banyak kali sebelum ini kerana mereka mahukan pemberitaan yang tidak ditapis, profesional, dan lurus.  “Kami unik kerana pemberita kami memahami struktur sosial, politik, dan sejarah masyarakat yang mereka liputi.  Mereka bercakap bahasa masyarakat berkenaan.  Mereka mengetahui muka bumi.  Hal ini membuatkan berita kami berbeza dan menjadikan kewartawanan mendalam.”
Abderrahim Foukara, Ketua Biro Washington untuk al-Jazeera saluran Arab semasa bercakap dengan majalah Time menyatakan alasan mengapa Amerika Syarikat memerlukan saluran satelit itu. “Saya fikir liputan kami tentang Mesir adalah penting dalam menunjukkan kepada orang ramai bahawa wujud cerita tertentu yang perlu unuk keamanan dan kestabilan dunia yang memerlukan akses kepada saluran, seperti al-Jazeera.
Walaupun diakui peranan Twitter,  Facebook, dan WikiLeaks dalam  Pemberontakan Arab kedua, seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, namun seperti yang dibahaskan oleh Alexander Cockburn, peranan al-Jazeera lebih signifikan.  Berjuta-juta  penduduk Arab tidak boleh ciak (tweet).  Facebook tidak lazim bagi mereka.  Akan tetapi, mereka semua menonton televisyen, yang bermakna mereka menonton al-Jazeera.  “Dalam membandingkan signifikan al-Jazeera dalam merangsangkan penduduk Arab untuk turun ke dataran utama di bandar dan mengadakan tunjuk perasaan, Twitter dan Facebook adalah seperti dua sengkenit di  punggung kerbau.” Tidak ada orang selain Setiausaha Negara itu sendiri, iaitu Hillary Clinton, akhirnya  mengalungkan penghargaan yang berlebih-lebihan kepada al-Jazeera, isytihar Cockburn pada awal Mac lalu. Hillary sukarela dengan segera bahawa Amerika adalah dalam “perang maklumat dan kita kalah dalam peperangan ini,” dan seterusnya, “al-Jazeera menang.”
Hillary memberitahu Jawatankuasa Hubungan Luar Senat bahawa rangkaian berita Amerika Syarikat ditewaskan oleh al-Jazeera, iaitu saluran satelit ini lebih  terkenal di Amerika kerana menawarkan “berita benar,”  sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh media negaranya.  Salah satu alasannya, tegas beliau, kualiti saluran, seperti al-Jazeera, iaitu saluran menurut beliau, “mengubah minda dan sikap orang ramai.”  Suka atau tidak suka, cara ini benar-benar berkesan.  Saluran berita Amerika, tegas beliau, ketinggalan.  “Jumlah penonton al-Jazeera di Amerika meningkat kerana berita benarnya.”  Pastinya, sanjungan Hillary terhadap saluran satelit oleh sesetengah pengamal media di negara itu, antara alasannya bahawa Setiausaha Negara mempertahankan “propaganda senjata Timur Tengah dan puak ekstremis Islam.”  Kritikan puak sayap Kanan hiperbolik sedemikian itu betul-betul tanpa merit.  Al-Jazeera hanya melakukan kesalahan adalah kerana menawarkan liputan kritikal dan termasuk perspektif yang tidak didengar dalam media Amerika arus perdana.
Namun, Tariq Ali dalam Libya is Another Case of Selective Vigilantism by the West” meskipun tidak membahaskannya secara terperinci menyatakan keraguannya terhadap al-Jazeera yang menurut beliau, membuat liputan pemberontakan popular secara terpilih. Di Bahrain misalnya, campur tangan Arab Saudi yang melakukan kekejaman dan penangkapan rakyat di negara itu tidak mendapat liputan saluran satelit ini. “Saya tertanya-tanya mengapa?  Stesen televisyen ini seakan-akan dikawal benar-benar dan dibawa ke garisan bersama-sama politik pendananya.”
