Artikel Popular

Wednesday, December 7, 2011

Turun Gred, Kini Zon Euro Menjadi Sasaran

KHAMIS, 8  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala masa kian suntuk bagi zon euro dan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan daripada berkecai,  Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy merangka pelan penyelamat, iaitu memperkenalkan perjanjian Kesatuan Eropah yang baru yang secara automatik mendenda negara yang menggunakan mata wang euro jika mereka melanggar had kewujudan terhadap perbelanjaan berlebihan.  Rancangan pemimpin Jerman dan Perancis itu  dikatakan berjaya meredakan pasaran seketika.   Sementara bagi Angela Merkel, yang banyak pihak meragui komitmennya untuk mengeluarkan zon euro daripada krisis, namun seperti yang dibahaskan oleh Katinka Barysch, mempunyai rancangan untuk mengatasi krisis euro -  meredakan keraguan terhadap beliau selama ini.

Walau bagaimanapun, berita gembira itu tidak dapat mekar lama kerana Perdana Menteri British, David Cameron mengancam untuk menggunakan veto jika perjanjian Kesatuan Eropah  gagal melindungi Kota London.  Yang lebih mengejutkan lagi, tawar-menawar besar yang dipelopori oleh Jerman dan Perancis untuk menyelamatkan euro dan memulihkan keyakinan  terhadap  mata wang tunggal itu terpaksa menghadapi cabaran pertama, apabila 15 buah negara zon  diberikan amaran oleh Standard & Poor's (S&P) bahawa penarafan kredit mereka boleh diturunkan gred. Perancis dan Jerman juga tidak terkecuali.

S&P mengkaji penarafan kredit 15 buah daripada 17 buah negara zon euro, dan berjanji untuk merumuskan kajian itu dengan seberapa cepat yang mungkin selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah pada minggu ini.  Fokus pasaran banyak tertumpu pada enam buah negara yang diberikan penarafan tertinggi, terutamanya Jerman, yang status AAA yang tidak difikirkan dalam keraguan sebelum Isnin malam. 

Dengan amaran itu, S&P sekali lagi dilihat terjebak dalam proses politik, betul-betul sebelum para pemimpin Eropah bersedia untuk berjumpa di sidang kemuncak yang bertujuan menamatkan krisis hutang kedaulatan yang melanda benua itu.  Agensi penarafan yang pernah dikritik oleh Warren Buffet pada Ogos lalu selepas menurunkan gred Amerika Syarikat berhubung dengan kebuntuan kerajaan, mengkaji Jerman, Perancis, dan 13 buah negara lain di zon euro, berkata, "pertikaian yang berterusan dalam kalangan penggubal dasar Eropah tentang bagaimana menyelesaikan" risiko  krisis hutang benua itu memusnahkan kestabilan kewangan mereka.  Langkah S&P itu berlaku selepas empat bulan agensi itu memotong gred Amerika Syarikat kepada AA+ dengan alasan perbincangan politik  yang "terlalu sukar" berhubung bagaimana untuk mengurangkan defisit belanjawan Amerika yang lebih AS$1 trilion menjejaskan kualiti kredit ekonomi terbesar di dunia itu.

Tindakan agensi penarafan menentukan gred untuk sesebuah negara menimbulkan kontroversi sejak akhir-akhir ini, terutamanya apabila melibatkan negara Eropah dan Amerika Syarikat.  Demikian juga dengan langkah S&P untuk menurunkan gred 15 buah negara zon euro itu, seperti yang dibahaskan oleh Samira Shackle: "Siapa S&P  dan mengapa harus kita peduli?"   Dengan meletakkan kebanyakan negara zon euro dalam "pemerhatian kredit," bermakna bahawa enam negara dengan penarafan tertinggi, iaitu AAA, termasuk Jerman dan Perancis, kini mempunyai peluang 50 peratus untuk melihat penarafan mereka diturunkan gred.  Hal ini boleh membawa kesusahan yang serius kepada Eropah kerana dana pelan penyelamat, iaitu Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah bergantung pada status AAA dua negara itu untuk mengekalkan taraf kredit yang tinggi itu. Penurun kredit negara ini boleh memarakkan lagi krisis dengan menjadikan lebih mahal untuk menyelamatkan negara zon euro yang dalam kesusahan.

Wujud usaha di Eropah, tulis Shackle, "untuk mengawal agensi penarafan dengan lebih ketat, mengurangkan kuasa tiga buah firma besar ini (S&P, Moody's, dan Fitch), tetapi untuk sementara waktu, pasaran dan sesetengah ekonomi terbesar di dunia, masih bergantung pada belas kasihan mereka."

Langkah S&P itu diperhatikan,  berkesudahan dengan mempunyai kesan yang sangat besar di Eropah berbanding apa yang dilakukannya di Amerika Syarikat.  Adakah wajar agensi penarafan itu cuba menekan  para pemimpin Eropah dengan cara ini?  S&P dianggap merumitkan kerja pemimpin Kesatuan Eropah untuk menyelesaikan masalah hutang.  "Jika  peniaga merancang untuk meluangkan masa bulan Disember dengan berseronok dengan mengadakan parti, mereka perlu berfikir sekali lagi.  Semalam melihat rangka pelan Merkel-Sarkozy untuk menstabilkan euro, dan semalam juga melihat S&P diancam oleh pembaharuan Kesatuan Eropah, secara ingkar meletakkan seluruh zon pada pemerhatian kredit negatif."  Tulis Buttonwood dalam The Economist  yang melihat langkah S&P itu dengan dua hasil dalam beberapa bulan akan datang.  

Bagi Ann Pettifor yang menulis dalam The Guardian, beliau  melihat ancaman S&P itu  dalam konteks yang luas, meskipun beliau mengakui agensi-agensi  penarafan tidak selalunya boleh dipercayai, sopan,   dan  jujur.  Beliau  mempertahankan S&P yang menggambarkan ahli politik enggan menyelesaikan sistem perbankan global yang musnah.  Tambah beliau, "S&P dapat melihat dengan jelas, sebagaimana budak kecil dalam khalayak orang ramai bahawa jimat-cermat memusnahkan pelaburan dan pekerjaan, dan dengan itu, pendapatan."


Sebagaimana di Amerika Syarikat, kelumpuhan politik di Eropah juga  mendorong agensi penarafan "campur tangan" yang ada kewajarannya, tetapi pada masa yang sama, boleh diibaratkan "mencurahkan minyak ke dalam api."   Seperti yang dikatakan oleh Ann Pettifor, seperti ahli politik zon euro, S&P hanya mengikuti peristiwa, dan bukannya membentuk peristiwa. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...