Tatkala sanjungan demi sanjugan diberikan terhadap al-Jazeera, kerana liputan yang menguja tentang pemberontakan di Tunisia dan Mesir,  MRZine menerbitkan dua tulisan yang mengkritik saluran satelit itu.    Yoshie Furuhashi dapat mengesan bahawa liputan al-Jazeera tentang Pemberontakan Arab mula terjejas apabila revolusioner yang tercetus mula mara ke negara-negara Teluk.  Al-Jazeera dikatakan tidak menyokong penentangan rakyat Bahrain, sebaliknya saluran satelit itu melancarkan propaganda di Libya yang sedemikian rupa yang meletakkan orang ramai pada risiko.  Adakah al-Jazeera untuk revolusi… atau revolusi balas? Tanya Furuhasihi yang membangkitkan kebimbangan tentang apakah empayar, dibantu oleh media massa, mungkin cuba lakukan di Libya.
Tulisan yang lebih kritis terhadap al-Jazeera datangnya daripada Sukant Chandan yang terang-terang menuduh tanpa saluran satelit itu, “Empayar tidak boleh mengebom Libya.”  Chandan dalam  “Al-Jazeera: An Island of Pro-Empire Intrigue”  cuba menarik perhatian bagaimana saluran satelit yang menjadi musuh Amerika tiba-tiba menjadi kesayangan negara itu:  “Macam mana ‘rangkaian keganasan’ seperti yang dianggap sebelum ini akhirnya menjadi propagandis perang media untuk satu lagi perang Barat terhadap negara kecil di Selatan Global, iaitu Libya?  Meskipun beliau belum mempunyai jawapannya, al-Jazeera bahasa Inggeris mula memperlihatkan sifat berpura-pura “setiap sudut, setiap bahagian” ketika membuat laporan dari Dataran Tahrir.  Meskipun berjuta-juta menonton pertarungan di Tahrir dengan al-Jazeera bahasa  memainkan peranan agit-prop dalam perjuangan itu, dua bidang yang saling berkaitan yang pemberitaan al-Jazeera diragui. Pertama, hanya sebilangan kecil tamu, penganalisis, dan pembentuk pendapatnya, yang pergi melampaui agenda liberal. “Al-Jazeera bahasa  Inggeris memastikan tidak ada analisis antiimperialis radikal di stesennya.” 
Kedua, tegas Chandan, pemberitaan dari Tahrir adalah lebih menarik jika kita mempunyai peluang untuk membandingkan al-Jazeera bahasa Inggeris dengan Press TV bahasa Inggeris Iran, yang kedua-duanya berada di tempat yang sama,  pada masa yang sama, di tengah-tengah orang yang sama.  Al-Jazeera bahasa Inggeris menapis hanya mengenai semua slogan dan sentimen antiimperialis dan pro-Palestin/anti-Zionis massa di Tahrir, sedangkan Press TV menyerlahkan suara ini dari Tahrir, suara yang lantang dan cukup besar dari segi bilangannya.  “Satu perkara adalah pasti, meskipun perubahan situasi di rantau itu, Barat, terutamanya Amerika Syarikat mahu memastikan pemberontakan di Tunisia dan Mesir tidak akan berubah menjadi antiimperialis, dan al-Jazeera bahasa Inggeris merupakan bahagian penting dalam memastikan perjuangan ini dalam sempadan yang ditetapkan oleh Barat.”
Tambah Chandan, “bagaimanapun, tentang pemberitaan Libya dan negara-negara Teluk apabila al-Jazeera mendedahkan agenda sama sekali, yang banyak berbentuk negara-negara Teluk reaksionari dan agenda pro-Barat.
Benarkah al-Jazeera yang disanjung kerana sumbangannya dalam mencetuskan Pemberontakan Arab kedua adalah sebenarnya bersekongkol dengan Barat, terutamanya  imperialis  Amerika?  Meskipun setakat ini belum dapat dipastikan kebenaran dakwaan tersebut, namun banyak orang mula dapat menghidu agenda saluran satelit ini dalam pergolakan dunia Arab sekarang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...